Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Ketil – Usaha memperkasakan penulisan sastera kanak-kanak diteruskan apabila Kelab Bahasa Melayu (KBM), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) menganjurkan Bengkel Penulisan Buku Kanak-Kanak dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UniSHAMS, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) serta Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).

Bengkel ini menampilkan Dr. Husairi Hussin, pensyarah kanan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga merupakan Ketua Satu ASASI sebagai penceramah undangan. Dalam sesi selama dua jam setengah itu, beliau berkongsi secara mendalam teknik dan pendekatan dalam penghasilan buku kanak-kanak yang berkualiti serta sesuai dengan perkembangan minda serta emosi golongan pembaca muda pada masa ini.
Menurut Nur Zahirah Zanol Abidin selaku pengarah program yang mewakili KBM, penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada mahasiswa tentang teknik penulisan kreatif yang bersesuaian bagi kanak-kanak, di samping menggalakkan mereka mencuba menulis karya asli yang mampu diterbitkan kelak.
“Dalam kalangan kami pelajar UniSHAMS, ramai yang berminat untuk menulis tetapi tidak mengetahui format dan cara yang betul untuk menulis. Kami juga tidak pasti di mana harus menghantar karya. Jadi, penerangan dan bimbingan selama hampir tiga jam ini sangat bermanfaat kepada kami untuk memulakan langkah pertama, iaitu menulis”, ujarnya.
Manakala bagi Dr. Husairi sebagai penggerak utama Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan sastera di Negeri Kedah, jemputan sebegini tidak boleh dilepaskan. Peluang untuk mendidik generasi muda terutama pelajar sekolah dan universiti mencintai penulisan harus dimanfaatkan.
“Sastera kanak-kanak bukan sekadar bacaan ringan tetapi seharusnya menjadi medium untuk menyemai nilai, budaya dan jati diri bangsa kepada pembaca muda sejak di awal usia. Mahasiswa perlu menyedari peranan penting mereka sebagai bakal pendidik dan penulis yang boleh mencorakkan masa depan negara yang aman dan makmur dengan kisah yang bermanfaat,” terangnya ketika menyampaikan ceramah.
Bengkel ini juga menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi, seiring dengan misi DBP dan institusi pendidikan dalam memperluas lapangan sastera kanak-kanak tempatan yang masih kurang diterokai.
Dengan tema “Madah Ditutur, Bahasa Dijulang”, program ini turut mencerminkan iltizam PBM, UniSHAMS dalam mendukung agenda memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan generasi muda.