Diterbitkan pada 20 Jun 2025, 18:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Yasmin Zolkifly berutus surat dengan adiknya tentang perkelanaannya di Jepun dan terbias sana sini momen indah dengan adiknya di kampung halaman. Sebuah kembara yang dirakamkan dengan kata-kata dan masyarakat Jepun menjadi saksinya.

 

Aku adalah keseronokan”, ujarmu berulang kali.

 

Surat No. 3

SC Kamaeri, Tokyo
Tanggal: Malam minggu

Ke hadapan, Nani. Salam perantauan, dik.

Tidak sempat aku khabarkan kepadamu saat keberangkatanku tempoh hari. Alpa barangkali dalam kesibukan menyempurnakan persediaan untuk berangkat. Maklumlah, ini kali pertama aku menjejakkan kaki di negara matahari terbit. Berada di tengah–tengah kota raya yang tidak kufahami tutur bahasanya.

Aku tidak sepertimu, dik, yang petah bertutur dalam bahasa Inggeris, Jerman dan Perancis. Bayangkanlah ternganga mulutku, Nani, apabila pegawai stesen kereta api cuba menerangkan kepadaku tentang pas kereta api percuma aku tidak sah dan perlu membeli tiket baharu, dalam bahasa Jepun. Terkedip–kedip mataku. Adakah dia tidak mengetahui bahawa aku bukan berbangsa Jepun? Mujur kemudiannya dia menggunakan aplikasi Google Translate untuk menterjemahkan penerangannya kepadaku.

Aku sesat, dik, di pekan Hakone, semalam. Asalnya aku ke sana, sebuah pekan peranginan yang tidak jauh dari kota Tokyo, kerana kononnya pemandangan gunung Fuji dapat dilihat dari tasik Ashi yang terletak di pekan itu.

Perjalanan menaiki kereta api dari Tokyo ke stesen Hakone mengambil masa lebih kurang sejam. Dari stesen itu, aku berpindah pula menaiki kereta api bukit tertua di Jepun yang mendaki lereng bukit dengan perlahan. Sesudah itu, aku berpindah pula menaiki kereta kabel yang lebih perlahan dan lebih padat dengan pelancong. Trek kereta kabel tersebut melalui belakang rumah penduduk yang menghuni di lereng bukit.

Sesampainya di puncak stesen Gora, aku berpindah lagi menaiki kereta gantung yang melintasi beberapa puncak dan lembah sebelum turun ke stesen Togendai, tempat berlabuhnya feri di tasik Ashi. Barangkali kerana cuaca yang mendung, pemandangan di sini sentiasa diliputi kabus. Butiran gerimis melekap pada dinding kaca kereta gantung semasa membelah kabus putih. Warna pokok–pokok di lantai hutan malap hijau lesu. Barangkali aku tiba di tanah Jepun terlalu awal untuk menyaksikan perubahan warna musim luruh.

Malah pemandangan gunung Fuji juga tidak kelihatan, Nani. Aku menggeletar berdiri memeluk tubuh di atas dek feri tersebut ditiup bayu tasik yang sejuk. Namun matahari masih tidak memancar. Kabus tebal terus menyelimuti langit kelabu. Dalam cuaca yang semakin gelap, aku berlari–lari pula selepas feri berlabuh untuk menaiki bas menuju ke hentian Mishima Skywalk. Aku gigihkan semangatku, Nani untuk mengharungi kesejukan angin yang bakal bertiup kencang semasa berjalan di jambatan gantung yang terpanjang di Jepun itu.

 

Pemandangan luar kota Nikko.

Tetapi sayang sekali kerana kaunter tiketnya telah ditutup. Kata mereka, aku akan terlepas bas untuk pulang ke stesen kereta api sekiranya aku meneruskan hasrat menaiki jambatan gantung Mishima Skywalk ini. Benar, Nani, aku tersilap naik bas kemudiannya. Sudahlah hari menganjak ke malam, hujan pula lebat. Jauh ke ceruk manalah aku pergi sampai terpaksa menukar beberapa aliran kereta api untuk menghala semula ke Tokyo.

Mujur kereta api itu deras membelah malam menuju ke pusat Tokyo. Letih kurasakan seharian berpergian dari awal pagi sehingga lewat malam. “Bertiti–titi” dari satu kereta api ke kereta api yang lain. Menaiki kereta gantung, feri dan kemudiannya bas bukit. Berjalan kaki pula dari stesen Kamaeri di Tokyo untuk pulang ke bilik. Hampir dua belas jam rasanya.

Aku tidak lalu makan pada malam itu.

Teringat aku, dik, sewaktu kita berpergian hampir sehari suntuk ke Sabak Bernam dahulu. Menyusuri Tanjung Karang, Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur. Menikmati air batu campur ABC dan cendol di tengah bendang yang terik. Melawati pusat penjualan biskut kelapa dan kilang beras wangi oleh pengusaha tempatan. Minum petang di kedai makan Felda Temangi. Hampir dua belas jam, dik, aku ditemani dengan celoteh dan keletahmu yang menghiburkan. Itu pun engkau sempat tertidur dalam tempoh itu, memberiku sedikit ruang untuk diam berehat sebelum engkau terjaga semula untuk merancakkan suasana.

