Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Puisi merupakan medium dalam mengeratkan hubungan baik dan mesra antara kaum, bangsa dan agama.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Saraswathy Kandasami berkata puisi merupakan medium berseni yang mempunyai daya tarikan dan peminatnya yang tersendiri.
“Jika dahulu, puisi tradisional seperti pantun, syair dan gurindam berperanan menyampaikan hasrat dan falsafah dalam masyarakat, kini sajak pula memainkan peranan dalam menyampaikan pemikiran masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus, Ipoh.
Beliau berkata, SDPAHM merupakan suatu bentuk reformasi dalam mendeklamasikan puisi sekali gus dapat menarik minat masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda untuk meminati puisi. Tambah beliau, usaha menarik minat golongan muda terhadap puisi perlu dilaksanakan secara serius.
SDPAHM Peringkat Kebangsaan 2025 dianjurkan oleh Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.
Peserta dari Terengganu, Nor Atiekah Hidaya Hussain telah muncul sebagai pemenang Anugerah Platinum SDPAHM tahun ini dengan membawa pulang piala pusingan Piala Seri PEMUISI Malaysia, piala iringan, wang tunai berjumlah RM 2000, buku serta sijil. Sementara itu, Akilul Nazar Arbain dari Johor pula memenangi Anugerah Emas dengan membawa pulang piala iringan, wang tunai berjumlah RM 1500, buku serta sijil.
Manakala, Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman dari Negeri Sembilan meraih Anugerah Perak dengan membawa pulang piala iringan, wang tunai berjumlah RM 1000, buku dan sijil.