Diterbitkan pada 22 Julai 2026, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zanazanzaly merakamkan pengalamannya “belajar mencipta cerita” dengan Zaharah Nawawi (ZN). Rakaman pengalaman ini boleh mendorong semangat penulis pemula untuk mencipta dunia ceritanya sendiri.

Beliau mengajar cerpen yang baik mesti mempunyai falsafah, siratan makna dan denyut batin di sebalik cerita.

“Guru itu yang mengajar kita hatta sebatang alif.”

Kata-kata Allahyarhamah Zaharah Nawawi (ZN) masih bergetar dalam jiwa saya laksana paluan gendang perang yang tidak pernah reda. Daripada “sebatang alif” itulah saya belajar menulis cerpen. Beliau juga merupakan tangan yang membuka pintu genre baharu buat saya, suara yang menegur tanpa mematahkan keyakinan dan sifu karya kreatif yang mengajar bahawa bahasa puitis perlu berpijak pada logik cerita.

Perkenalan kami bermula di Kota Bharu melalui bengkel bimbingan penulisan cerpen anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) atas inisiatif Pegawai Perancang Bahasa, Puan Mahani Che Ibrahim. Dalam ruang latihan yang sederhana itu, ZN membahasakan dirinya dan peserta sebagai “saudara”, seolah-olah menanggalkan pangkat di muka pintu. Menerusi e-mel dan pesanan ringkas pula, beliau menjadi “bonda” kepada peserta yang sebaya anak-anak saudaranya dan “Kak Zah” kepada yang seusia adik-beradiknya. Di situlah saya melihat adab ilmu dalam bentuk yang paling manusiawi – tegas pada karya, lembut pada jiwa.

Saya masih mengingati saranannya ketika sesi suai kenal, “Saudara Zana dah mahir tulis puisi. Bahasa pun puitis. Cubalah tulis cerpen pula.”

Ayat itu jatuh ke dalam hati saya seperti benih kecil yang tidak segera kelihatan kotiledonnya. Pada mulanya, saya ragu. Puisi menjadi halaman permainan saya sejak kecil manakala cerpen terasa bagaikan rumah besar yang mempunyai terlalu banyak bilik, tingkap dan pintu rahsia. Namun, ZN menyambung dengan hikmah orang yang lama memegang pelita.

Pujuknya, ruang cerpen lebih luas untuk menyampaikan idea.

“Belakang parang diasah lagikan tajam, inikan pula otak dan kemahiran siswazah Sains Politik UIA,” cabarnya.

Rupa-rupanya, sayalah belakang parang yang berjaya diasah dek lisannya yang tajam umpama cahaya laser di sebalik lunak jiwanya yang mendidik. Manakan tidak, naskhah pertama yang saya hantar sebagai syarat bengkel ditulis dengan keberanian orang yang belum tahu dirinya sedang memasuki gelanggang. Tujuh belas halaman A4 itu saya anggap cerpen sedangkan dari sudut anatomi karya, helaian itu mirip kuda liar belum mengenal kekang. Maka, bermulalah sesi bedah siasat yang mengerikan.

Tulisan “tidak cukup sifat” saya itu “disembelih” oleh 29 rakan sebengkel dan sifu ZN sendiri. Sedih, terkejut dan terpinga-pinga, semuanya datang serentak. Namun, di situlah saya memahami adab berguru.

Kritikan ibarat alat bedah untuk menyelamatkan karya daripada penyakit longgar fikir, lemah struktur dan mabuk bahasa.

Pengalaman itu mendidik saya menjadi kebal kepada kritikan yang bagaikan hujan batu. Saya belajar membezakan luka ego dengan bilur ilmu. Rakan saya, Rozais Al-Anamy pernah mengingatkan pesan pensyarah kami, Prof. Dr. Abdul Rashid Moten, “Orang berjaya akan menarik orang berjaya lain menghampiri mereka seperti besi berani.” Barangkali, ZN ialah medan magnet itu. Beliau menarik kami dengan disiplin suntingan yang membuatkan penulis muda berpeluh di hadapan ayatnya sendiri.

Daripada bengkel di Kota Bharu, saya kemudian mengikuti bimbingannya di Kuala Terengganu dan seterusnya menyertai Kelab Penulisan Zaharah Nawawi (KEPEZI) di Rumah GAPENA. Di sana, cerpen saya sudah kurang ditambah baik dari aspek teknikal kerana tubuh karya mulai mengenal rangka. Namun, ZN tidak membiarkan saya, Rozais dan Tiras R serta rakan sebengkel berpuas hati dengan kulit luar.

Beliau mengajar cerpen yang baik mesti mempunyai falsafah, siratan makna dan denyut batin di sebalik cerita.

Hasil bimbingan itu, beberapa cerpen saya mulai menemui pembaca. Cerpen “Hijau Lumut, Hijau Rumput dan Kutta di Sampugita” tersiar dalam akhbar Berita Harian pada Mei 2001. Kemudian, cerpen “Padma Phang-Nga” muncul dalam Mingguan Malaysia pada 1 Julai 2001 selepas melalui proses suntingan bengkel KEPEZI. Detik-detik itu memberi keyakinan – dorongan ZN adalah strategi pembinaan penulis yang rapi. Beliau juga mengajar kami berinteraksi dengan editor secara beradab dan berani.

