Diterbitkan pada 26 September 2025, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Yasmin Zolkifly berutus surat dengan adik dan ibunya tentang perkelanaannya di Jepun. Pengalaman berbasikal di kota dan melihat kepelbagaian makanan yang ada di sana. Sebuah kembara yang dirakamkan dengan kata-kata dan masyarakat Jepun menjadi saksinya.

Seronok menonton pelbagai warna dan jenis makanan sambil berlaga bahu dengan pengunjung lain yang turut sama ralit menyaksikan pameran makanan ini.

 

Surat No. 6

Chisun Horikawa Gojo, Kyoto
Waktu: Senja

Selamat petang, Nani,

Apa khabar, dik? Tanyalah khabarku pula.

Hebat, Nani. Hari ini sungguh hebat sekali.

Hari ini aku mengayuh basikal dari pagi sehingga petang. Berlegar-legar di sekitar Kyoto. Seronoknya, dik. Tidak perlu beratur menunggu bas dan tidak perlu berhimpit-himpit di dalam bas seperti petang semalam, berdiri dan diasak pelancong yang ramai, orang Jepun yang balik bekerja dan pelajar sekolah yang sarat dengan beg galas beratnya. Kuat juga bau badan pelajar sekolah itu. Maklumlah, seharian aktif di sekolah.

Oleh itu, hari ini aku bebas, Nani. Mengayuh ke mana sahaja hendak hatiku. Dan pagi lagi aku sudah mengayuh ke Kyoto Imperial Palace, Istana lama Maharaja Jepun. Aku berkayuh selama 20 minit untuk ke kawasan istana tersebut, melalui lorong-lorong kecil antara barisan rumah dengan kedai. Sesampainya di kawasan istana, aku mengayuh lagi dalam 30 minit mengelilingi taman di sekeliling istana tersebut. Luas kawasannya Nani, sekitar 11 ekar. Boleh sesat jika tidak dirujuk Google Maps.

Cuaca hari ini cerah dan panas. Langit biru tiada berawan. Sesekali aku berhenti di perdu pokok dan melihat sekeliling. Bagaimana hendak kugambarkan, Nani?

Pokok-pokok yang berdiri sepi. Tinggi melangit. Dedaunannya terang menguning keperang-perangan disinari matahari. Berlapis-lapis rimbunan itu redup melindungi lantai hutan yang lembap dengan daun-daun yang gugur.

Berbasikal di sekitar Kyoto Imperial Palace.

Sekiranya kau mendongak Nani, akan terlihat tompok-tompok cahaya matahari yang berjaya meloloskan diri di balik dedaunan tersebut lantas menerjah lantai hutan. Tahukah Nani, daun-daun yang gugur ini mengeluarkan bau. Pastinya semua yang reput itu berbau. Pedulilah indah bagaimana sekalipun semasa hayatnya.

Aku melawati kompleks istana lama tersebut. Reka bentuk bangunan istana tersebut jelas dipengaruhi oleh unsur Shinto. Struktur bumbungnya luas dan agam. Barangkali untuk menahan timbunan salji pada musim sejuk. Seni ukiran bangunannya pula bersifat minimalis. Halus dan kemas. Aku difahamkan bahawa istana ini dibina semasa pemerintahan Meiji dan menjadi kediaman rasmi Maharaja Jepun sebelum berpindah ke Tokyo.

Usai aku mundar-mandir di istana lama Kyoto itu, aku berkayuh pula ke pasar, Nani.

Di sini ada lapangan tempat letak basikal yang berbayar. Harganya sekitar JPY 200 untuk satu hari. Lebih murah daripada harga aiskrim coklat yang aku beli dan terpaksa habiskan sebelum memasuki kawasan kuil Fushimi Inari kelmarin. Mereka tidak benarkan berjalan sambil makan sebagai tanda menghormati kawasan suci.

Pasar ini ada pasar makanan, iaitu Nishiki Market. Pasar ini memang menjadi tumpuan pelancong yang ingin menikmati juadah makanan ringan dan makanan laut di Kyoto. Ada seratus lebih kedai. Tetapi perjalanan dari satu hujung ke hujung yang lain memakan masa hampir setengah jam. Jika kau mendongak, maka akan mendapati bahawa lorong pasar ini berbumbungkan lapisan kaca atau plastik yang pelbagai warna. Petak-petak merah, biru, kuning dan hijau disusun secara rawak.

