Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Samarahan – Budaya membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya para pelajar, perlu diperkasakan dan dipergiat semula bagi melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing, menurut Pengarah Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY), Puan Levas anak Mejus.
Menyedari kepentingan membaca, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui PeTARY telah menganjurkan program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit pada 30 April lalu.
Program bertemakan “Membaca Menggembirakan, Membaca Membina Bangsa” ini bukan sahaja menekankan amalan membaca, malah turut diisi dengan pelbagai aktiviti intelektual yang memperkaya pengalaman peserta.
Antara pengisian utama program ini termasuklah sesi telaah yang menampilkan Encik Peter anak Sibon dan Encik Valentino Abu Bakar yang membincangkan buku “The Pillar of Harmony”. Sesi ini memberikan ruang kepada peserta untuk mendalami bahan bacaan secara kritis serta berkongsi pandangan dalam suasana interaktif.
Satu sesi biblioterapi yang dikendalikan oleh Cik Angeline Anak Bisa turut menjadi tarikan utama. Sesi ini memperlihatkan peranan bahan bacaan sebagai medium terapi untuk kesejahteraan emosi dan mental.
Para peserta didedahkan tentang pendekatan membaca sebagai satu bentuk refleksi diri dan penyembuhan, sejajar dengan konsep bahawa buku mampu menjadi sahabat untuk menghadapi cabaran kehidupan.
Selain itu, program ini juga menampilkan sebuah perkongsian bertajuk “Dari Pembaca ke Penulis” oleh Encik Benedict anak Samling. Beliau berkongsi pengalaman dan perjalanan peribadi dalam dunia penulisan, bermula sebagai seorang pembaca sebelum aktif menulis.
Perkongsian tersebut memberikan inspirasi kepada peserta, khususnya golongan muda dan pelajar, untuk menjadikan amalan membaca sebagai asas kepada penghasilan karya yang bermakna.