Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Cerpen yang benar-benar hidup bukan sekadar meniru bentuk yang sudah ada, tetapi cerpen yang berani menjadikan keanehan, luka dan dunia tempatan sebagai sumber makna.
Perkara ini dinyatakan oleh Abang Median Abang Said ketika membentangkan kertas kajiannya, “Cerpen Sebagai Bentuk Perlawanan Naratif: Membaca Realiti Melalui Simbol dan Ingatan” bersempena dengan Kolokium Sastera: Kajian Genre Cerpen di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi semalam.
Beliau melihat cerpen sebagai ruang untuk menunjukkan bahawa sesuatu yang kelihatan kecil, ganjil atau remeh sering menyimpan makna yang jauh lebih besar tentang kehidupan manusia.
Cerpen tidak semestinya bergerak melalui peristiwa yang besar atau dramatik. Cerpen juga tidak perlu tunduk sepenuhnya kepada realisme yang lurus dan logik biasa. Terdapat pengalaman manusia yang terlalu rumit untuk dijelaskan melalui bahasa harian. Maka, cerpen boleh menjadi aneh, simbolik dan magis, bahkan kelihatan mustahil.
Beliau turut menjelaskan bahawa keanehan dalam penulisan cerpen ialah bahasa lain bagi luka batin, trauma, kesunyian dan keterasingan manusia.
“Cerpen memberikan ruang kepada manusia yang gagal bercakap secara biasa untuk meluahkan dirinya melalui bentuk yang lain,” jelasnya.
Berkongsi mengenai unsur keanehan dalam penulisan cerpennya yang bertajuk “Arca Kayu yang Bertempik”, beliau memperlihatkan bahawa benda mati juga dapat bersuara dan menjadi lambang kepada sejarah, kemarahan dan luka yang terlalu lama dibungkam.
Seterusnya, beliau juga menonjolkan konsep cerpen sebagai ruang untuk menceritakan perkara yang sudah berlaku dan yang tidak sempat berlaku menerusi cerpennya, “Remaja Bersayap yang Mahu Terbang Tinggi”.
“Konsep cerpen yang dibawa bukan unsur realisme datar, tetapi realisme yang dibesarkan oleh simbol, mitos dan unsur magis agar penderitaan dapat dirasakan dengan lebih mendalam,” ujarnya.
Menurut beliau, unsur keanehan dalam cerpen bukan sekadar untuk mengejutkan pembaca, tetapi berfungsi untuk membuka lapisan makna seperti ikatan emosi dengan alam, adat pengebumian, rasa bersalah yang tidak sembuh dan cinta yang berubah menjadi pemujaan.
Selain unsur realisme magis, beliau menegaskan bahawa perkara yang tidak boleh diketepikan dalam penulisan cerpen, terutamanya bagi yang beragama Islam ialah kepercayaan kepada agama.
Dalam Kumpulan Cerpen dan Anekdot: Cacing di Dahi, contohnya, saya ingin menunjukkan bahawa apabila kita percaya dengan kuasa Yang Maha Kuasa, sesuatu yang kita fikirkan tidak boleh berlaku, sebenarnya boleh berlaku.
Mengakhiri pembentangan, beliau merumuskan tiga konsep cerpen yang ingin dibawanya, iaitu cerpen yang menjadikan perkara kecil sebagai pintu kepada persoalan besar, cerpen yang berani menjadi aneh agar luka manusia dapat diterangkan dan cerpen yang sentiasa mencari suara yang dibisukan, sama ada suara manusia, alam, haiwan, sejarah, perempuan atau ingatan.