Kedainya meriah dengan makanan. Lampu tanglung merah dan putih tergantung di hadapan kedai. Makanan laut yang mentah dan dimasak terdampar di depan kedai masing-masing. Di sini pun Nani, mereka tidak benarkan berjalan sambil makan. Kalau hendak membeli sashimi, maka perlu dimakan di kedai tersebut atau bungkus dibawa pulang.

Ada sotong kurita, sotong laut buncit, kekapis, udang harimau, tempura, daging goreng wagyu, serta landak laut yang rupanya seperti durian yang dibelah. Aku tidak makan landak laut, Nani sedangkan landak hutan pun aku tidak berselera.

Kedai menjual makanan tempura di Nishiki Market.

Ada juga ketam raja Alaska yang mentah dan siap direbus. Harganya hampir JPY 6000 untuk seekor. Manakala makanan laut lain dan tempura lebih murah dan berbaloi, sekitar JPY 700 untuk 100 gram. Ada yang sudah siap dimasak. Contohnya dua ekor udang harimau panggang yang aku beli dan makan di dalam satu daripada kedai tersebut. Pengunjung lain makan udang panggang dengan minuman alkohol atau sake. Aku hanya minum air liur.

Sekadar berjalan Nani, melihat suasana meriah di pasar. Seronok menonton pelbagai warna dan jenis makanan sambil berlaga bahu dengan pengunjung lain yang turut sama ralit menyaksikan pameran makanan ini. Tetapi aku tidaklah selapar mana pun kecuali jika engkau berada di sisi, nafsu makanku akan “mencanak-canak”. Engkau tersinggung apabila aku berkata begitu, menafikan bahawa engkau adalah punca aku merasa lapar sentiasa.

Bangunan Istiadat dalam perkarangan Kyoto Imperial Palace.

Sudah makan belum, Nani?

Peti aismu masih kosongkah? Masih tinggal telur dua bji dan cabai burung?  Enak juga kalau dimasak telur dadar dimakan bersama-sama dengan nasi panas sambil duduk di hadapan beranda rumahmu merenung air kolam yang tenang.  Sesekali terdengar deburan air apabila biawak terjun tiruk dari seberang kolam.

Jaga makanmu, dik. Bukan sahaja kucing-kucingmu yang perlu makan. Diri sendiri pun harus dipedulikan juga.

Akan kutulis lagi, Nani. Semoga baik-baik semuanya di sana. Amin.

 

Surat No. 7

Midoribashi, Osaka
Waktu: Petang

Assalamualaikum Mak,

Apa khabar mak dan ayah? Along doakan mak dan ayah dalam keadaan sihat belaka. Harapnya sakit lutut mak sudah berkurangan. Tidak perlu lagi menggunakan bangku semasa bersembahyang. Mak janganlah lupa untuk membuat senaman ringan seperti yang dipesan oleh doktor rehabilitasi.

Along sudah sampai di bandar Osaka pagi tadi dan sekarang baru pulang daripada makan tengah hari di kawasan stesen Namba. Di sini banyak restoran yang menyediakan makanan Jepun yang halal. Agak ramai juga orang kita yang mengunjungi restoran halal di sini.

Tadi Along bertegur sapa dengan seorang pakcik yang datang dengan keluarganya dari Pulau Pinang. Ramai ahli keluarganya, berjumlah lapan orang termasuklah dewasa dan kanak-kanak. Mereka baharu sahaja mendarat di Osaka pagi tadi. Sesampainya di sini, mereka terus mencari restoran halal. Di dalam restoran ini ada disediakan sebuah kamar bertirai untuk ruang solat. Mudah untuk pengunjung menunaikan solat tanpa perlu kembali ke hotel.

Dua hari lepas, Along menginap di Kyoto. Tidak jauh letaknya dari bandar Osaka ini. Mungkin sekitar satu jam perjalanan menaiki kereta api biasa. Di sana pun terdapat beberapa restoran makanan halal. Semalam Along mengunjungi sebuah kedai makan kecil yang tersorok di lorong belakang bangunan. Lorongnya mungkin muat untuk laluan basikal sahaja tetapi kawasannya bersih, mak.

Di negara Jepun ini, semuanya bersih dan rapi.

Walaupun pemilik kedai makan itu berbangsa Jepun, tetapi pelayan dan pekerja di dapurnya serumpun dengan kita dan mungkin berbangsa Indonesia. Susuk mereka masih muda seperti pelajar kuliah universiti. Along pernah melintasi kawasan universiti tempatan semasa menaiki bas ke Arashiyama kelmarin.

