Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangButterworth – Sebanyak 50 orang pelajar Darjah 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, Butterworth menyertai program penulisan cerpen dan cerita kanak-kanak yang memberikan tumpuan kepada teknik penulisan cerita dan cara mendapatkan idea kreatif.
Program ini diadakan bertujuan untuk memupuk minat pelajar terhadap penulisan karya sastera melalui bimbingan interaktif dan berstruktur.
Penceramah, iaitu Dr. Husairi Hussin yang merupakan Pensyarah Kesusasteraan dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM), memfokuskan sesi ceramahnya kepada teknik asas menulis cerita yang mudah difahami oleh kanak-kanak.

Beliau menjelaskan bahawa langkah penting dalam membina plot cerita termasuklah cara mengembangkan idea daripada persekitaran seharian dan pengalaman peribadi pelajar. Terangnya:
Idea ada di sekeliling kita. Paling penting, keberanian untuk memulakan penulisan, walaupun dengan cerita yang sederhana atau biasa-biasa sahaja. Kanak-kanak perlu digalakkan untuk menulis berdasarkan pemerhatian mereka terhadap alam, keluarga atau apa-apa sahaja yang dekat dengan hati mereka.
Beliau juga memperkenalkan beberapa teknik mudah bagi membantu pelajar mendapatkan idea penulisan, antaranya ialah perbincangan idea secara berkumpulan serta mencatat dalam diari untuk mendapatkan isu atau tema cerita yang ingin ditulis.
Jangan takut untuk berimaginasi kerana kreativiti ialah asas kepada cerita yang menarik.
Turut hadir dalam program tersebut ialah pelukis buku kanak-kanak terkenal, Cikgu Rizal Othman yang menjelaskan peranan ilustrasi atau lukisan kepada cerita kanak-kanak. Melalui lukisan, pelajar boleh mencipta watak dan suasana yang boleh dijadikan inspirasi cerita. Katanya:
Kadang-kadang idea datang daripada gambar. Lihat sesuatu objek dan bayangkan kisah di sebaliknya. Setiap objek, walaupun kecil, boleh membawa cerita yang besar.
Program ini juga diselaraskan dengan penuh dedikasi oleh Puan Sarina Saudi, Guru Perpustakaan dan Media SK Convent Butterworth. Beliau berharap melalui bimbingan pakar, pelajar dapat memahami bahawa penulisan bukanlah tugas yang sukar jika dimulakan dengan idea yang sederhana tetapi bermakna. Ujarnya:
Saya yakin dengan bimbingan yang tepat, kanak-kanak akan mampu menghasilkan cerita yang menarik dan unik.

Program ini berakhir dengan sesi penyampaian hadiah buku karya Dr. Husairi kepada para pelajar yang aktif dan berjaya menjawab soalan kuiz yang disediakan.
Dengan kejayaan program ini, pihak sekolah merancang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan dalam usaha berterusan untuk memupuk minat menulis dan mencintai sastera dalam kalangan generasi muda.