Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangYasmin Zolkifly berutus surat dengan ibunya tentang perkelanaannya di Jepun. Sebuah kembara yang dirakamkan dengan kata-kata dan masyarakat Jepun menjadi saksinya.
Sibuk dalam kehidupan pekerjaan, maka tiada ruang untuk mereka mengendahkan perihal orang lain. Budaya di sini mengamalkan prinsip berdikari serta tidak menyusahkan orang lain.
Surat No. 1
Lapangan Terbang Haneda Terminal 3, Tokyo
Jam: Selepas Mendarat
Assalamualaikum mak,
Along menulis warkah pendek ini kerana mata Along tidak mahu lelap. Sudah pukul dua pagi di Jepun. Seharusnya Along sedang tidur lena sekarang, namun rasa letih menempuh penerbangan selama lapan jam tadi masih lagi berbaki. Bertimpa-timpa pula dengan rasa mengantuk yang menjaring tubuh ini.
Tetapi mak, Lapangan Terbang Haneda ini tidak pernah tidur. Dari tadi Along berbaring di atas bangku papan beralas kain batik ini. Ada sahaja suara yang berkumandang di siar raya membuat pengumuman. Ada kalanya di dalam bahasa Inggeris namun lebih banyak di dalam bahasa Jepun. Mata Along pula terkelip-kelip dari tadi memandang siling bumbung lapangan terbang ini yang terang–benderang.
Bangku tempat perbaringan Along terletak di tepi koridor lantai tiga terminal ini. Bukan Along seorang sahaja yang berbaring di sini. Ada lagi beberapa orang pengunjung lain yang sedang berbaring atau tidur sama ada menanti penerbangan mereka atau menanti bermulanya jadual kereta api pagi nanti. Sekali sekala seorang atau dua orang polis keselamatan akan meronda-ronda di koridor ini. Dalam tersengguk–sengguk tadi, Along terdengar pula bunyi troli sampah ditolak oleh tukang cuci. Mungkin waktu kerjanya sudah bermula.
Mak hendak tahu tak? Dari tempat perbaringan ini, Along boleh menikmati pemandangan pohon bunga sakura. Jelas berbunga palsu. Pokok-pokok bunga sakura palsu ini disusun di sepanjang lantai koridor sebagai tanda simbolik keindahan musim bunga di Jepun.
Tetapi ketibaan Along di sini adalah pada musim luruh. Tiada lagi bunga–bunga sakura yang indah untuk ditonton. Semuanya gugur menjadi sebahagian daripada bumi. Harapnya cuaca hari–hari yang mendatang tidaklah terlalu sejuk memandangkan musim panas baharu sahaja berlalu.
Alangkah enaknya jika boleh menghirup secangkir kopi panas dan menjamah sedikit roti pada waktu ini. Namun semua kedai di terminal ini sudah ditutup. Nampaknya Along perlu mengikat perut untuk empat jam lagi sebelum boleh bergerak ke kota raya, Tokyo untuk menikmati sarapan panas. Mujur sempat makan buat mengalas perut di dalam kapal terbang tadi sebelum mendarat.
Baiklah, mak. Along akan cuba untuk tidur semula. Setidak–tidaknya memejamkan mata menunggu subuh. Jadual kereta api di Lapangan Terbang Haneda ke Tokyo juga akan bermula sekitar pada waktu subuh. Usai solat nanti, Along akan berangkat menuju ke stesen kereta api utama di Tokyo untuk memulakan hari. Kemungkinan Along akan berada sehari atau dua hari di Tokyo sebelum melanjutkan perjalanan ke tempat lain. Perjalanan di sini mudah sahaja dengan menggunakan kad prabayar Suicca untuk pengangkutan awam.
Doakan Along selamat, mak dan semoga kembara Along di negara matahari terbit ini diberkati. Amin.

Surat No. 2
Taman Ueno, Tokyo
Tanggal: Hujung minggu
Assalamualaikum mak,
Apa khabar mak dan ayah? Adakah sedang sibuk memenuhi undangan kenduri kahwin? Mak pesan pada ayah agar berhati–hati ketika memandu. Dia selalu benar cepat mengantuk apabila berada di dalam kereta.
Hari ini cuaca agak panas dan berlengas. Suhu tengah hari di Tokyo ini mencecah 29 darjah celsius. Dua tiga hari sebelumnya cuaca lebih nyaman dengan purata suhu sekitar 21 darjah. Mungkin oleh sebab itu maka ramai penduduk kota Tokyo keluar berbondong–bondong menikmati suasana seperti musim panas pada hari ini.
Along sedang bersantai di bawah pepohonan yang merimbun di Ueno Park, di tengah–tengah kota Tokyo, dikelilingi oleh pengunjung–pengunjung yang sibuk bersantai dan berlibur dengan ahli keluarga dan kawan–kawan mereka. Tidak terkecuali juga warga emas yang turut kelihatan menikmati suasana di taman ini.
