Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSoraya menemu bual penulis karya terbaharu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Warkah dari Baoding. Idea penulisan, ilham, pengalaman dan kerja kreatif berbaur untuk tatapan pembaca.
Beliau memilih peristiwa sejarah sebagai idea utama karya kerana golongan remaja lebih mudah untuk memahami urutan peristiwa sejarah dalam bentuk penceritaan karya kreatif
Lambakan novel popular seperti novel percintaan dan fantasi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan remaja tidak menghalang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menerbitkan novel remaja beransur sejarah. Penerbitan sebegini sememangnya merupakan serampang dua mata, iaitu bagi menarik minat golongan remaja membaca novel sejarah selain mendekatkan mereka dengan fakta dan peristiwa sejarah yang betul serta menarik.
Hal ini juga akan membuatkan pembacaan novel bukanlah sekadar mengisi masa lapang semata–mata tetapi secara tidak langsung dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman tentang masa silam yang tidak pernah dilalui oleh mereka. Dengan adanya penerbitan terbaharu karya kreatif berunsur sejarah terbitan DBP ini, maka hal itu dapat merangsang pemikiran kritis dan analisis pembaca serta mengukuhkan tahap pengetahuan.
Oleh itu, penerbitan novel remaja terbaharu DBP, iaitu Warkah dari Baoding karya Umamah Syed Abdullah merupakan satu daripada usaha untuk mendekatkan golongan muda membaca novel berunsur sejarah. Penulis yang sudah sedekad bergelar sebagai penulis ini mendapat inspirasi kisah sejarah tersebut yang diadun dalam karyanya daripada kisah Allahyarhamah ibunya yang sering kali bercerita tentang pengalaman yang dilaluinya bersama-sama dengan keluarga semasa pendudukan Jepun.

Karya istimewa beliau ini menceritakan tentang seorang gadis bernama Nayli yang merupakan pentransliterasi tulisan Jawi yang mendapat naskhah Jawi daripada pemuda misteri berbangsa Cina. Naskhah yang ditulis oleh datuk pemuda itu membuatkan Nayli berasa musykil tentang peribadi pemuda tersebut dan datuknya. Pada pertengahan cerita, Nayli dikejutkan dengan berita kehilangan kapal terbang MH370 yang mungkin telah dinaiki oleh pemuda itu. Sejak itu, Nayli berasa resah tetapi dengan amanahnya untuk merumikan naskhah tulisan Jawi itu, maka soalan demi soalan menjelma dalam sanubarinya.

Ketika ditemu ramah oleh JendelaDBP, Umamah selaku penulis menyatakan bahawa beliau telah mengambil masa selama tiga hingga empat bulan untuk menukangi karya ini. Masa yang diambil itu dimanfaatkannya untuk mencari maklumat yang terperinci dan sahih daripada mereka yang hidup semasa zaman penjajahan tersebut.
Oleh sebab beliau ingin menerapkan fakta yang benar, maka pencarian maklumat sejarah tersebut harus dilakukannya dengan teliti dan cermat. Antara cabaran yang dihadapinya termasuklah kesukaran untuk mendapatkan buku-buku sejarah yang berkaitan dengannya di kedai buku.
Selain cabaran tersebut, dalam aspek penulisan kreatif, beliau juga harus merangka naratif cerita berdasarkan kepada penyusunan garis waktu yang tepat dan menarik kerana penceritaan novel ini bertindih dalam dua latar zaman yang berbeza. Jelasnya,
Penyusunan garis masa naratif ini memerlukan penelitian tinggi bagi mengelakkan pembaca keliru apabila membacanya. Selain itu, penyelidikan dan rujukan juga perlu dibuat dengan teliti berkaitan dengan lakaran waktu dan tempat supaya menepati peristiwa yang berlaku dalam sejarah. Malah, nama dan umur watak juga dipilih sesuai dengan zamannya supaya karya ini ‘hidup’ apabila dibaca.
Beliau memilih peristiwa sejarah sebagai idea utama karya kerana golongan remaja lebih mudah untuk memahami urutan peristiwa sejarah dalam bentuk penceritaan karya kreatif berbanding dengan bentuk rencana atau buku sejarah. Menurutnya, mengolah sejarah dalam bentuk karya kreatif akan membuatkan pembaca berasa peristiwa itu lebih hidup melalui watak-watak, latar tempat dan masa yang dibangunkan.
Novel remaja ini juga mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. Hal ini demikian kerana, karya ini menampilkan penceritaannya dalam bentuk yang berbeza, iaitu dalam bentuk catatan peribadi (surat-menyurat) sebagai gaya utama. Terangnya lagi,
Saya memilih untuk menampilkan penceritaan dalam bentuk catatan peribadi sebagai gaya utama kerana hal ini dapat menampilkan misteri dan tanda tanya kepada pembaca. Selain itu, apabila ada catatan peribadi dalam penulisan, maka akan menggambarkan bahawa adanya mesej penting yang hendak disampaikan dan menjadi daya tarikan kepada pembaca.
Dengan menggunakan pendekatan tersebut, maka beliau juga menyimpan harapan agar generasi muda tidak lupa akan perjuangan nenek moyang yang melalui kepahitan hidup dalam cengkaman penjajahan dan memahami betapa mahalnya harga sebuah kemerdekaan dan pembebasan.
Antara buku rujukan sejarah yang digunakan untuk menukangi novel ini termasuklah buku Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan (Mohamed Salleh Lamry), Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu (Abdul Samad Idris), Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan (Abu Samad Mohd Kassim) dan Perang Anti-British dan Perdamaian (Abdullah C.D). Selain rujukan buku, beliau juga mengutip cerita lisan daripada warga emas yang hidup waktu penjajahan untuk dijadikan sebagai “rempah” dalam naratif novelnya.
Ketika ditanyakan tentang watak kegemaran peribadi karya ini, beliau memilih watak utama, iaitu Nayli.
Saya berasa puas apabila menulis tentang watak Nayli. Saya mencipta watak yang sentiasa berada dalam keadaan tertanya-tanya supaya hal itu mempengaruhi pembaca yang juga akan turut berasa tertanya-tanya tentang penulis warkah yang menulis dalam tulisan Jawi tersebut. Hal ini disebabkan watak penulis warkah itu ialah watak yang kuat untuk menarik perhatian pembaca dengan kisah perjalanan hidupnya sewaktu penjajahan.