“Aku adalah keseronokan”, ujarmu berulang kali.

Aku tidak mengiyakan dan tidak juga menggeleng. Hanya yang kutahu adalah seharian bersamamu itu tidak dapat aku lupakan. Tempoh masa dua belas jam itu seolah-olah langsung tidak terasa.

Kini apabila engkau tiada, dik, maka aku sangat terkesan.

Sebenarnya aku terjaga tadi, Nani. Hampir tengah malam waktu Jepun. Tidurku lena. Tiba–tiba aku dikejutkan oleh bunyi bising deruman motor–motor besar di jalan raya bawah. Aku bingkas bangun melompat ke balkoni bilik mencari punca. Rupa-rupanya ada berpuluh–puluh motor yang berlumba di atas jalan raya. Siapa sangka, Nani? Siangnya aku menyaksikan kerumunan penduduk Tokyo merayap seperti semut keluar masuk kereta api menuju dan pulang dari tempat kerja. Tiba malam minggu, tentera semut semua bertukar menjadi lebah yang bising menghurung keseronokan kota.

Sudah hampir empat hari aku bermalam di Tokyo. Tidak banyak tempat yang sempat aku lawati. Hanya sekitar Shibuya, Marunouchi dan Harajuku. Merasa jugalah aku pengalaman melewati Takeshita-dori di Harajuku yang terkenal dengan tarikan pemakaian cosplay di sepanjang kedai–kedai di lorong itu. Keberanian anak-anak muda Jepun menghidupkan watak anime dengan fesyen pemakaian mereka amat luar biasa. Terasa seolah–olah aku menembusi alam fantasi anime sebaik sahaja melangkah masuk ke gerbang lorong itu. Ada pelbagai jenis tarikan dan kedai yang menggambarkan cita rasa anak-anak muda ini termasuklah kafe yang menggalakkan pengunjung minum bersama–sama anjing dan kucing.

Siang tadi aku ke Ueno Park. Pagi sebelumnya, aku melawat kawasan bersejarah di Katsushika. Sempatlah melawat Yamamoto-tei, sebuah kediaman lama pegawai tentera Jepun yang kini dibuka kepada pengunjung luar. Reka bentuk rumahnya mengekalkan ciri tradisional seperti rumah kampung di tanah air kita, Nani. Pasak tiang dan alangnya masih mengekalkan struktur kayu. Lantai papan beralaskan tatami di ruang–ruang bilik. Gelungsur pemisah lapisan kertas tebal berangka kayu bilik–bilik tersebut dibuka untuk dijadikan ruang minum teh dan kudapan pagi. Disebabkan cuaca cerah pada hari ini, pintu gelungsur kaca luar turut dibuka untuk kitaran udara segar.

Ringkas sekali reka bentuk rumah tersebut. Di sudut belakang rumah, terdapat kolam kecil dipenuhi dengan kiambang. Permukaan air kolam beriak–riak apabila aku menghampirinya. Seekor dua ikan menyelinap lari di belakang kiambang, berlindung dari intaianku. Manakala taman Jepun di perkarangan lamannya terjaga rapi walaupun kewujudannya sudah berpuluh tahun.

Pokok–pokok berdaun hati yang tumbuh di keliling rumahmu itu perlu dicantas, Nani. Lama sudah usianya. Terlalu rapat tumbuhnya di keliling rumah. Aku risau akan serangan anai–anai serta semut kerengga kelak jika tidak dibersihkan.

“Sayang, sayang”, katamu sambil membelai daun–daun pokok tersebut.

Cantas sahaja, nanti kita gantikan dengan pokok lain. Semut memang tertarik dengan pokok hutan. Semut yang terjatuh ke dalam gelas minumanku sewaktu kita minum di beranda. Semut yang sempat merayap di kaki seluarku.

Aku minta maaf, Nani kerana tidak sempat menjernihkan keadaan sebelum bertolak. Aku tidak menyangka engkau akan membisu seribu bahasa setelah pertelingkahan kita tempoh hari. Harapnya suasana akan kembali reda lantaran kepergianku ini. Namun itu tidak bermakna engkau lenyap dari ingatanku, Nani.

Aku berharap dapat mendengar kembali suaramu kelak. Semoga surat ini selamat sampai menemuimu. Selamat malam, dik.

 

Surat No. 4

Kaki gunung Kinugawa, Nikko
Jam: Pagi yang hening

Salam dari kejauhan, Nani,

Hari ini aku bangkit ditemani sinar matahari yang memancar garang menyoroti bilik hotel ini. Namun suhu di luar sana masih lagi sejuk sekitar 5 darjah celsius.  Langit terang biru tidak berawan. Enak sungguh saat ini diselubungi selimut gebar tebal di atas tilam yang empuk. Tidak sanggup rasanya untuk aku bangun dari perbaringan.

