Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengarang atau penulis sebenarnya memikul tanggungjawab yang besar, iaitu mereka menjadi pembentuk pemikiran masyarakat melalui karya mereka.
Perkara ini ditegaskan oleh tetamu istimewa episod keempat rancangan Audio Siar Kupas Sastera (KS), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Pada episod kali ini, KS membawa topik “ASAS 50 dan Semangat Nasionalisme”.
Berkongsi pandangan mengenai persatuan Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS 50), beliau berpendapat bahawa ASAS 50 termasuk antara gerakan intelektual yang menarik dan wajar diraikan.
“Idea yang dibawa dalam ASAS 50 yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1950 adalah baik untuk membangunkan masyarakat, di samping membela nasib para penulis. Selain itu, perjuangan bahasa supaya bersifat dinamik serta penyebaran idea nasionalisme turut diketengahkan melalui persatuan ini,” tambah beliau.
Golongan penulis pada era 1950-an ini termasuklah Masuri S. N. dan Muhamad Ariff Ahmad merupakan kelompok terpilih yang mempunyai kesedaran untuk membawa perubahan dalam pemikiran masyarakat, di samping berusaha mempertahankan tanah air daripada direbut oleh bangsa asing.
Apabila menyentuh persoalan tentang identiti dan nasionalisme pada zaman kecerdasan buatan (AI) pula, beliau menegaskan bahawa bentuk karya yang bersifat nasionalisme pada zaman sekarang menuntut seseorang pengarang memahami sejarah serta peka terhadap keadaan semasa.
Menurutnya,
Karya sastera pada masa ini boleh bersifat futuristik dengan mengemukakan kemungkinan yang bakal berlaku serta langkah yang perlu diambil untuk menghadapinya. Walau bagaimanapun, asas penting seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak harus diketepikan.
Beliau juga menambah bahawa karya sastera perlu dibina berdasarkan satu kerangka pemikiran yang membantu masyarakat memahami kemungkinan masa hadapan serta cara menanganinya.
Dalam hal ini, pengarang perlu berfikir jauh ke hadapan, membuat jangkaan dengan pantasnya agar tidak ketinggalan zaman, serta memastikan idea yang dikemukakan bukan sekadar khayalan, tetapi berasaskan fakta.