Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSlim River – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama-sama dengan 13 agensi lain berkolaborasi dengan rumah anak yatim Baitul Al-Hilmi menerusi program “Fund Ride By Kayah 2024”.
Program itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi anak yatim melalui kayuhan amal secara beramai-ramai. Antara agensi lain yang terlibat sama dalam program ini ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Majlis Daerah Tanjong Malim dan Himpunan Anak Kedah (HAK) dari UPSI.
“Program ini adalah suatu inisiatif yang baik dalam mendapatkan sumbangan orang ramai bagi membantu anak-anak yatim di samping dapat memberikan faedah dan kebaikan kepada masyarakat sekeliling,” ujar Orang Besar Jajahan Muallim, Ydh. Toh Paduka Setia Dato’ lr. Dr. Safry Kamal Hj. Ahmad selaku tetamu khas bagi program ini.
Program ini juga dilengkapi dengan pemberian sumbangan daripada orang ramai melalui yuran penyertaan, tajaan, dan sumbangan atas talian. Bantuan ini bertujuan menzahirkan rasa prihatin masyarakat terhadap anak yatim Baitul Al-Hilmi.

Dato’ Dr Ahmad Faris yang merupakan pemilik rumah anak yatim Baitul Al-Hilmi berkata bahawa kayuhan amal ini sangat bermanfaat dalam memupuk semangat kecintaan atau budaya tolong-menolong sesama masyarakat selain upaya untuk berganding bahu dengan agensi kerajaan dan badan korporat dalam menjaga kebajikan anak yatim.
Terdapat lebih 200 peserta yang menyertai program ini. Kayuhan amal ini bermula dari tasik YDP Slim River sehingga ke MRSM Trolak yang menjangkau kira-kira 30 kilometer.
Selain daripada acara kayuhan amal, karnival rakyat turut diadakan bagi memeriahkan lagi program ini.