Diterbitkan pada 6 Jun 2026, 21:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebuah naskhah bergambar kanak-kanak yang sarat dengan emosi dan nilai kekeluargaan, Sekotak Pensel Warna, kini tampil mendekati jiwa generasi muda bagi menyuburkan kembali nilai kasih sayang dan menghormati ibu bapa.

Menerusi sesi “Cerita Buku, Cerita Kita” yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik ‘Azimin Daud telah membicarakan karya ini pada petang semalam.

Buku yang meruntun jiwa ini ditulis berdasarkan kisah sebenar yang bertujuan untuk menghargai, menghormati dan menceritakan segala jerih perih serta pengorbanan yang dilakukan oleh seorang ayah demi anaknya.

Menurut Encik ‘Azimin Daud yang juga merupakan penulis buku Sekotak Pensel Warna, naskhah ini terhasil daripada kesedaran terhadap realiti generasi alfa hari ini yang semakin kontemporari, namun nilai murni interaksi kekeluargaan kian menipis.

“Buku ini menyentuh aspek kehidupan yang jarang-jarang diketengahkan dalam genre buku bergambar kanak-kanak. Pada masa ini, pasaran dipenuhi dengan buku informatif yang sarat dengan elemen sains dan teknologi, namun kita harus akui bahawa anak-anak hari ini semakin kurang menyantuni nilai kasih sayang serta rasa hormat kepada ibu bapa,” jelasnya.

Buku Sekotak Pensel Warna yang mendapat sentuhan ilustrasi oleh pelukis terkenal, Muhammad Akbar Omar, mempamerkan eksperimentasi hibrid yang unik antara teks dengan visual yang saling melengkapi.

 

Encik ‘ Azimin Daud (kanan) dan Encik  Mohd Shoffi (kiri) semasa Bual Bicara “Cerita Buku, Cerita Kita” yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada petang semalam.

Yang menariknya, ilustrasi pada halaman awal sengaja menyelitkan elemen warisan alam Melayu secara halus menerusi pemakaian dokoh dan busana songket corak tampuk manggis pada watak guru, selain paparan didik hibur yang membezakan ejaan yang betul dan salah pada papan putih demi memupuk prinsip “biasakan yang betul, betulkan yang biasa”.

Untuk menyahut cabaran selepas kejayaan naskhah terdahulu, Asal Usul Batu Badak Batu Kerbau yang dinobatkan sebagai Buku Bergambar Kanak-kanak Terbaik Anugerah Persuratan Selatan 2022/2023, Encik ‘Azmin Daud mengambil pendekatan berani dengan menyuntik unsur pantun dalam setiap dialog watak sebagai langkah untuk menghidupkan semula seni sastera itu dalam kalangan generasi muda.

“Pantun telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Kebudayaan Tak Ketara, namun amat mendukacitakan apabila generasi alfa hari ini semakin terasing dan tidak lagi mengenali bait-bait warisan ini. Hal ini menjadi tanggungjawab saya untuk menterjemahkan ilmu ini dalam bentuk cerita yang mengujakan,” tambah beliau.

Meskipun mengambil masa selama lapan bulan untuk proses ilustrasi siap sepenuhnya, buku yang diterbitkan pada Julai 2025 ini berjaya mencuri tumpuan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan profesional dan akademik.

Melalui watak utama bernama Raihana, pembaca bukan sahaja didedahkan dengan pengajaran psikologi dan pembentukan karakter luaran seperti menjaga kebersihan diri dan mengemas rumah, malah turut dibawa menyelami erti kesyukuran terhadap keperitan hidup generasi terdahulu.

Gelagat seorang kanak-kanak semasa membaca buku Sekotak Pensel Warna.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP, Puan Faizah Hashim; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar serta pegawai DBP.

Kredit Foto: Mohd Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi