Diterbitkan pada 29 April 2026, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha mendekatkan generasi muda dengan dunia kesusasteraan perlu diperkukuh melalui sistem pendidikan serta pendekatan yang lebih relevan dengan perubahan zaman.

Perkara itu dibincangkan dalam Forum Anugerah Sastera Negara: Keunggulan dan Transformasi yang menampilkan Profesor Emeritus Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan dan Dr. Norhayati Ab. Rahman menerusi saluran YouTube DBPMalaysia.

Perbincangan ini menekankan kepentingan memperkenalkan karya dan tokoh Sasterawan Negara sejak peringkat awal pendidikan agar legasi kesusasteraan negara tidak terputus.

Dr. Norhayati menegaskan bahawa pendedahan tentang karya sastera seharusnya bermula sedari sekolah rendah dan diteruskan hingga peringkat universiti.

Kesusasteraan tidak seharusnya terhad kepada kelompok atau jurusan tertentu sahaja. Semua pelajar perlu diberi peluang untuk mengenali karya dan tokoh sastera.

Beliau turut mencadangkan subjek sastera diperkenalkan sebagai kursus umum di universiti, termasuk dalam Mata Pelajaran Umum (MPU) tanpa mengira jurusan pelajar. Menurut beliau, pendekatan ini telah dilaksanakan di beberapa buah universiti di United Kingdom.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu kerelevanan Anugerah Sasterawan Negara dalam kalangan penulis muda. Beliau berpandangan bahawa anugerah tersebut masih relevan dan wajar dijadikan aspirasi oleh penulis muda untuk menghasilkan karya yang berkualiti.

Sementara itu, Profesor Emeritus Dr. Mohamad Mokhtar pula berpandangan bahawa pendekatan untuk menarik minat generasi muda perlu disesuaikan dengan dunia mereka yang kini banyak dipengaruhi oleh alam siber.

Sastera perlu dibawa ke platform digital. Medium penyampaian boleh berubah, tetapi kandungan karya tidak boleh dikompromi. Nilai falsafah dan pemikiran serta keindahan bahasa harus dikekalkan.

Tambahnya, karya sastera juga perlu mengangkat persoalan yang dekat dengan kehidupan generasi muda kini seperti persoalan identiti diri dan keresahan yang dialami oleh mereka pada hari ini.

Mengulas tentang karya Sasterawan Negara yang sesuai diperkenalkan kepada pembaca dalam kalangan generasi muda, Dr. Norhayati mengesyorkan karya tokoh seperti Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Arena Wati, Usman Awang, Muhammad Haji Salleh dan Zurinah Hassan.

Baginya, karya-karya tokoh tersebut mempunyai kekuatan tersendiri dan telah banyak dijadikan bahan kajian pada peringkat pengajian tinggi.

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi