Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Aimi Fazlah Mohamed Ramli
Kuala Lumpur – Bengkel “Bestnya!” Melukis Komik melakar sejarah apabila pertama kali diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 dengan penyertaan yang memberangsangkan.
Bengkel tersebut berlangsung di Bilik Seminar Kuala Lumpur, Tingkat 5, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), 31 Mei lalu.
Dalam sesi bengkel yang berlangsung selama dua jam itu, seramai 62 orang peserta yang berusia antara 8 hingga 17 tahun dibimbing untuk mencipta karakter daripada bentuk, melukis emosi karakter dan belon dialog serta melukis komik empat petak.

“Peserta kali ini sangat bersemangat dan mempunyai daya imaginasi yang luar biasa. Kebanyakan daripada mereka memang meminati bidang lukisan serta bercita-cita untuk menghasilkan komik sendiri,” demikian menurut Tuan Irfan Foner, pengasas Bestnya!, selepas mengendalikan bengkel tersebut.
Beliau berkata bahawa bengkel tersebut diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat seni, membina keyakinan diri dan memupuk kemahiran bercerita secara visual dalam kalangan peserta.
Ujar beliau lagi, para peserta dibimbing secara santai supaya mereka dapat belajar sambil berhibur dan bukannya sekadar meniru lukisan.
Selain modul, alat melukis, sarapan ringan dan sijil penyertaan digital, setiap peserta turut menerima buku aktiviti Bestnya! Melukis Background secara percuma.