Selain unsur sejarah, karya ini juga kaya dengan kepelbagaian elemen kreatif lain yang boleh menarik dan menyentuh jiwa raga pembaca remaja termasuklah tentang misteri, percintaan dah kekeluargaan. Dengan adanya kepelbagaian “rasa” ini, maka pembaca tidak akan berasa bosan untuk menyelesaikan pembacaan.
Seterusnya, apabila ditanya tentang perkara yang menyeronokkan apabila menjadi penulis, Umamah menyatakan bahawa beliau akan berasa puas dan seronok jika pembaca mendapat manfaat daripada karyanya. Katanya lagi,
Manfaat dari segi mesej, pengajaran yang menginsafkan dan gaya penulisan yang dapat diterima oleh pembaca. Ketiga-tiga hal itu penting untuk saya sebagai penulis.
Sementara itu, beliau juga berharap agar pembaca tergerak hati untuk mendapatkan karya tersebut dan seterusnya membaca novel remaja ini. Beliau menekankan bahawa dengan terbitnya Warkah dari Baoding, maka generasi muda tidak lupa akan sejarah dan tidak melihat sejarah dalam pandangan yang kaku. Terangnya lagi,
Karya berlatarkan sejarah seperti ini akan menjadi satu peringatan supaya generasi hari ini tidak leka dengan kemajuan kerana penjajahan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti penjajahan pemikiran, pendidikan dan ekonomi.
______________________________________________
Petikan ayat yang menarik dalam Warkah dari Baoding.
Senapangkah atau keriskah, jika digunakan untuk menzalimi orang, maka dia sebenarnya sudah kalah. Dia kalah pada nafsunya sendiri. Bersatu hati, tidak ada hasad dengki, tidak belot, saling mempercayai, ilmu, adab dan kebijaksanaan itu ialah senjata yang boleh membawa kepada kemenangan.
Duduk di atas kerusi roda, neneknya merenung jauh. Segala keindahan dan kedamaian di sekitar rumah panggung itu tidak tercapai oleh kelima-lima inderanya. Dia bagaikan pohon bakau hitam berceracak di tepian pantai. Dipukul ombak, dibelasah badai, dia tetap pegun tanpa memberikan tindak balas. Memakai selendang broket berwarna merah kesumba yang sudah kusam atas permintaannya menenggelamkan dirinya pada masa lalu. Sesungguhnya, neneknya hilang dalam kewujudannya.
Kuntum…, engkau sentiasa menguntum dalam hatiku. Aku sangat cinta dan merinduimu. Engkaulah satu-satunya kekasih hatiku. Peperangan sangat menyakitkan dan peperangan kerap kali membuat aku keliru. Negara kita sudah merdeka. Perjuangan memanggul senjata sudah tamat. Tetapi kita harus berjuang memartabatkan anak bangsa dengan ilmu, adab dan agama.
Kita akan terperangkap dengan kata-kata ‘berjuang’ dan ‘perjuangan’ jika kita tidak menapis apa yang kita perjuangkan dan tidak memikirkan kesan terhadap perjuangan kita. Waktu itu perang. Semua orang hendak menentang penjajah. Dalam keadaan haru-biru, jika kita tidak bijak dan berhati-hati, kita akan membuat keputusan yang salah.