Diterbitkan pada 8 Jun 2026, 14:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Nur Farah Suhaila Zahari

Tanjung Malim – Program Perkongsian Pengalaman Penulisan Kreatif bersama Nik Nur Nasuha Nik Rosli menjadi inspirasi kepada anak muda kini untuk bergiat aktif dalam kesenian sastera.

Program yang dianjurkan di bawah penyeliaan YBrs. Profesor Madya Dr. Ghazali Din, Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung melalui platform Google Meet, 16 Mei lalu.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Nik Nur Nasuha menceritakan pengalamannya dalam bidang penulisan kreatif. Menurutnya, beliau bermula daripada penyertaan sayembara penulisan cerpen peringkat universiti.

Kemudian, beliau aktif menghantar karya untuk diterbitkan melalui pelbagai medium penerbitan dan platform media arus perdana.

Beliau yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu di UPSI berkata, karyanya telah berjaya tersiar dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta laman web Tukang Puisi.

Program ini menarik penyertaan sebanyak 100 orang pelajar UPSI terutamanya pelajar yang mengambil subjek penulisan kreatif dan deskriptif.

Penganjuran program ini diharapkan agar terus menjadi satu inisiatif yang penting untuk memupuk minat generasi baharu terhadap sastera tradisional, sekali gus meningkatkan usaha UPSI untuk memartabatkan warisan sastera.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi