Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSaya berasa terkesan apabila seorang editor menyatakan melalui bengkel yang dihadirinya baru-baru ini bahawa penulis yang mengikuti bengkel penulisannya hanya menunggu suapan idea daripada editor dan kurang berinteraksi dalam kalangan penulis tentang pengalaman penulisan.
Hal ini ada benarnya. Setiap penulis sudah pernah menghasilkan karya. Ada yang sudah mempunyai manuskripnya sendiri. Setiap penulis tentu pernah membedah karyanya sendiri, sama ada tentang ejaan, tanda baca, jalan cerita dan tema cerita sebelum dihantar kepada editor akhbar atau majalah.
Perkongsian pengalamannya mampu membantu, terutamanya kepada para penulis pemula untuk lebih memahami selok-belok suatu penulisan genre. Dengan adanya interaksi dua hala antara penulis pemula dengan penulis mapan, maka hal itu akan dapat mengukuhkan rangkaian, apatah lagi sebagai tempat rujukan bagi penulis pemula.
Senario ini akan menjadi lebih meriah lagi dengan adanya pelibatan yang sedemikian dan tidaklah alunannya sehala sahaja. Namun begitu, perkara ini jarang-jarang berlaku dalam mana-mana bengkel. Jarang-jarang peluang ini dimanfaatkan dalam kalangan penulis. Mungkin juga kerana mereka tidak mahu menunjukkan sifat bangga diri.
Setiap penulis perlu mengingati bahawa pembimbing dan editor tidak boleh membentuk penulis yang baik sekiranya diri penulis itu sendiri tidak cuba menulis dan berbincang. Paling tidak, tentang dirinya dalam dunia penulisan dan aras keberadaan dirinya sebagai seorang penulis.
Selaku penulis mapan dengan hadirnya pembimbing dan editor, maka kita boleh mengetahui bentuk karya yang bagaimana yang yang diinginkan oleh editor. Kehadiran pembimbing membantu penulis dalam menggapai cita-cita manuskripnya untuk dinilai dan diterbitkan.
Apabila kita menyertai mana-mana bengkel penulisan, penyertaan kita adalah untuk menggilap atau membentuk diri bagi bersedia menghasilkan karya yang dianggap sebagai bermutu atau mencapai permintaan editor. Dalam bengkel sebeginilah, maka kita boleh memberikan maklum balas kepada editor atau pembimbing kerana pernah menulis dan menghasilkan karya.
Setiap editor mempunyai kriteria tertentu dalam pemilihan manuskrip. Lebih-lebih lagi editor yang hadir dalam bengkel bimbingan itu muncul daripada badan penerbitan yang sudah ditubuhkan sejak dahulu lagi. Dalam bengkel sebeginilah, spesifikasi dan syarat penerbitan tertentu akan didedahkan kepada peserta.
Dalam Kuras-kuras Kreatif (DBP, 2020), Azizi Haji Abdullah pernah bercerita,
Apabila semakin banyak membaca hasil karya, saya bukan sahaja terpengaruh dengan karya, tetapi juga terpengaruh dengan gaya hidup penulis seperti Chairil Anwar yang kononnya menggauli pelacuran. Saya terpengaruh dengan kata-kata; kalau hendak jadi pengarang mesti kaya dengan pengalaman.
Oleh sebab terpengaruh dengan Chairil Anwar, maka Azizi bersama-sama dengan kawannya yang lebih tua daripadanya telah melakukan tinjauan ke rumah-rumah pelacuran kelas tiga yang masyhur di sekitar tempatnya pada ketika itu, seperti Kampung Musang, Mengkuang Road di Butterworth, Lorong Gaharu di Pulau Pinang, Lorong Merpati dan Stesen Kereta Api di Alor Setar.
Begitulah bagaimana peristiwa atau senario tersebut membantu seorang penulis mengungkapkan tulisan dan jalan ceritanya, lalu mendorongkan tulisannya agar lebih “sedap” dirasai dalam hati pembaca.