Diterbitkan pada 30 Mac 2026, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sastera rakyat merupakan asas kepada pembentukan sastera kebangsaan. Hal itu merupakan inti pati episod ketiga rancangan Audio Siar Kupas Sastera (KS) yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi saluran YouTube DBP Malaysia dan JendelaDBP.

Profesor Madya Dr. Mohamad Luthfi Abdul Rahman dari Universiti Sains Malaysia (USM), seorang sarjana dalam bidang sastera tradisional, tampil sebagai tetamu khas dalam episod pada kali ini.

Menurut beliau, sastera rakyat merupakan cerita yang diturunkan secara lisan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Walaupun sastera rakyat mengalami sedikit perubahan disebabkan unsur tokok tambah oleh tukang cerita, tetapi asas cerita tetap dikekalkan.

“Sastera lisan atau sastera rakyat bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita dapatkan kerana sesuatu cerita itu tidak boleh direka-reka. Sesuatu sastera lisan yang direka-reka dianggap sebagai perbuatan yang tidak beretika dan akan mendatangkan bahaya pada suatu masa nanti,” ujar beliau.

Beliau turut berkongsi bahawa sastera rakyat terbahagi kepada dua kategori, iaitu bentuk bukan cerita dan bentuk cerita. Sastera rakyat berbentuk bukan cerita terdiri daripada puisi tradisional, manakala bentuk cerita pula terdiri daripada cerita lipur lara, legenda, cerita jenaka dan mitos.

Dalam konteks semasa, isu inovasi dalam pantun turut dibincangkan apabila generasi muda dilihat cenderung menggunakan pembayang moden seperti unsur kenderaan, bangunan dan nama tempat.

Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa pendekatan ini boleh diterima selagi struktur, rima dan bentuk pantun dikekalkan, sekali gus memastikan kesinambungan tradisi tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa sastera rakyat mengandungi unsur pengajaran yang sangat bernilai dan relevan dari dahulu hingga sekarang, selain berfungsi sebagai hiburan.

Perbincangan turut menegaskan sastera rakyat bukan sekadar warisan masa lalu, sebaliknya masih relevan dan berfungsi dalam kehidupan moden, termasuk melalui pendidikan, pelancongan serta adaptasi dalam bentuk lagu dan filem.

Menutup perbincangan, beliau berkongsi cerita sastera rakyat kegemarannya antaranya termasuklah termasuklah legenda Bujang Senang, mitos Mohamad Batin serta legenda Keling dan Kumang.

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi