Diterbitkan pada 12 Mei 2026, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Hani Sofea Ahmad Azhari

Pagoh  –  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh melalui Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL) menganjurkan program “Santun Digital” (Santun-Digi) untuk menghidupkan semula nilai kesantunan berbahasa, di samping menangani isu kepincangan adab dan bahasa dalam ranah digital yang semakin membimbangkan.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliah B3, KSTCL ini melibatkan 111 orang pelajar Program Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa yang mengambil kursus BMCO 3102 Kesantunan Bahasa dengan kolaborasi bersama Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).

Dalam ucapan perasmian, YBrs. Dr. Arina Johari yang merupakan penasihat program Santun-Digi berharap agar para pelajar dapat menjadi papan kekunci yang menerapkan nilai kesantunan dalam platform media sosial.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pengisian bermakna, termasuklah sesi audio siar bersama Pegawai Eksekutif Kanan di Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), En. Afiq Zulhilmi Baharudin dan penyanyi/pempengaruh terkenal, En. Muhammad Firdaus Rahmat.

Sesi audio siar yang membincangkan isu kesantunan bahasa

Pelajar BMCO 3102 turut mempamerkan reruai yang mengupas isu kesantunan dan ketidaksantunan dalam media sosial dan tanggungjawab moral seorang pengguna media sosial. Penekanan diberikan kepada konsep “reboot politeness” atau mengulang cetus semula jati diri bangsa yang terkenal dengan sifat lemah lembut dan berbudi bahasa, meskipun sekadar di hujung jari.

Pameran reruai daripada kumpulan “Padah Tak Santun”

Kemuncak acara diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang video pendek terbaik dan reruai terbaik sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti dan semangat kerjasama sepanjang aktiviti program berlangsung.

Hani Sofea Ahmad Azhari selaku pengurus program berpendapat bahawa kesantunan berbahasa bukan sekadar hiasan dalam komunikasi bersemuka, malah merupakan cerminan peribadi dan intelektual seseorang dalam dunia siber.

“Program ini diharapkan agar dapat menjadi titik tolak kepada perubahan budaya digital yang lebih sihat,” tambahnya.

Penganjuran Santun-Digi membuktikan bahawa pemerkasaan nilai kesantunan dalam media sosial ini digerakkan secara seimbang berteraskan nilai tauhid, ilmu dan adab.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi