Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Festival Seni Universiti Malaya (FESENI) 2026 menerusi acara Manifestasi Puisi yang diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, UM, malam semalam menampilkan potensi bakat baharu mahasiswa.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1975, acara tahunan yang menghimpunkan penyertaan kolej-kolej kediaman ini tampil dengan pelbagai acara, termasuk Manifestasi Puisi yang mengetengahkan deklamasi puisi dengan selitan unsur lakonan dan drama.
Sebanyak 10 buah kumpulan berentap dengan menampilkan persembahan hebat dan penuh penghayatan menerusi gaya deklamasi yang kreatif, sekali gus berjaya memukau perhatian para penonton.
Acara tersebut menyaksikan Kolej Kediaman Kesembilan (Puisi Memuisi B) berjaya meraih gelaran juara dan pendeklamasi terbaik. Tempat kedua pula disandang oleh Kolej Kediaman Pertama (Produksi SUTERA), sekali gus merangkul anugerah persembahan terbaik.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Kolej Kediaman Kedua (Surya Aksara). Tempat keempat dan kelima pula masing-masing disandang oleh Kolej Kediaman Ketiga (Seni Puisi Kurshiah) dan Kolej Kediaman Kedua Belas (Royalwali).
FESENI 2026 yang berlangsung dari 7 Mei hingga 24 Mei ini menampilkan 15 acara yang dipertandingkan, antaranya termasuklah kompang selawat, nyanyian, nasyid, tarian kreatif, koir, dikir barat, tarian tradisional kebangsaan dan muzik akustik.
Malam kemuncak program ini ialah Malam Juara-Juara yang diadakan pada 24 Mei ini bagi meraikan para pemenang daripada 15 acara yang dipertandingkan.