Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTangkak – Persatuan Komuniti Buku dan Pengkarya Tangkak Johor (KBKJ) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Tangkak (PPAJCT) menganjurkan acara Pengucapan Puisi Guru Tangkak 2026 bagi menghargai jasa guru, 14 Mei lalu, di PPAJCT.
Acara yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Guru 2026 itu telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Aidah Mohd. Nor, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Perancangan), Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa acara tersebut bukan sahaja menyemarakkan budaya ilmu dan apresiasi sastera, malah menjadi medan yang indah untuk masyarakat menzahirkan penghormatan terhadap jasa guru melalui bahasa yang paling halus dan bermakna, iaitu puisi.
“Puisi menjadi wahana yang cukup istimewa. Melalui bait-bait indah yang dilafazkan, kita bukan sekadar menyusun kata, tetapi sedang merakam penghormatan, menyulam penghargaan dan menzahirkan rasa terima kasih yang mendalam kepada seluruh warga pendidik, khususnya di Tangkak,” ujarnya.

Antara penulis dalam kalangan guru yang tampil termasuklah Salleh Dermawan yang mendeklamasikan karya berjudul “Terima Kasih Cikgu”, Sulaiman Mohd. Nor @ Ibrahim (Merbau Berdarah) dengan puisi “Catatan Seorang Guru” dan Ab. Rani Embi yang mendeklamasikan puisi “Sebentuk Kerongsang Sekeping Hati Anak”.
Yang menariknya, seorang daripada guru yang hadir, Hamisah Mohd. Yusof turut mendeklamasikan puisi “Sepatu Cikgu Shaari”, karya YBrs. Encik Mohd. Isnin Tawaf, Pengasas KBKJ.
Program turut diisi dengan slot bual bicara Pentas 90 Minit yang menampilkan Md. Ishak Abd. Rahman, Tokoh Guru Tangkak 2017 dan Ab. Rani Embi, Tokoh Guru Melaka 2021.
Pameran Pendidikan Sepanjang Zaman juga diadakan untuk mempamerkan biodata penulis-penulis dalam kalangan guru Tangkak seperti Ismail Supandi, Dr. Shamsudin Othman, Allahyarham Prof. Dr. Atan Long, Muhammad Danial Mukhlis Salleh, dan banyak lagi.
Karya mereka dalam bentuk buku dipamerkan, di samping beberapa buah naskhah lama berkaitan dengan buku teks sekolah seawal tahun 1960-an.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengasas KBKJ, Encik Mohd. Isnin Tawaf; mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh; dan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mamat, SMK Seri Tangkak, Sekolah Kebangsaan (SK) Ledang, SK Sialang, SK Sri Tangkak, SK Paya Mas, SK Bandar Tangkak, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Ming 1, SJKC Chi Ming 2, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Sialang dan Sekolah Menengah Agama Lughatil Arabiah.