Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Sebanyak 22 buah buku baharu merangkumi 29 orang penulis Sabah telah dilancarkan sempena Majlis Pelancaran Karnival Semarak Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS).
Karnival Semarak Bahasa ini diadakan bermula pada 17 hingga 18 Oktober bersempena dengan Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 2023.
Terbitan buku baharu DBP yang dilancarkan dalam majlis tersebut melibatkan tujuh judul buku kanak-kanak dan remaja, 14 judul buku buku sastera, dan satu judul buku umum.
Karnival Semarak Bahasa yang merupakan acara tahunan DBP diadakan bertujuan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan dan melestarikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Majlis pelancaran karnival ini dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd Ariffin Datuk Haji Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, mewakili Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyarankan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memanfaatkan dan menghargai usaha sasterawan dan penulis serta menamakan jalan-jalan atau bangunan dengan nama-nama tokoh bahasa dan sastera. Beliau mengaitkan perkara tersebut dengan contoh dari negara-negara Barat yang mengangkat nama para sasterawan mereka supaya dikenali dan dihargai sepanjang zaman.

Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar menerusi ucapannya berkata bahawa pelbagai program telah dianjurkan seperti program ‘Jejak Bahasa Jiwa Bangsa’ dan ‘Bicara Santai Kearifan Tempatan’ yang mensasarkan golongan peringkat kanak-kanak sehingga golongan dewasa.
Aktiviti yang melibatkan golongan pelbagai peringkat usia ini adalah untuk meraikan kebersamaan mereka dalam melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memupuk budaya membaca.
Selanjutnya, pelancaran buku-buku tersebut bersempena dengan DMK dan BBK ini bukan sahaja sebagai tanda sokongan terhadap industri perbukuan Malaysia, tetapi juga sebagai suatu tanda mercu untuk menghasilkan karya bermutu yang menyumbang kepada pemikiran dan intelektual masyarakat.
DBP Cawangan Sabah akan terus aktif menerbitkan buku-buku bercirikan kearifan tempatan, bukan sahaja untuk dalam negara tetapi dibawa ke peringkat antarabangsa.