Oleh Rasfan Abu Bakar
18 Mac 2021, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berbicara tentang perkembangan dunia penulisan kreatif pada abad ke-21, Sasterawan Negara ke-10, iaitu Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang mula menulis secara aktif sejak tahun 1970-an lagi menyatakan bahawa banyak perkara yang telah berubah, terutama bidang teknologi dan komunikasi. Perkembangan bidang ini begitu pantas dan cepat menyebabkan penulis harus peka dengan penerimaan kesahihan maklumat sebelum memasukkan dalam karya mereka.

Anwar Ridhwan berpandangan, perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 juga akan mempengaruhi kehidupan seharian kita. Revolusi digital ini menuntut perubahan semua pihak agar dapat terus kekal bersaing dan merancakkan kemajuan landskap dunia moden di samping memberikan kesan langsung terhadap dunia pekerjaan.

Sungguhpun dunia bergerak ke hadapan, sistem nilai dan budaya timur tetap perlu dipertahankan. Perkara itu perlu dilihat dengan lebih serius agar kehidupan kita lebih bermakna dan kemajuan pula tidak meminggirkan mana-mana pihak. Jelasnya lagi isu integriti, masalah sosial, polarisasi kaum, jenayah memperdagangkan manusia tetap berlaku dan di sinilah pentingnya peranan penulis terutama penulis muda untuk mengetengahkan isu tersebut dan mengolah menjadi satu naskhah yang tinggi nilai intelektualnya.

Selain itu, kaedah menulis juga tidak sama dengan waktu sebelum ini. Jika dahulu, penulis hanya menulis menggunakan teks sahaja, namun demikian pada masa ini mereka perlu lebih kreatif dalam persembahannya dengan menggabungkan teks dan multimedia. Gabungan kedua-duanya pasti mampu menarik minat anak-anak muda untuk  membaca naskhah sastera kerana persembahannya tidak membosankan, malah lebih interaktif.

Konsep buku visual, teknologi maklumat dan komunikasi ataupun kecerdasan buatan perlu diteroka oleh penulis muda kerana ini merupakan trend terkini dalam dunia penulisan. Penguasaan elemen baharu ini memberikan nilai tambah dalam setiap naskhah kreatif yang dihasilkan kerana lebih kontemporari dan boleh menyebarluaskan, menyubur serta menarik minat pembaca muda untuk membaca. Jika hanya bergantung kepada teks atau ilustrasi sahaja, maka akan ketinggalan dan sukar untuk memupuk minat membaca.

Menurut Anwar Ridhwan, gabungan antara naskhah kreatif dengan telefon pintar yang sudah dilengkapi akses Internet ini akan membolehkan sesiapa sahaja membaca dengan mudah, di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Hal ini merupakan bentuk pendemokrasian ilmu dan perlu diraikan dengan menghasilkan naskhah yang bergabung dengan teknologi agar idea penulis dapat dipaparkan melalui imej visual.

Walaupun penggunaan teknologi ini sangat penting, ketekunan penulis dalam menggunakan laras bahasa yang betul adalah mustahak. Penulis perlu bermain dengan kata-kata yang bernas, menggunakan metafora dan bidalan serta tetap mengekalkan unsur keindahan estetika agar naskhah itu tampil hebat dan memukau. Setiap naskhah perlulah mempunyai unsur pengajaran dan teladan, di samping memberikan ilmu dan membijaksanakan pembaca. Teknologi sahaja tanpa isi kandungan yang bermanfaat tidak akan membawa faedah kepada sesiapa pun.

Apabila memperkatakan tentang buku dan percetakan, Anwar Ridhwan berpendapat, industri tersebut sedang mengalami fasa perubahan pada masa ini. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah fenomena global. Buku yang dicetak masih ada permintaan dan mempunyai peminatnya yang tersendiri. Sebagai contoh buku berbentuk indie mempunyai kelompok pembacanya dan komunitinya sendiri yang menyokong buku sebegitu. Ini kerana tema buku sedemikian yang tidak terikat dan bebas.

Buku sastera pula mungkin dicetak berdasarkan kepada permintaan. Ini kerana cetakan digital tidak memerlukan jumlah yang banyak dan boleh dicetak pada jumlah yang sedikit dan tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya. Keadaan ini telah pun berlaku dan dijangka akan menjadi trend sedikit masa lagi.

 

Sastera dalam Platform Digital

Setelah berkuburnya surat khabar Utusan Malaysia, para penggiat sastera sudah kehilangan tempat untuk menghantar karya kreatif mereka. Ini kerana Utusan Malaysia sudah sinonim dengan dunia sastera tanah air dan banyak karya hebat tersiar melalui akhbar tersebut. Maka itu, satu platform baharu berbentuk digital perlu diwujudkan agar para penggiat sastera negara mempunyai tempat untuk menyiarkan naskhah kreatif mereka.

Permasalahannya, siapakah yang mahu menerbitkannya dan adakah penerbitan tersebut berjaya meyakinkan khalayak umum? Lantaran itu, Anwar Ridhwan menyarankan agar pihak yang berautoriti agar segera merebut peluang ini untuk menjadi peneraju dalam platform digital dan mengkhususkan dalam kandungan berbentuk sastera.

Contohnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mereka mempunyai kepakaran dan dikenali oleh pihak umum. Hal ini dikatakan demikian kerana, DBP masih mengekalkan konsep editorial dan mempunyai Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang tersendiri. Maka itu, penyiaran naskhah sastera tidak akan dipertikaikan kerana telah melalui proses yang sewajarnya. Apa yang berbeza ialah dahulu dicetak oleh akhbar dan kini beralih pula pada platform digital.

Selain itu, pihak akhbar digital yang telah bertapak kukuh di Malaysia boleh juga mengambil inisiatif dengan memperuntukkan ruangan tertentu untuk sastera agar kekal subur. Ini kerana pada masa ini, kandungan akhbar digital lebih galak menyiarkan kisah politik, gosip dan hiburan sedangkan banyak lagi bentuk kandungan yang boleh dihidangkan kepada khalayak umum.

Mengakhiri perbualan, Anwar Ridhwan berpesan kepada penulis muda agar terus membaca dan mengkaji naskhah yang terdahulu kerana hasil karya yang bermutu boleh dicapai jika penulisnya mempunyai ilmu yang luas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.