Diterbitkan pada 16 Oktober 2024, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program KALAM: Membaur Bahasa Idea yang merupakan satu daripada komponen Kreatif KL Festival anjuran Think City bakal berlangsung pada 1 hingga 3 November di Kuala Lumpur.

Program tersebut akan diadakan di beberapa lokasi. Lokasi utama program ialah di Muzium Telekom dengan sesi berasingan di Kedai Buku Riwayat, Kafe Mountbatten serta Bartolo Lisboa Bakehouse di Pasar Seni.

Sebanyak 27 acara akan berlangsung sepanjang tiga hari tersebut melibatkan sesi perkongsian dan forum berkaitan dengan isu cabaran kepengarangan, penterjemahan dan penerbitan, perbincangan serta pelancaran buku serta pameran.

Selain itu, program tersebut juga bakal menampilkan tokoh seni, budaya, sastera tempatan dan juga rantau Asia Tenggara seperti kartunis ikonik Malaysia Lat, Goenawan Mohamad, Kosal Khiev, Marga Ortigas serta penerbit antarabangsa, Minh Bui Jones dan Naveen Kishore.

Penggiat dan pengarang tempatan antaranya termasuklah, Abdur-Razzaq Lubis, Ruhaini Matdarin, Akiya, Ho Sok Fong dan Jack Malik juga bakal memeriahkan program itu.

Selain Think City and Kreatif KL Festival, KALAM juga turut menerima sokongan daripada rakan kerjasama antaranya termasuklah Goethe-Institut Malaysia, Kedutaan Besar Brazil di Malaysia, Pusat Kebudayaan Han Malaysia, PEN Malaysia, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan Hikayat Fandom.

Dalam program itu nanti, terdapat dua sesi utama bahasa Melayu yang akan membincangkan hal berkaitan dengan “Mengalih Pemusatan Sastera” dengan penampilan khas penyair Indonesia, Aan Mansyur dan sesi “Perempuan Sajak”, yang akan meneroka gagasan kepengarangan penulis muda wanita kontemporari di Malaysia.

Program ini yang disusun oleh Pauline Fan, Hafiz Hamzah dan Roestam Alias juga berhasrat untuk menjadi usaha pemula kepada penggemblengan idea, penjanaan ekonomi serta menjadikan Kuala Lumpur sebagai titik pertemuan yang penting dan bersejarah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi