Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangYasmin Zolkifly berutus surat dengan adiknya untuk kali yang terakhir. Pengalaman dan warna-warni kehidupan di Osaka dan Tokyo berbaur dalam warkah yang terakhir ini.
Dihembus lembut bayu tasik yang membiru.
Surat No. 8
Marble Beach Rinku, Osaka
Tanggal: Sebelum berangkat pulang
Selamat Hari Jadi Nani!
Aku doakan yang terbaik sentiasa untukmu. Semoga segala usaha dan amalanmu diberkati Tuhan, dik. Usia kita sudah menua. Apakah lagi yang kita kejarkan dalam dunia ini melainkan kebahagiaan dan kebaikan buat diri kita dan orang yang kita sayangi. Aku percaya, Insya-Allah, hari ini dan hari-hari seterusnya kau akan berbahagia.
Aku bakal berangkat pulang esok. Masih berada di Osaka untuk malam terakhir. Hari ini aku tidak ke mana-mana pun. Hanya bersiar–siar di pekan Rinku yang terletak di tepi pantai. Cuaca hari ini agak redup dan bayu laut bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Pantai ini tidak berpasir, Nani dan hanya dipenuhi dengan batu–batuan licin putih sebesar genggamanku. Umpama batuan yang terdapat di sungai, mengunjur ke laut yang berombak kecil.
Dari pantai ini kelihatan sayup lapangan terbang Kansai yang dibina di atas pulau buatan manusia. Esok selepas subuh, aku akan bertolak ke sana untuk penerbangan pulang.
Aku bersyukur Nani, kerana diberi kesempatan untuk mengembara di tanah Jepun ini. Berpeluang melawat Tokyo, Nikko, Kyoto dan terakhir sekali, Osaka. Itu pun kurasakan masa terlalu singkat untuk aku sendiri menghayati budaya dan kehidupan di sini.

Semalam aku bersiar-siar di kawasan taman Istana Osaka. Kawasannya jauh lebih besar berbanding dengan kediaman Maharaja Jepun di Kyoto tempoh hari. Kota istananya pula terletak di atas bukit yang dibina bertingkat-tingkat. Setiap tingkat ditampan dengan tembok batu granit yang tinggi dan dipisahkan pula dengan parit yang besar. Ada yang sebesar sungai. Pada setiap tingkat terdapat taman-taman dan pokok-pokok.

Daun pokok mula bertukar warna.
Ramai orang Jepun keluar bersiar-siar dan bersantai di taman-taman ini, Nani. Mereka datang dengan keluarga, anak-anak kecil, kawan-kawan, anjing peliharaan dan basikal. Ada yang membawa anjing mereka bersiar-siar dalam bakul basikal. Suasana hujung minggu yang ceria di bandar Osaka ini. Dipenuhi gelak tawa dan keriangan kanak-kanak serta orang-orang muda.

Di kota Osaka, penduduknya lebih bersahaja dan lepas laku. Tidak terkejar-kejar diasak masa. Langkah mereka lebih tenang dan bergaya. Kehidupan mereka di sini seimbang disulami dengan unsur tradisional kekeluargaan, pencapaian moden serta menitikberatkan perkembangan budaya.
Di sini, mereka tidak terbatas dengan identiti dan tujuan yang serupa, tidak seperti di Tokyo yang jiwanya seolah-olah mesin jentera yang terkurung dalam kepompong masing–masing, seperti robot mereka terkongkong dalam kehidupan monotoni hitam putih dan sunyi itu. Tiada cita rasa tersendiri. Warna–warnanya pun kelam dan membosankan.
Berbeza di Osaka, Nani. Di sini, warna–warna lebih terserlah melalui pemakaian mereka. Warna-warna bangunan dan persekitaran pun begitu. Rentak kehidupannya lebih bersemangat. Di sini hingar, di sana sunyi. Di sini gelak tawa, di sana berlumba. Di sini hidup, di sana seakan-akan mati. Jiwamu pasti lebih serasi di sini, Nani. Manakala aku mungkin lebih selesa dalam kehidupan yang sunyi itu.
Tidak Nani, aku lebih inginkan hidup di kaki gunung yang terpencil seperti di Kinugawa. Jauh dari kesibukan kota. Di bawah rimbunan dedaunan yang bertukar warna. Didampingi deras air terjun menuruni jeram.
Dihembus lembut bayu tasik yang membiru.
Kelmarin aku ke Mino Falls, tidak jauh dari Osaka. Berjalan lagi di bawah rimbunan pokok–pokok yang sepi dan menyejukkan semasa menuju ke kolam air terjun di tengah-tengah hutan tersebut.
Malamnya pula aku lawati Dotonbori Street yang terkenal di Osaka. Terletak di tepi sungai. Penuh laluan kaki lima tepi sungai tersebut dengan kerumunan pelancong dan pengunjung. Sepanjang kaki lima itu terletak deretan kedai barangan, cenderamata, restoran dan tempat mencari hiburan yang meriah pada waktu malam. Terdapat pula pertunjukan tarian dan muzik tradisional di tepi sungai itu. Gadis–gadis Jepun menari memakai kimono putih dan bertopi mengkuang bulan sabit. Rentaknya lemah gemalai diselangi dengan irama hentakan gendang.
Pasti engkau menyenangi suasana keramaian ini. Sesuai dengan sifatmu yang periang dan lekas berkawan dengan sesiapa sahaja.
Nani,
Aku mahu kau tahu bahawa persahabatan ini amat berharga bagiku, dik.
Sepanjang pengembaraanku pada musim luruh ini, tiada kuntuman bunga yang mekar kudapati. Tiada lagi sakura mengorak kelopak. Hanya dedaunan bertukar warna dan batang–batang pohon yang berdiri sepi. Menghitung hari menunggu ketibaan musim dingin yang mematikan.
Tetapi tempoh hari aku terjumpa sebuah pokok bunga berkelopak kecil lembayung ungu keputihan sewaktu berjalan sendiri di lorong–lorong perumahan di Kyoto. Pokok bunga ungu itu terang warnanya di balik senja yang suram. Memukau dan menyerlah di celah-celah kedinginan warna–warna malap.
Lantas aku teringat padamu, Nani. Aku teringatkan dirimu yang menyukai pokok-pokok bunga yang berwarna–warni dan mempesonakan. Terimbau kembali rancangan nakal kita untuk memungkis pokok–pokok bunga yang kita berkenan di perkarangan taman rumah orang lain untuk dicuri bawa pulang dan tanam di halaman rumahmu. Aku pasti engkau akan tertarik pada kuntuman bunga–bunga lembayung ungu di hadapanku itu. Malah mungkin kau ingin membawanya pulang juga.
Bukankah persahabatan kita seharusnya begitu, dik? Mekar tanpa mengira musim.
Sampai di sini sahaja coretanku, Nani. Kebas rasanya wajahku ditiup sejuk angin pantai. Aku harap kita akan bertemu kelak untuk menjalin semula persahabatan, dan sehinggalah detik itu tiba, aku serahkan segalanya pada Tuhan. Dialah sebaik penentu.
Salam adikku. Jaga dirimu baik–baik.