Seorang mak cik yang bertopi lebar baharu sahaja melabuhkan punggungnya di atas bangku di sebelah Along. Agaknya, dia kehausan setelah bersiar–siar di taman kota yang luas ini. Tidak kurang juga ada pengunjung yang bersantai beralaskan tikar yang dibentangkan di atas tanah sambil menikmati makanan ringan dengan dipayungi suasana redup di bawah rimbunan pokok.
Dalam suasana redup ini, maka dapatlah Along melepaskan lelah seketika dan berlindung daripada pancaran matahari yang terik. Along baharu sahaja keluar dari melawat Muzium Nasional Tokyo yang terletak bersebelahan dengan Ueno Park. Malahan ada beberapa lagi muzium yang tertumpu di sekeliling taman kota ini antaranya termasuklah Western Art Museum, Metropolitan Art Museum, Muzium Nasional Alam dan Sains dan Muzium Diraja Ueno. Lokasinya sangat bersesuaian untuk menggalakkan pengunjung datang melawat sambil berlibur di Ueno Park. Terdapat juga sebuah zoo di seberang taman yang menjadi tarikan bagi pengunjung yang berkeluarga untuk membawa anak mereka menikmati hari cuti.
Sungguhpun banyak tarikan muzium di taman kota ini, Along tidak sempat untuk melawat kesemuanya. Bayangkanlah mak, Along telah menghabiskan masa hampir sejam lebih dalam kompleks Muzium Nasional Tokyo tadi tetapi itu pun tidak memadai kerana terdapat beberapa blok bangunan pameran dalam kompleks tersebut yang tidak sempat dikunjungi. Along hanya dapat melawat separuh daripadanya sebelum memutuskan untuk keluar berehat dan makan di taman ini. Mungkin Along perlu kembali lagi ke sini bagi memperuntukkan masa barang sehari dua lagi bagi melawat muzium yang lain pula.
Dari bangku ini mak, along menyaksikan semburan air pancut di tengah taman. Suasana masyarakat Jepun pada hujung minggu seakan-akan menjadi lebih hidup dan berbeza dibandingkan dengan pengamatan Along semenjak berada di kota Tokyo ini dua tiga hari lepas. Selalunya, Along bersesak-sesak dan berhimpit dengan penumpang kereta api Jepun yang menyepi di dalam kepompong mereka sendiri. Sibuk dalam kehidupan pekerjaan, maka tiada ruang untuk mereka mengendahkan perihal orang lain. Budaya di sini mengamalkan prinsip berdikari serta tidak menyusahkan orang lain.
Kelmarin mak, Along berjalan menghala ke stesen kereta api bawah tanah setelah seharian melawat daerah Shibuya dan Harajuku. Lantas Along berhenti seketika di kedai serbaneka untuk membeli salad bagi makan malam nanti. Along berselisih dengan seorang wanita tua bongkok sedikit yang baharu keluar dari kedai sambil menjinjing beg plastik yang penuh isinya. Mungkin barangan runcit sehariannya. Dia berjalan perlahan–lahan si sepanjang kaki lima tersebut. Setelah 20 meter kemudian dia akan berhenti untuk berehat sama ada bersandar atau duduk di kaki lima kedai. Kemudian dia sambung lagi berjalan perlahan dengan beg plastiknya dan berhenti lagi untuk melepaskan lelah. Begitulah yang diulangnya sehingga wanita tua itu hilang daripada pandangan Along.
Along teringatkan mak pada saat itu. Mak janganlah angkat barang–barang yang berat. Kalau Along ada, Along boleh angkatkan. Along lebih kuat daripada mak. Kalau tidak, mintalah tolong sesiapa dalam rumah itu. Kami ramai–ramai ini pun memang untuk menjaga mak dan ayah.
Baiklah mak, setakat ini sahaja dahulu coretan Along dari kota Tokyo. Esok Along akan melawat kawasan pergunungan di Nikko yang terletak di utara Tokyo. Mungkin berada di sana untuk beberapa hari sebelum kembali ke Tokyo untuk penerbangan ke Osaka. Along tidak mengambil pengangkutan kereta api laju Shinkansen disebabkan harganya yang lebih mahal berbanding penerbangan domestik.
Mak jangan risaukan keadaan Along. Along di sini baik–baik sahaja. Makanan di sini mudah didapati di kedai–kedai serbaneka. Walaupun terbatas pada salad, roti sandwich dan pastri, namun itu pun memadai bagi Along asalkan tidak kelaparan. Lagipun paket makanan Brahim nasi goreng kampung yang mak bekalkan masih ada. Cukup, Insya-Allah untuk tempoh pengembaraan Along di sini.
Nanti Along titipkan warkah lagi, mak. Sampaikan salam Along pada ayah.
Along sayang mak.
Bersambung…