Diterbitkan pada 26 September 2024, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Roslan Jomel melihat peranan karya sastera yang bukan hanya perlu mementingkan nilai moral semata-mata, tetapi juga perlu padat dengan estetika kesenian.

Karya sastera dijadikan wahana istimewa dalam urusan membicarakan subjeks kemanusiaan berserta mesej tertentu melalui cerita kemasyarakatan yang disaluti dengan kesenian.

Kalau sastera dianggap sebagai jalan untuk memanusiakan manusia, dan memang demikian, caranya adalah justeru dengan menunjukkan bahawa hidup adalah pahit. Sastera justeru menunjukkan kenyataan, dan bukannya menipu, atau mengatakan apa yang seharusnya terjadi tapi tidak terjadi. Kerana itu, yang tertinggal dalam renungan seseorang yang telah mengalami “catharsis” adalah juga kepahitan hidup”.

-Budi Darma dalam buku Harmonium.

Karya sastera, selain indah, menarik dan menghiburkan, haruslah memancarkan nilai positif kerana ia merupakan khazanah bangsa dan status pemikiran para pengarangnya. Hal itu wajib ada dalam penulisan. Tanpa elemen murni yang mengajak kepada pengajaran dan pemupukan insaniah, maka karya sastera itu sekadar cerita semata-mata.

Picisan, apatah lagi jika karya sastera itu menyerlahkan perlakuan seksual secara realistik. Pasti sahaja menyulut api kontroversi dalam masyarakat setempat dan musibah kepada kredibiliti empunya naskhah.

Demikianlah syarat utama untuk menentukan sumbangan sasterawan sebagai pembawa kemajuan berfikir dalam mengangkat gagasan dan wawasan mereka dalam karya masing-masing. Dalam kata lain, sama ada sedar atau tidak, golongan penulis sering dituntut untuk menghasilkan naskhah yang mengandungi nilai ketimuran, beretika dan bermoral untuk memanusiakan para pembacanya.

Jika pun seseorang pengarang itu melakukan eksperimen dengan kaedah kontemporari dan pelik, tetap sahaja karya itu (diharapkan) berpotensi untuk mencerdaskan renungan pembacanya. Kesimpulannya, karya sastera dijadikan wahana istimewa dalam urusan membicarakan subjeks kemanusiaan berserta mesej tertentu melalui cerita kemasyarakatan yang disaluti dengan kesenian.

Dalam buku Dahsyatnya Kesusasteraan Memerihalkan Kehidupan, Sohaimi Abdul Aziz mentakrifkan karya sastera,

Adalah satu bentuk seni yang menggunakan bahasa. Melalui bahasa, keperihalan manusia dan kemanusiaan dibangunkan dengan penuh kesedaran tentang mesej dan keindahan. Laras bahasa dan sastera berbeza daripada laras bahasa harian dan sains. Pemilihan kata yang teliti, unsur bunyi yang dijaga rapi dan irama yang tersusun indah membawa pembaca menikmati bahasa sastera. Mesej yang disampaikan dengan bahasa yang terpilih memberikan kekuatan dan keindahan kepada karya sastera serta menyuburkan penghayatan pembaca.

Pengarang menambah lagi bahawa, (sememangnya) sastera mengandungi keindahan, malahan sastera mengandungi falsafah tentang kehidupan. Sastera dapat membuatkan pembaca memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk dimengerti oleh fikiran rasional.

Sememangnya kehidupan manusia ini penuh dengan pelbagai kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu menjelaskannnya. Justeru, sastera membawa satu dunia baharu kepada pembaca dan dunia baharu ini memperkayakan emosi dan intelek pembaca.

Sastera berupaya memberikan pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca serta pencerah kepada kegelapan.

Takrifan itu sudah termaktub dalam menggambarkan isi dan bentuk karya sastera untuk dijadikan contoh terbaik kecemerlangan yang bermanfaat buat bangsa dan negara. Naskhah yang baik, indah dan berseni pula merupakan lambang ketinggian akal, imaginasi dan pemikiran pengarang berkaliber.

Maka, pengarang yang menginginkan karyanya (layak) diperakui sebagai naskhah yang mendatangkan cahaya kebijaksanaan kepada masyarakat, mahu tidak mahu, dia harus menulis dengan penetapan syarat yang sudah pun dipaterikan sejak dahulu lagi.