Satu daripada pelayan ini membantu Along menggunakan mesin untuk menempah makanan sebelum duduk. Bayaran secara tunai perlu dibuat menggunakan mesin itu terlebih dahulu sebelum mereka menyediakan makanan tersebut. Kebanyakan restoran di Jepun masih mengutamakan transaksi secara tunai. Mungkin kerana itu mesin pengeluaran tunai ATM mudah didapati di dalam kedai serbaneka di setiap kawasan.

Selesai makan tengah hari semalam, Along menuju pula ke pasar makanan Nishiki yang tidak jauh dari situ. Jika di Malaysia kita terkenal dengan pasar malam, begitu juga di sini terkenal dengan pasar makanan laut sashimi dan tempura. Ada juga kedai yang menjual makanan yang telah diawet. Bersusun makanan laut, mak.

Ada kerang yang lebih besar daripada penumbuk Along. Ada udang harimau dan kekapis yang dipanggang. Tiram dan kupang. Landak laut. Isinya kuning seperti isi durian. Ada siput laut yang besar dan masih segar. Saiz cangkerang siput itu sahaja hampir menyamai muka Along. Ada juga makanan ringan yang dijual seperti aiskrim dan takoyaki. Mereka tidak benarkan makan sambil berjalan kerana ramai orang yang lalu-lalang di lorong pasar ini.

Kyoto memang ramai dengan pelancong dan juga merupakan bandar bersejarah yang dikunjungi oleh pelancong negara Asia yang lain seperti China, Korea, Asia Tenggara dan tidak kurang juga dari Barat. Kelmarin, along menaiki pengangkutan tram semasa pulang dari Arashiyama. Buat julung kalinya along memerhatikan gerabak itu padat dengan pelancong asing. Along sedikit tergamam kerana suasananya riuh-rendah. Mereka bercakap dengan suara yang kuat berbeza dengan pengalaman Along menaiki gerabak yang dipenuhi dengan penduduk Jepun semasa di Tokyo lepas.

Kini, Along di Osaka. Kotanya lebih moden dan besar berbanding dengan Kyoto. Rangkaian pengangkutan awamnya pun lebih luas. Kompleks stesen kereta api utama di Osaka juga besar dan bertingkat-tingkat dan dihubungkan dengan jaluran jejambat dan laluan pejalan kaki bawah tanah ke bangunan di sekelilingnya. Menara menara korporat dan kompleks membeli-belah yang berprestij. Bangunan dua tingkat butik Louis Vitton terletak hampir bersebelahan dengan stesen kereta api itu.

Tadi Along berpeluang menaiki bas persiaran dua tingkat dengan bumbung terbuka mengelilingi kota raya ini. Along memerhatikan bangunan yang tersergam dan agak lama usianya. Reka bentuk luaran bangunannya seperti binaan tahun 1980-an dan 1990-an. Dinding luarnya bertampalkan jubin mozek. Manakala arca konkrit menghiasi petak-petak jendela.

Terdapat juga kawasan yang menempatkan reka bentuk bangunan yang lebih terkini yang dibaluti denganlapisan gelas lut cahaya dan kerangka besi krom metalik, khususnya di pusat institusi perbankan dan kewangan. Manakala kompleks pentadbiran kerajaan dan kehakiman masih lagi mengekalkan reka bentuk kolonial.  Sejujurnya kota raya ini berupaya hidup harmoni dalam pertembungan dua zaman berpaksikan unsur tinggalan silam dan sentuhan konsep moden yang seimbang.

Esok Along bakal melawat Osaka Castle yang tersergam di atas bukit tidak jauh dari pusat kota ini. Kawasannya jauh lebih besar dari kediaman Maharaja di Kyoto dan di Tokyo. Untuk malam ini, Along akan ke pekan Tempozan yang terletak di pinggir pelabuhan Osaka. Along ingin menaiki Ferris Wheel yang terletak di tepi pelabuhan tersebut sambil menikmati pemandangan kota raya ini pada waktu malam.

Along beransur dahulu, mak. Barangkali ini warkah terakhir along tintakan dari negara matahari terbit. Minggu hadapan pertemuan kita akan bertaut semula di KLIA. Along tidak sabar ingin merasa sambal ikan bilis di rumah kita. Insya-Allah.  Mohon sampaikan salam Along kepada ayah.

Bersambung…

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi