Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku Antologi Cerpen Sebuah Rumah dan Naratif Tanah Air telah dilancarkan oleh YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan (SN Anwar Ridhwan), Pengerusi Lembaga Pengelola DBP di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, (PBAKL), pada pagi tadi.
Buku Antologi Cerpen Sebuah Rumah dan Naratif Tanah Air menghimpunkan 17 orang penulis dan setiap penulis menghasilkan dua buah cerpen. Setiap cerpen ditulis berlandaskan tema Malaysia MADANI yang berkaitan dengan aspek sosial, ekonomi, politik dan alam sekeliling.
Penerbitan buku ini juga merupakan suatu usaha DBP dalam menyokong gagasan kerajaan dan seterusnya turut sama terlibat dalam memberikan pencerahan kepada masyarakat berkaitan dengan konsep dan idea Malaysia MADANI secara kreatif.

Puan Salina Ibrahim, editor yang menyusun manuskrip buku tersebut juga merupakan seorang daripada penulis cerpen berkongsi dengan khalayak tentang pengalaman beliau ketika menguruskan penerbitan buku ini.
Kita sudah terbiasa dengan tema yang bersandarkan kepada gagasan-gagasan kerajaan. Saya sendiri sebenarnya sebelum ini tidak pernah menulis tentang gagasan kerajaan. Jadi tema Malaysia MADANI ini merupakan perkara yang baharu juga dalam dunia penulisan saya.
Selain itu, beliau juga turut berkongsi pengalaman dalam mencari para penulis yang boleh menyumbangkan dua buah cerpen yang seterusnya boleh diterbitkan menjadi sebuah buku antologi cerpen.
Saya ditugaskan untuk mencari sendiri penulis bagi buku ini. Saya mencari penulis yang saya fikir senang bekerjasama dengan saya. Saya menghubungi mereka secara peribadi seorang demi seorang. Kita boleh mengolah macam-macam cerita dengan tema Malaysia MADANI, tetapi kita perlu faham terlebih dahulu tema tersebut.
Antara penulis yang menyumbang cerpen dalam buku ini termasuklah Lokman Hakim, Nazri Hussein, Ruhaini Matdarin, Hafizah Iszahanid dan Dr. Zulkifli Khair.
Pembaca boleh mendapatkan buku ini di reruai DBP yang terletak di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.