Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Suasana di Tasik Melati bertambah meriah dengan berlangsungnya Program Gebang Buku anjuran Persatuan Penulis Perlis (3P) yang berjaya menarik kehadiran pencinta buku, penulis serta masyarakat setempat, semalam.
Program ini diadakan bertujuan untuk memupuk minat membaca dan menghargai karya-karya penulis tempatan, selain menjadi platform memperkenalkan buku-buku baharu kepada masyarakat.
Menurut pihak penganjur, program seumpama ini bukan sahaja dapat memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat, malah membantu mempromosikan hasil karya penulis tempatan kepada khalayak yang lebih luas.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program berlangsung, termasuklah sesi perkongsian ilmu dan pengalaman bersama-sama dengan beberapa orang penulis yang hadir.
Sesi jualan buku yang menampilkan pelbagai genre penulisan seperti novel, puisi, cerpen, buku ilmiah dan karya sastera tempatan turut mendapat perhatian para pengunjung.

Pengunjung berpeluang mendapatkan buku secara terus daripada penulis serta berinteraksi dengan mereka dalam suasana yang santai dan mesra.
Keindahan persekitaran Tasik Melati turut menambahkan seri program, sekali gus menjadikan acara tersebut sebagai medan pertemuan yang bermakna antara penulis, pembaca dan penggiat sastera di negeri Perlis.