Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHipnie Sharbini melihat suara hati dan jiwa kepengarangan Shield Sahran yang boleh menjadi hikmah berguna buat penulis pemula.
Kita tidak boleh mencari suara kita kalau tidak menulis. Tulis sahaja dahulu. Suara akan muncul sendiri apabila kita jujur.
Nama Shield Sahran bukan nama yang asing lagi dalam kalangan penulis dan peminat sastera di Sarawak. Beliau merupakan antara penulis yang tumbuh daripada benih ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), sebuah platform penyiaran karya penulis pemula terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, dengan kerjasama akhbar Utusan Sarawak.
Dalam Sesi Bersama Alumni WBS sempena Bengkel Terampil (cerpen dan puisi) 2025, Shield tampil sebagai alumni yang masih prolifik berkarya dan menjadi inspirasi kepada penulis angkatan baharu. Suaranya sarat dengan semangat dan kejujuran yang menjadikan beliau sebagai wajah penting dalam dunia sastera Sarawak sekarang.
Dalam sesi tersebut, beliau mengimbas kenangan ketika mula-mula “mengatur tapak” dalam dunia penulisan,
Saya masih ingat pembimbing pertama saya dahulu, iaitu Allahyarham Haji Jali Kenoi. Kemudian, Cikgu Mohd Ali Salim, Cikgu Jais Sahok, Abizai dan Puan Rosani. Jujurnya, saya lebih dominan dalam penulisan cerpen sebab saya ini seorang storyteller. Kalau menulis puisi, saya rasa tidak cukup sedangkan saya hendak bercerita lebih jauh dan lebih dalam.
Bagi beliau, setiap pembimbing meninggalkan kesannya yang tersendiri. Ada pembimbing yang tegas, santai dan ada juga pembimbing yang mengajar dengan gurauan. Namun, semua hal itu menjadi bahagian penting dalam perjalanan kreatifnya. Terangnya,
Kadang-kadang, teguran dan nasihat pembimbing yang kita rasakan tidak sesuai pada hari ini, mungkin menjadi panduan yang sangat berguna kemudiannya. Menulis ini merupakan proses panjang dan kita perlu terus belajar sepanjang hayat.
Menulis dengan Jujur
Baginya, kunci utama dalam penulisan ialah kejujuran.
Saya menulis apa-apa yang saya rasa. Kalau saya marah, saya tulis. Kalau saya sedih, saya tulis. Tapi saya tidak pernah cuba menulis untuk memuaskan orang lain. Apabila kita jujur, maka tulisan itu hidup. Kadang-kadang orang tidak suka tulisan kita sekarang, tapi suatu hari nanti tulisan itu akan menyentuh hati seseorang.
Beliau juga menyatakan bahawa tulisan yang baik bukan sekadar bahasa yang indah, tetapi merupakan ketulusan hati di sebalik kata-kata.
“Suara” Penulisan Sendiri
Dalam sesi tersebut juga, apabila ditanyakan tentang “suara” penulisannya, Shield ketawa kecil sambil menyatakan bahawa para pembacanya boleh mengenali karyanya walaupun jika tanpa namanya ditulis.
Mungkin sebab saya banyak menggunakan unsur realiti sosial dan budaya tempatan. Saya suka menulis tentang masyarakat dan orang biasa yang hidup dalam keadaan luar biasa.
Tambahnya lagi, suara penulis bukan sesuatu yang dicipta, tetapi merupakan sesuatu yang ditemui melalui proses penulisan yang panjang.
Kita tidak boleh mencari suara kita kalau tidak menulis. Tulis sahaja dahulu. Suara akan muncul sendiri apabila kita jujur.
Eksplorasi Idea dan Cerita
Dalam dunia penulisannya, Shield terkenal dengan eksplorasi pelbagai tema termasuklah mistik, mitos, fiksyen sains dan realisme sosial. Sekarang, beliau mula menjelajah dalam dunia gastronomi tempatan, iaitu genre yang jarang diterokai oleh penulis lain.
Sebelum ini saya banyak menulis tentang legenda, seram dan futuristik. Tapi sekarang saya rasa lebih dekat dengan cerita tentang makanan. Setiap hidangan ada cerita, memori dan identiti. Makanan ni menghubungkan manusia dengan sejarahnya.