Karya tidak cukup hanya siap di meja penulis kerana karya itu perlu belajar mengetuk minda dan rasa editor.

Nasihat itu membuka jalan kepada saya untuk mendekati editor, menyerahkan karya dan membina rangkaian sastera secara santun. Saya belajar bahawa editor bukannya raksasa yang menunggu di hujung gua tetapi rakan kerja yang memerlukan bahan yang baik untuk menghidupkan halaman penerbitan. Pengalaman ini menjadi cermin apabila saya sendiri memikul amanah sebagai pengarang di Urus setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) bermula tahun 2019 hingga sekarang. Saya lebih memahami, di sebalik setiap karya yang disiarkan, ada pertemuan sunyi antara tekad penulis, ketelitian editor dan nasib yang meminta diusahakan.

ZN turut mendorong saya “menyerang” majalah Tunas Cipta (TC) dengan cerpen eksperimental seperti “Jaguh Ping-Pong” (Ogos 2001), “T-Songsang” (November 2001) dan “Replika Teja” (Disember 2001) kelolaan editor Rusdi, Azhari dan Noorisa. Cerpen “Matinya Seorang Penyair” pula tersiar dalam akhbar Berita Minggu (30 Disember 2001), kemudian diperakui memenangi Hadiah Sastera Kelantan 2003. Begitulah minggu demi minggu cerpen saya menemui pembaca sehinggalah saya meraih Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 melalui karya “Segugus Markisah dari Brastagi” dan meloloskan saya mengikuti MASTERA di Bogor Indonesia pada tahun yang sama.

Apabila saya keberatan menyertai sayembara sempena Jubli Emas DBP 2006 kerana berasa peluang menang terlalu tipis, ZN memujuk dengan hujah yang sederhana tetapi dalam, “masuk bertanding bukan semata-mata nak menang tapi supaya karya dibaca dan dinilai juri yang pakar.”

Saya akur dengan mempertahankan karya “Kalam Munsyi” yang akhirnya meraih hadiah sagu hati dan terbit dalam antologi Di Tengah Arus (DBP 2007).

Daripada ZN juga saya belajar seni menyunting secara “mati-matian” justeru karya tidak wajar dihantar ketika masih panas keluar daripada dapur perasaan. Karya perlu diperam, dibiarkan masak kemudian disunting berkali-kali sehingga ayat yang berlebihan gugur umpama daun renta. Beliau sangat menekankan logik penceritaan. Fakta mesti disemak, watak mesti munasabah dan peristiwa mesti mempunyai sebab dan akibat yang meyakinkan.

Di tangan ZN, cerpen laksana kebun akal yang perlu dicangkul dengan penyelidikan.

Sebagai sasterawan prolifik, ZN membawa seluruh pengalaman kewartawanan dan kepengarangan ke dalam bilik bengkel. Saya mendapat makluman bahawa beliau pernah bertugas di Utusan Melayu, Berita Publishing, Pustaka Cipta dan majalah Timang. Karya seperti Panglima Salleh Selempang Merah dan Anugerah memperlihatkan ketekunan seorang pengarang yang menggali sejarah sehingga batu-batu masa mengeluarkan suara. Anugerah, novel sejarah, politik dan feminisme itu turut mengangkat nama beliau hingga menerima SEA Write Award di Bangkok pada tahun 1996.

Namun, hal yang paling saya kenang bukan semata-mata daftar karya atau anugerahnya. Saya mengenang rumahnya di Subang Jaya yang pernah menerima saya dan Rozais bermalam sebelum pulang ke Kota Bharu. Saya mengenang hatinya yang luas sehingga sanggup membina “banglo” di penjuru rumahnya untuk berpuluh ekor kucing gelandangan. Saya bersyukur tidak terhingga apabila mengetahui rumah yang pernah meneduhkan hayatnya itu akhirnya diwakafkan warisnya kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 13 Februari 2026. Ketika melereti berita tulisan Karmila Azmi di JendelaDBP, terbayang-bayang dalam fikiran saya pintu rumah itu ditutup perlahan-lahan lalu memancarkan sejalur cahaya yang menyuluh ke langit jauh.

Tanggal 5 Julai 2026, apabila cerpen “Pensel Saksi di Bawah Kubah” tersiar dalam Berita Harian Ahad, ingatan saya kembali kepada detik pertama karya saya menembusi media arus perdana pada 25 tahun lalu. Ada hutang budi yang tidak selesai dengan ucapan terima kasih. Maka, tulisan ini saya tulis sebagai doa kecil daripada seorang murid yang pernah diasah, disembelih dan diselamatkan oleh gurunya. Semoga ilmu ZN menjadi sedekah jariah yang mengalir deras di alam barzakh.

Dalam setiap alif yang diajarnya, saya percaya ada cahaya yang masih menyala.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi