Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Muhammad Hanif Haikal
Seri Iskandar – Universiti Teknologi Petronas (UTP) sekali lagi telah berjaya menganjurkan Sayembara Pantun Piala Mestika Embun yang berlangsung dari 12 hingga 14 September yang lalu di Undercroft, Kompleks Canselor. Sayembara Pantun Piala Mestika Embun merupakan penjenamaan semula daripada Sayembara Pantun Kebangsaan Piala Aman Jaya yang juga dianjurkan oleh UTP pada tahun 2024.

Keberhasilan sayembara pantun kali ini merupakan hasil kolaboratif yang mantap antara penganjur dengan penaja hebat lain seperti Yayasan Universiti Teknologi Petronas (YUTP), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan (EHEYNS) Perak, Yayasan Perkasa Siswa dan banyak lagi.
Pada tahun ini, sayembara ini telah disertai oleh 10 pasukan mewakili pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Puncak Alam, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), UniKL Royal College of Medicine Perak, Universiti Malaya (UM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail.
Peringkat akhir sayembara ini telah menemukan pasukan SEMPANA daripada USM sebagai penjual dengan pasukan Dilam Sahmura dari UiTM Shah Alam sebagai pembeli. Gelaran johan telah dinobatkan kepada pasukan SEMPANA USM yang dibarisi oleh Muhammad Syawwal Radzi, Asmah Nurhanis Rohaizi, Amirul Zikri Ruslan dan Muhammad Afiq Hasraf Hazly dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3000, piala, sijil dan cenderahati.

Pertembungan antara pasukan SEMPANA USM dengan pasukan Dilam Sahmura dari UiTM Shah Alam seakan-akan mengulangi babak pentas akhir bagi Sayembara Pantun Kebangsaan Piala Aman Jaya yang dianjurkan UTP pada tahun lalu kerana sayembara tersebut turut dimenangi oleh pasukan SEMPANA USM.

Gelaran naib johan telah disandang oleh pasukan Dilam Sahmura dari UiTM Shah Alam dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2000, piala, sijil dan cenderahati. Sementara itu, tempat ketiga bersama telah dinobatkan kepada pasukan Perunggu Gading dari UM dan juga pasukan Wirasakti dari UTHM dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1000, piala, sijil dan cenderahati. Sesi penyampaian hadiah ini telah disempurnakan oleh Encik Aris Othman, Pegawai Perancang Bahasa, Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bagi kategori anugerah khas, Amirul Zikri Ruslan daripada SEMPANA USM telah berjaya menggondol dua anugerah, iaitu anugerah Pemantun Terbaik Akhir dan juga Pemantun Terbaik Keseluruhan (Tempat Pertama). Anugerah Pemantun Keempat Terbaik pula dianugerahkan kepada Afiq Hasraf Hazly yang juga dari SEMPANA USM.

Pasukan Tunas Saktika dari UiTM Puncak Alam tampil bergaya menambat hati para juri apabila berjaya dinobatkan sebagai penerima anugerah Pembukaan Terbaik dan Busana Terbaik dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 bagi setiap kategori.