Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Acara bual bicara, Bercengkerumah dalam Cerpen yang membicarakan kumpulan cerpen terbaharu terbitan Legasi Oakheart berlangsung dengan jayanya bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), baru-baru ini.
Program yang bertempat di Pentas Dunia Buku, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) disertai oleh penulis Cengkerumah, Zulzafry Zulkifly dan Sayidah Mu’izzah, editor Legasi Oakheart.
Menurut Zulzafry, idea tentang Cengkerumah sebagai tajuk diambil daripada dua perkataan, iaitu “cengkerama” yang membawa maksud gurau senda dan “rumah” pula dipilih kerana cerpen dalam naskhah ini mengandungi pelbagai definisi tentang rumah dan berlatarkan hal-hal yang berada di dalam rumah. Menurutnya, cerpen ini juga memberikan garapan berkenaan isu kritikan sosial.
Ketika berkongsi tentang permulaan kerjaya penulisannya, beliau memaklumkan bahawa beliau mula berkecimpung dalam bidang penulisan pada tahun 2017 sebelum berehat seketika.
Beliau kembali aktif menulis pada tahun 2022 dan berjaya memenangi Sayembara Penulisan Cerpen Keluarga Malaysia anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur.
“Pensyarah saya di Institut Pendidikan Guru (IPG) memang banyak berkongsi tentang sayembara dan pertandingan penulisan. Kemenangan pertama pula banyak menyuntik semangat saya untuk terus menulis,” tambahnya.
Inspirasi beliau untuk menulis cerpen pula banyak datang daripada naskhah siri Cerpen Terbaik 2014, 2015, 2016 terbitan Fixi. Oleh sebab itu, kumpulan cerpen dalam Cengkerumah lebih bervariasi dengan bentuk dan teknik penyampaian yang tidak konvensional.
“Daripada buku itu, saya belajar yang cerpen ini boleh datang dalam pelbagai bentuk dan gaya penyampaian,” ujarnya.
Dalam sesi tersebut, Zulzafry dan Sayidah Mu’izzah turut membincangkan hubungan editor dengan penulis.
“Editor dan penulis mempunyai kehendak masing-masing. Oleh itu, budaya toleransi amat penting untuk memastikan karya yang terhasil memenuhi kriteria rumah penerbitan dan juga kehendak penulis,” ujar Sayidah.
Sebelum mengakhiri sesi bual bicara ini, penulis sempat menyatakan kemungkinan bahawa beliau mungkin tidak mampu lagi menulis kumpulan cerpen sebegini.
“Beberapa cerpen dalam naskhah ini ditulis tanpa pengetahuan tentang ilmu menulis dan banyak bergantung pada intuisi dan pembacaan. Mungkin selepas ini tidak akan ada lagi cerpen-cerpen sebegini yang mampu saya tulis,” kata beliau.