Tetapi, persoalan lain ialah apakah penilaian sebegitu sesungguhnya benar dalam menilai karya sastera? Karya sastera yang bagaimanakah menggambarkan realiti kehidupan dan fitrah manusia secara eksplisit? Karya bersifat ringan mahupun berat? Atau adakah kenyataan kehidupan manusia yang sukar diterka itu hanya terdapat dalam karya sastera bernada serius dan bukan berbentuk popular?

Kononnya karya yang memenangi hadiah utama dalam sayembara dan dipilih sebagai penerima anugerah di peringkat nasional sahaja layak dianggap menyampaikan realiti kejidupan manusia secara berseni? Bagaimanakah pula dengan karya yang ditulis dengan pendekatan popular tentang pergolakan dunia anak muda pada masa kini? Adakah karya The Catcher in the Rye yang sudah dianggap sebagai cult lebih mendatar standardnya berbanding apa-apa yang ditulis dengan vulgar oleh Han Kang dalam The Vegetarian?

Persoalan sama ada sesebuah naskhah itu dikarang dengan ketulusan atau demi memenuhi tema dalam peraduan merupakan isu lain. Tiada sesiapa mampu mengesan kemunafikan dalam penulisan. Adakah karya yang menawarkan pesanan moral terpuji memang seratus peratus datang daripada individu berkarakter sedemikian juga?

Penulis itu sendiri manusia dan sebagai manusia, kehidupan mereka lebih rencam dan tidaklah sepolosnya mewakili penulisannya. Di luar daripada naskhah, ada kehidupan lain yang tidak terakam di atas halaman kertas. Karya sastera tidak sepenuhnya menggambarkan kehidupan manusia. Namun apa-apa yang terbias dalam karya sastera hampir sebahagiannya menyalin perwatakan manusia.

Jika seseorang pengarang menghasilkan karya bertentangan daripada apa-apa yang sudah disepakati sejak dahulu lagi, adakah persoalan yang disoroti dalam naskhah itu tidak mencerminkan kemanusiaan sesungguhnya? Manusia yang bagaimana benar-benar “seorang manusia”? Apakah perlanggaran nilai kesusasteraan yang murni dan beretika itu tidak membawa apa-apa sumbangan?

Dalam kes novel Salina, karya Sasterawan Negara A. Samad Said, misalnya, terang-terangan karya itu mengangkat watak perempuan pekerja seks sebagai watak penting. Lalu, mengapa sehingga kini naskhah yang ditulis dengan pendekatan realisme itu masih sahaja dinilai sebagai suatu pencapaian membanggakan dalam kesusasteraan kebangsaan?

Manakala karya yang terpeleset daripada tanggungjawab sosial itu, dianggap tidak menyalur manfaat kepada pembangunan karakter bangsa dan dikesampingkan kerana unsur kejijikan dan keterbukaannya. Tidakkah karya sastera yang dihasilkan itu datang daripada akal, jiwa, fikiran dan kegelisahan penulis – manusia sebenarnya, bukan ciptaan perkakasan kecerdasan buatan (AI) yang digembar-gemburkan itu.

Hal demikian sangat rumit dan mujarad. Karya penulisan yang bagaimanakah menggambarkan hakikat kemanusiaan dengan benar? Naskhah yang bagaimanakah yang berdusta dalam menceritakan fitrah kemanusiaan? Adakah karya sastera ditulis dari sudut positif semata-mata tentang manusia?

Aspek yang sedalam dan sekompleks itu, mengingatkan saya untuk kembali memetik kenyataan yang dikemukakan oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh menerusi esei “Masalah Kriteria Kritikan Sastera di Malaysia” yang termuat dalam buku Menyeberang Sejarah:

Kritikawan kita melihat dari satu sudut sahaja, menutup matanya kepada semua aspek lain tentang karya itu. Kalau dia melihat dari segi moral, akan dicarinya “mesej” untuk masyarakat sahaja. Daripada setiap penulis diharapkan suatu idea untuk merubah masyarakat itu. Bagaimana jikalau seorang pengarang besar itu tidak membawa perubahan masyarakat, dan tidak membawa “mesej”, tetapi menyentuh makna kewujudan seseorang pembaca dengan bersungguh-sungguh. Adakah karya dia tidak berguna? Dan adakah sastera itu hanya “mesej” dan tidak ada unsur-usur kesenian padanya?.