Sudah dua malam aku tidur di kaki gunung, Nani. Sebuah hotel penginapan tradisional Jepun yang turut menyediakan kolam air panas. Pekan Kinugawa Onsen ini terkenal dengan kolam mata air panas yang sering dikunjungi terutama pada musim sejuk. Aku tidaklah mandi–manda di kolam air panas, dik. Seurat benang pun tidak dibenarkan semasa berada dalam kolam tersebut.

Semalam, seharian suntuk aku menghabiskan masa di kawasan pergunungan Okunikko. Cuacanya seperti hari ini, terang tetapi nyaman diulit suhu gunung.  Terdapat sebuah tasik di tengah–tengah kawah banjaran gunung tersebut. Namanya Lake Chuzenji. Airnya biru membiaskan warna langit. Tasik itu ialah tasik yang tertinggi di Jepun, sekitar 1200 meter dari paras laut. Pemandangan di sekitar tasik kelihatan indah berlatarkan puncak–puncak gunung dan langit biru.

 

Sekitar tasik Chuzenji.

Tetapi yang tidak dapat aku lupakan ialah keindahan air terjun Ryuzu Falls.

Bagaimana hendak aku ceritakan, dik?

Air terjun itu bermula dari sungai atas gunung yang deras menuruni cerun batu yang licin dan berkilat. Jatuhnya berbusa putih di lubuk kolam sebelum mengalir lesu ke tasik Chuzenji. Bongkah–bongkah batu besar berlumut menunggu setia di muka kolam.

Bayangkan, Nani, warna dedaunan pokok-pokok yang berbaris sepanjang tebing jeram sungai tersebut seakan-akan palet bancuhan warna seniman atau umpama lakaran kanvas musim luruh yang terang dengan tompokan dedaunan merah, jingga, hijau dan kuning keperang–perangan. Airnya pula jernih tampak terus ke dasar jeram yang cetek.

Tidak boleh mandi di jeram ini, Nani. Sejuk.

Bukan budaya orang Jepun untuk mandi di jeram. Mereka mandi di kolam air panas.

Kawasan pergunungan ini terletak hampir dua jam lebih perjalanan ke utara dari Tokyo. Stesen kereta api yang terdekat terletak di bandar Nikko. Hampir 40 minit perjalanan jauhnya menaiki bas dari kawasan gunung ini. Jalannya sehala sahaja untuk naik dan sehala lagi untuk turun. Berbelok–belok dengan selekoh yang tajam.  Perubahan warna dedaunan musim luruh jelas kelihatan semasa perjalanan bas mendaki lereng gunung ini.

Musim luruh tiba di kawasan utara kepulauan Jepun dahulu. Namun di bahagian selatan kepulauan ini boleh disaksikan warna–warna kehadirannya di kawasan tempat–tempat tinggi. Di kawasan rendah, semuanya masih lagi hijau kekuningan.

Kelmarin aku lalui berekar–ekar jelapang padi semasa meninggalkan kota Tokyo.  Kawasan pedalaman mereka tidak ubah seperti pemandangan jelapang padi di kampungmu, Nani. Hijau menguning. Lorong-lorong kecil antara bendang sepi daripada laluan motokar. Rumah-rumah kecil berbumbung kelabu bertaburan antara jelapang tersebut. Tenang suasananya seperti di kampung-kampung kita juga, Nani.

Hari ini aku akan kembali ke Tokyo untuk penerbangan ke Osaka lewat petang nanti. Dari lapangan terbang aku akan ke Kyoto terlebih dahulu sebelum menghabiskan baki hari di Osaka. Aku masih tercari–cari cenderamata yang sesuai untukmu. Apakah yang engkau inginkan, Nani? Khabarkan kepadaku. Masih ada senggang waktu untuk aku mencarinya di sana.  Tetapi maaflah kiranya dedaunan mapel merah dan jingga di sini yang engkau inginkan. Tidak tergamak aku mengambilnya. Hanyalah daun reput yang dibawa. Indahnya terabadi di sini.

Nani, adikku, malam tadi aku mimpikan kucing kita, iaitu Mok. Entah bagaimana dia muncul tiba–tiba dalam mimpiku. Memandangku dengan penuh harap.  Terperanjat aku di dalam mimpi itu kerana melihatnya di halaman rumahku sedangkan aku tahu dia tidak pernah meninggalkan rumahmu.

Apakah agaknya khabar si Gemok kesayanganku itu? Masih malas hendak makan, kah? Tidurnya masih terkangkang lagi seperti aksi tuannya juga?

Lama benar aku tidak bertemu dengannya. Sayu rasa hatiku.

Peluk ciumku untuk Mok, Jijie, Mamat dan Jang.  Pesan pada Mamat, jangan buang air besar di belakang pintu.

Bersambung…

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi