Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Seramai 19 peserta muda berbakat dari seluruh negeri berhimpun di Glory Beach Resort, Port Dickson sempena Minggu Penulis Remaja (MPR) 2025 yang berlangsung mulai 16 hingga 21 September ini.
Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu kini memasuki edisi ke-40 sejak mula diperkenalkan pada tahun 1985, sebagai platform bimbingan penulisan kreatif dalam mencambahkan potensi generasi baharu penulis tanah air.
MPR 2025 dimulakan dengan sesi pengenalan oleh pihak DBP dan diteruskan dengan sesi perkongsian bersama-sama dengan penerbit Tentang Kita – yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hafizul Faiz, yang juga merupakan alumni MPR sendiri. Menurutnya dalam sesi tersebut,
Industri buku dan penulisan merupakan industri kecil, justeru MPR menjadi wadah penting serta peluang bagi para peserta membina jaringan dengan penulis yang lain.
Sejak penubuhannya, MPR telah melahirkan ramai penulis terkemuka termasuklah Nisah Haron, Osman Deen, Hafizul Faiz dan ramai lagi yang kini aktif menyumbang dalam dunia penulisan dan kesusasteraan Melayu.
Mengulas prestij MPR yang pernah menjadi “jenama besar” dalam dunia penulisan remaja pada suatu ketika dahulu, penulis dan alumni MPR, iaitu Fahd Razy menyifatkan bahawa program ini masih mempunyai aura dan prestij tertentu walaupun ruang penerbitan kini semakin terbuka luas dengan pelbagai platform, bengkel dan sayembara.
Beliau menegaskan bahawa MPR harus konsisten diadakan agar terus menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu penulis muda, selain memperkukuh jaringan alumni sebagai pelapis dalam dunia sastera.
Sepanjang enam hari penganjuran yang sedang berlangsung, para peserta dijadualkan mengikuti pelbagai bengkel, diskusi dan sesi bimbingan intensif bersama-sama dengan tokoh penulis serta penggiat industri penerbitan.