Melanjutkan kenyataan tersebut yang berhubungan dengan kedangkalan dalam menilai karya sastera, sasterawan itu menyusun analogi; kritikan begini (menilai secara simplistik) tidak lebih daripada cerita orang buta dengan gajah. Kita boleh membandingkan karya kritikan ini dengan peristiwa lelaki yang menemui wanita cantik, tetapi kerana dia hanya suka pada rambut, dipusatkan penglihatannya pada rambut sahaja.

Tentu sahaja wanita itu lebih daripada rambut. Dia mempunyai jasad, emosi dan akal. Dia manusia dan manusia itu kompleks, seperti juga sastera yang kita hadapi. Pendekatan yang sempit begini ialah pemudahan terhadap sastera dan juga ialah pemalsuan respons sastera.

Kenyataan bahawa karya sastera mampu dijadikan sebagai sarana pembinaan jati diri bangsa pernah dibangkitkan sebelum ini. Karya sastera yang baik, sewajarnya bersifat lentur, tidak kaku, alamiah dan organik pula sifat kemanusiaan di dalamnya. Malahan sememangnya terdapat unsur positif dalam perwatakan dalam karya sastera.

Tambahan pula, para pengarang sudah tentu menginginkan kerja penulisannya memberikan manfaat kepada pembaca dengan diwujudkan watak utama yang cekal, berjiwa besar dan bersemangat mandiri. Pengarang yang jujur dan berpandangan luas, tidak perlu menunggu sayembara penulisan bertema patriotisme jika hendak menghasilkan karya tentang perjuangan bangsanya sendiri.

Namun begitu, sastera ialah sastera. Sastera memiliki alam dan kehidupannya tersendiri. Dalam buku Saksi Kata, tulisan Arif Bagus Prasetyo, pengarang menampilkan hujahnya menerusi esei bertajuk “Sastera (Bukan) Untuk Pembangunan Karakter Bangsa”:

Dalam pandangan saya, tidak semua karya sastera dapat mudah dijadikan sarana untuk membentuk karakter bangsa. Cukup jelas bahawa ragam sastera yang berpotensi untuk dimanfaatkan dalam projek pembangunan karakter bangsa adalah ragam sastera didaktik, karya yang memang ditulis dengan tujuan untuk memberikan ajaran, tuntunan, nasihat perihal kebajikan hidup, norma, susila, atau akhlak mulia  kepada pembaca. Namun, masalahnya, terutama pada zaman kita sekarang, karya sastera yang diakui bermutu tinggi oleh khalayak sastera kebanyakan ditulis bukan dengan tujuan utama mendidik pembaca. Pada zaman kita sekarang, karya sastera yang berpretensi “menggurui” bukan saja mudah terjatuh menjadi retorika klise yang basi dan dangkal, tetapi juga mudah menjadi ahistoris dan anakronistis terhadap perkembangan dan pencapaian literer dalam perjalanan panjang sejarah sastera nasional mahupun sastera dunia.

Tetapi, pengarang masih percaya apa yang selama ini (unsur positif) dimahukan dalam naskhah sastera, tetapi ada di balik penulisan,

Kalau pun mengandungi nilai-nilai luhur, sebuah karya sastera yang diakui bermutu tinggi dan mampu menyentuh akal budi dan rohani pembacanya lebih sering tidak mengungkapkan nilai-nilai luhur itu dalam amanat yang seterang matahari di terik siang. Nilai-nilai luhur yang terkandung dalam karya sastera unggul sering kali merupakan ‘hikmah tersembunyi’ yang harus digali sendiri oleh pembaca melalui tafsir alias kompleksiti perpaduan bentuk dan isi karya bersangkutan.

Perbezaan antara cerita dongeng dan kejadian nyata rupanya sangat tipis sempadannya. Misalnya, audiens yang tertawa melihat filem lucu tentang kehidupan moden di tengah bandar raya. Padahal, mereka sesungguhnya dijadikan subjek oleh pengarah filem tersebut.

Barangkali sahaja cerita rekaan yang terlintas dalam imaginasi pengarang ialah kebalikan peristiwa sebenar dan boleh jadi juga pengarang sengaja mencampur-adukkan khayalan dan fakta sebenar dalam karya sastera, kerana sememangnya sudah tiada lagi kepelikan dalam kehidupan di dunia.

Tetapi jika karya sastera dijadikan alat sebagai slogan, propaganda, politik dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan moral manusia, jelas bahawa hal itu bertentangan dengan “takrifan” kesusasteraan dari perspektif kealamiahnya.

