Diterbitkan pada 17 Julai 2026, 14:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim Pameran Inovasi Produk Kesusasteraan Melayu 2026 yang diadakan di Dewan Konvensyen e-Learning, Aras 5, Kampus Sultan Abdul Jalil Syah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 14 Julai 2026 berjaya menyerlahkan kreativiti mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Kesusasteraan Melayu.

Pameran yang berlangsung meriah ini dianjurkan oleh pelajar kursus BSK3113 – Kreativiti dan Inovasi Produk Sastera Melayu, Program Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada penilaian kursus yang bertujuan mempamerkan hasil inovasi dan kreativiti pelajar dalam usaha menghasilkan produk dengan mengintegrasikan elemen teknologi dan pedagogi yang berasaskan bidang kesusasteraan Melayu.

Kesemua produk yang dipersembahkan merupakan hasil projek berkumpulan yang dibangunkan sepanjang semester dengan mengaplikasikan konsep reka bentuk inovatif serta pemikiran kreatif mahasiswa.

Reruai pameran inovasi yang dihasilkan oleh para peserta.

Pelbagai produk inovatif dipamerkan, termasuklah bahan bantu mengajar digital, permainan pendidikan, aplikasi interaktif, kit pembelajaran dan medium kreatif yang memperlihatkan pendekatan baharu untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan Melayu.

Pameran inovasi pada tahun ini mempertandingkan tiga kategori utama, iaitu Johan Inovasi Kreatif, Johan Pameran Tercantik dan Anugerah Keseluruhan Pameran Inovasi.

Barisan panel penilai terdiri daripada pensyarah bidang kesusasteraan Melayu UPSI, antaranya Profesor Madya Dr. Norazimah Zakaria, Profesor Madya Dr. Ghazali Din, Dr. Rohayati Junaidi, Dr. Kasmaizun Enuni Mohd Sarji, Dr. Hasrina Baharum dan Dr. Farra Humairah Mohd.

Peserta menerangkan inovasi yang dihasilkan kepada panel penilai.

Dalam ucapan penangguhan, Dr. Farra Humairah menyeru semua mahasiswa agar terus berkreativiti dan memanfaatkan inovasi yang telah dihasilkan dalam amalan pengajaran apabila menjadi guru kelak.

Beliau turut menggalakkan para peserta supaya mengambil kira setiap komen, cadangan dan ulasan yang diberikan oleh panel penilai sebagai panduan untuk menambah baik produk inovasi tersebut. Ujarnya lagi,

Penambahbaikan yang berterusan akan memastikan produk yang dihasilkan lebih berkualiti, relevan dan berkesan sebelum diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Penghasilan produk tersebut membuktikan bahawa bidang kesusasteraan Melayu mampu bersaing seiring dengan kemajuan teknologi tanpa mengabaikan nilai warisan dan identiti bangsa.

Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, FBK, UPSI untuk menyokong aspirasi universiti dalam usaha melahirkan graduan yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi