Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Pemilihan warna dan aksara yang tepat serta berfungsi memainkan peranan penting dalam menghasilkan buku sastera kanak-kanak”, jelas Puan Mahaya Mohd. Yaasin, Sasterawan Negeri Sembilan.
Pandangan tersebut diujarkan dalam Forum Sastera Kanak-kanak sempena Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja Ke-13 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada petang semalam.
Beliau memberikan contoh warna yang terdapat pada tajuk buku Tolong, Sang Semut Hanyut! (terbitan DBP).

Warna merah pada perkataan Tolong memberikan makna kecemasan dan warna biru pada perkataan Hanyut pula disinonimkan dengan warna laut.
Baginya, elemen yang sebegini memudahkan kefahaman kanak-kanak dan memberikan daya tarikan yang tersendiri.
Buku tersebut ditulis oleh beliau dan diilustrasikan oleh Hasni Jamali.
Selain itu, beliau juga mengujarkan tentang pentingnya pemilihan aksara dan dialog dalam buku sastera kanak-kanak.
Selain pemilihan warna dan aksara yang tepat, terdapat juga elemen lain dalam menjadikan buku sastera kanak-kanak menarik. Antaranya termasuklah kecerdikan penulis dalam membolehkan sesebuah tajuk dan dialog dinadakan (dilagukan).

Seterusnya, beliau menambah bahawa buku sastera kanak-kanak yang berkualiti secara tidak langsung memberikan empat kelebihan kepada pembaca (kanak-kanak).
Kelebihan tersebut adalah seperti kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Tambahnya,
Buku sastera kanak-kanak juga harus disajikan dengan daya intelek, emosi dan rohani.
Nilai murni serta falsafah yang diangkat menerusi penggunaan bahasa yang indah juga secara tidak langsung mampu memberikan kesan seumur hidup.
Buku sastera kanak-kanak yang dibaca semasa kecil tidak mustahil akan diingati sepanjang hayat.