Demikianlah pandangan oleh sasterawan Budi Darma, anggapan bahawa sastera seiring dengan moral tentu bukannya tanpa alasan. Sebagaimana juga falsafah dan agama, sastera juga mempelajari permasalahan manusia. Dengan kaedah yang berbeza, sastera, falsafah dan agama, dianggap sebagai sarana untuk memupuk jiwa kemanusiaan, iaitu jiwa yang halus, manusiawi dan berbudaya.

Namun, sebagaimana yang sebelum ini dipersoalkan, sastera ialah sastera. Cadangan untuk mengisi anasir tertentu ke dalam sastera sehingga mengabaikan bahawa karya sastera itu merupakan hasil pemikiran, perasaan dan kegelisahan manusia, hanya menenggelamkan jiwa penulisan itu. Lalu terhasillah karya yang palsu, kering, pretensi dan bertujuan memenuhi agenda pihak lain.

Budi Darma menegaskan dalam eseinya, iaitu Moral Dalam Sastera ( dalam buku Harmonium),

Dalam praktik ternyata berbeza. Karya sastera yang baik justeru mengungkap dunia yang seharusnya menurut moral tidak terjadi. Sifat-sifat sastera yang menuntut orang untuk melihat kenyataan, kalau perlu tidak sejalan dengan kepentingan moral, dan bukannya melihat apa yang seharusnya terjadi. Sementara itu, sastera masih harus melaksanakan tugasnya untuk membentuk jiwa kemanusiaan, yang jauh dari segala sesuatu yang tidak sejalan dengan kepentingan moral. Inilah yang mempersulit kedudukan sastera.

Sekata dengan pandangan Arif Bagus Prasetyo, Budi Darma tetap percaya bahawa peranan sastera kepada pembinaan karakter dan pemikiran pembaca. Menurut sasterawan besar itu, karya sastera yang baik juga banyak disertakan kritikan sosial. Akan tetapi karya sastera seumpama itu menjadi baik kerana unsur estetikanya dan bukan kerana semata-mata kritikan sosialnya.

Dalam kata lain, cara bercerita, seni pertukangan yang estetis dan menarik menyebabkan karya itu monumental dan wajar diangkat sebagai karya adiluhung. Contoh karya sastera yang dimaksudkan oleh Budi Darma tersebut boleh kita lihat pada novel Naratif Ogonshoto (Sasterawan Negara Anwar Ridhwan), novel Rafilus (Budi Darma), One Hundred Years of Solitude (Gabriel Garcia Marquez), dan Hunger (Knut Hamsun).

Oleh kerana karya sastera tidak serupa dengan dokumen dan fakta, yang mudah dilupakan kerana kurangnya elemen seni, maka sudah menjadi tugas para pengarang untuk memastikan tulisan mereka hidup secara alamiah. Tidak dipaksa atau menyerah kepada tujuan yang menyimpang daripada takrifan kesusasteraan yang sepatutnya.

Sungguhpun demikian, karya sastera masih terikat dengan batin, fikiran dan kesedaran manusia kepada alam sekitar dan manusia yang menjadi subjek renungan. Meletakkan manusia dan dunia yang “serba indah” dalam karya sastera, tidak ada bezanya dengan memalsukan ranah kesusasteraan itu sendiri. Perbuatan sebegitu hanya akan merendahkan standard sastera dan mendongengkan cerita yang ditulis oleh para pengarangnya.

Karya sastera tidak boleh berbohong, sedemikian juga manusia yang mengendalikan naskhahnya. Pembaca yang pintar di luar sana sudah mampu mengenali yang manakah plastik dan bernyawa dalam karya sastera.

Sebagaimana pernah dikatakan oleh Franz Kafka, karya yang baik seharusnya menjadi kapak untuk menggugat laut beku dalam diri kita. Apalah ertinya membaca karya yang kosong dan klise sedangkan kehidupan di luar sana teramatlah kompleks dan rumit. Kenyataan serba pahit di dunia sebenar, manusia dan tipu helah mereka, tidak mampu dilindungi dengan keindahan palsu (utopia) yang tergambar dalam naskhah.

Untuk menemui karya yang menggugah hati nurani, akal dan pemikiran, hal itu hanya dapat diraih melalui sebuah penulisan organik dan serius daripada pengarang berwawasan progresif serta berilmu.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi