Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Tiada sesiapa yang menyangka, di sebalik kesibukan menghadiri kuliah, deklamasi puisi mampu menjadi terapi jiwa yang luar biasa dalam kalangan pelajar.
Melalui program Riak yang Berdengung anjuran Kultus Kata bersempena dengan Pesta Pantai Makar Fest, penampilan dua anak muda berbakat besar, Muhammad Nor Syakir Iman Johari dan Che Ku Muhammad Amsyar Che Ku Jonaidi telah mencuri perhatian para pengunjung di Pantai Batu Hitam, Kuantan, 1 Mei lalu.
Alunan melodi “Cerita Tentang Kita” yang memecah kesunyian menjadi saksi kepada keindahan malam sastera yang cukup memukau.
Penampilan dua pelajar Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) ini dilihat sebagai satu bentuk terapi jiwa yang mampu memberikan ketenangan emosi kepada para pelajar di tengah-tengah kesibukan akademik.
Kehadiran mereka yang diiringi oleh pensyarah, Puan Suzzanna Amir Mohammad dan Encik Nasrul Isyam Abdul Hamid turut membuktikan sokongan padu pihak akademik terhadap bakat kreatif pelajar.

Pengasas Kultus Kata, Fazleena Hishamuddin, menekankan bahawa program ini bertujuan untuk mengasah kreativiti serta keupayaan berfikir secara kritis dan ekspresif, meningkatkan keyakinan diri melalui aktiviti deklamasi di hadapan khalayak ramai, serta memberikan terapi emosi melalui ekspresi seni yang positif.
Program yang bermula pada pukul 5:00 petang ini turut menampilkan barisan penggiat seni lain seperti Issey, Ali Adenan, Man Kayan, dan banyak lagi, yang bersama-sama mengangkat martabat sastera.
Penyertaan pelajar dalam program luar yang profesional dan berimpak tinggi seperti ini diharapkan agar dapat membina jaringan sosial serta pengalaman bermakna yang menyumbang kepada pembangunan sahsiah mereka secara holistik.