Beliau turut menyatakan satu daripada karya cerpennya yang paling dekat di hatinya, iaitu “Hantu-hantu Penglipur Lara”.
Idea cerpen itu muncul semasa saya memotong rumput di kubur datuk saya di Tanah Perkuburan Munggu Along. Saya rasa sangat “down”. Tiba-tiba saya terfikir, ‘mengapa saya tidak menulis daripada sudut pandang hantu?’ Bermula dari situ, saya kembali mendapat semangat. Kadang-kadang, idea paling jujur muncul pada saat kita paling rapuh.
Menulis ialah Menyelami Diri
Bagi Shield, menulis bukan hanya kerja kreatif, tetapi juga kerja hati.
Menulis bagi saya seperti bercakap dengan diri sendiri. Kadang-kadang, saya menjumpai sisi diri yang saya tidak pernah kenal. Kadang-kadang, saya sembuh daripada luka lama apabila menulis.
Rintangan Pengarang (writer block) Cuma Alasan
Mengulas tentang rintangan pengarang, Shield ketawa kecil lalu memetik nama Sasterawan Negeri Sarawak, iaitu Jong Chian Lai.
Jong pernah mengatakan bahawa ‘writer’s block is nonsense’. Kalau buntu, maknanya kita tidak cukup melihat dunia. Dunia ini penuh dengan idea, cuma kita sahaja yang perlu belajar mendengar dan memerhati.
Beliau menambah, “Bunyi kipas, riuh kedai kopi atau wajah orang tua yang termenung pun sebenarnya boleh menjadi benih cerita. Asalkan kita mahu melihat dengan mata hati.”
Daripada Akhbar Kecil ke MASTERA
Pelibatan Shield dalam program MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) turut memperluaskan pandangannya tentang budaya sastera di rantau ini. Beliau yang pernah mewakili Malaysia dalam Program Penulisan Novel Mastera 2024 berkata,
Penulis muda di Indonesia sangat berani. Mereka melontarkan dan berkongsi idea tanpa takut idea mereka dicuri kerana mereka mengetahui bahawa identiti penulis tidak akan boleh diganti. Mereka juga berdebat secara terbuka, tetapi penuh hormat. Saya berasa bahawa budaya sebegini patut dipupuk – berani bersuara tetapi beradab.
Inspirasi dan Rujukan
Antara penulis yang menjadi inspirasinya ialah Shahnon Ahmad, Hamka, Faisal Tehrani dan Eka Kurniawan.
Saya mula membaca karya Shahnon Ahmad, iaitu kumpulan cerpen bertajuk Debu Merah semasa berumur sepuluh tahun. Dari situ, saya mengetahui bahawa kata-kata boleh menjadi visual dalam fikiran pembaca. Karya Hamka pula mengajar saya erti nilai dan kasih Tuhan. Karya Faisal Tehrani mengajar saya untuk berfikir bebas. Eka Kurniawan pula mengajar saya bahawa bahasa boleh menjadi magis.
Pesan buat Penulis Pemula
Sebelum mengakhiri sesi, Shield menitipkan pesanan yang disambut dengan anggukan para peserta:
Jangan menunggu ilham Tulis sahaja. Hantar karya sehingga editor muak. Kalau ditolak, hantar lagi. Jangan cepat kecewa. Karya yang baik lahir daripada kesabaran. Menulislah dengan jujur dengan suara kamu sendiri. Walau kecil, itu tetap suara kamu.
Bagi beliau, menjadi penulis bukan tentang karya hendak cepat diterbitkan, tetapi tentang terus menulis walau tiada siapa yang memerhati.
Menulis umpama mendaki bukit. Kadang-kadang, kita penat, bahkan kadang-kadang kita berhenti, tetapi jangan berpatah balik. Pandang belakang untuk melihat sejauh mana kita sudah melangkah, bukan untuk menyesal.
Kini, beliau sedang menyiapkan sebuah manuskrip novel baharu bertemakan pelancongan dan gastronomi tempatan – sebuah karya gabungan cinta, budaya dan rasa yang bersatu di meja makan. Dengan nada bersahaja beliau menutup sesi,
“Belum siap lagi, sebab saya sibuk makan,” katanya sambil ketawa. Seluruh isi dewan turut sama ketawa, menandakan sesi yang bukan sekadar santai, tetapi penuh inspirasi.