Diterbitkan pada 7 Februari 2026, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Tiga editor berpengalaman berkongsi panduan praktikal bagi membantu penulis menembusi siaran akhbar, majalah dan platform digital dalam program Dialog Editor anjuran Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA) di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), hari ini.

Editor Berita Harian yang juga Pemenang SEA Write Award 2025, Puan Hafizah Iszahanid menegaskan bahawa penulis digalakkan menulis berdasarkan isu semasa dan wacana yang hidup dalam masyarakat, bukan sekadar retorik tanpa asas pemikiran yang jelas.

Menurutnya, kekuatan karya terletak pada sudut pandang yang bernas serta keupayaan mengemukakan pandangan kritis.

“Gunakan kecerdasan buatan secara berpada-pada. AI boleh membantu dari segi struktur dan semakan, tetapi pemikiran mesti datang daripada penulis sendiri,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa editor menilai ketajaman idea dan kejelasan mesej, selain disiplin fakta dan bahasa.

Sementara itu, Editor Tunas Cipta, Encik Ahmad Sayuti Mohd Yusob berkongsi pemerhatian tentang kesilapan gaya bahasa yang kerap dilakukan penulis muda, termasuk kecenderungan menggunakan frasa berlebihan dan tidak terkawal sehingga menenggelamkan makna.

Beliau mengakui selera editor bersifat subjektif, namun kekuatan pemikiran dalam karya tidak tertakluk kepada subjektiviti.

“Dari sudut teknikal, editor jarang menolak karya penulis muda secara terus. Banyak karya diberi ruang sebagai galakan dan motivasi untuk mereka terus membina mutu penulisan,” jelasnya.

Beliau menyarankan kepada penulis agar memberikan perhatian kepada ketepatan diksi, kawalan nada dan kesesuaian gaya dengan segmen penerbitan yang disasarkan.

Dalam sesi yang sama, Editor WadahDBP, Puan Nur Anis Salwani Awang Muhamad  memperkenalkan WadahDBP sebagai pelantar digital interaktif yang dibangunkan oleh DBPWT pada tahun 2023, khusus bagi membuka ruang kepada penulis baharu menyiarkan karya.

Katanya, WadahDBP berfungsi sebagai alternatif kepada buletin cetak Jendela Timur, dengan pendekatan lebih terbuka dan responsif terhadap perkembangan penulisan semasa.

WadahDBP juga membolehkan karya yang disiarkan dicalonkan kepada mana-mana hadiah sastera. Ini memberi nilai tambah kepada penulis baharu,” jelasnya.

Platform itu menyediakan tiga ruangan utama penyiaran, iaitu Titisan Pena bagi puisi, Lentera Kreatif untuk cerpen dan segmen Puisi Jawi. Penulis bagaimanapun diingatkan supaya menitikberatkan aspek tatabahasa serta memilih tema yang sesuai seperti kearifan tempatan dan tokoh.

Sesi Dialog Editor yang dikendalikan oleh Ketua Penerangan GEMA, YBrs. Dr. Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik itu menghimpunkan penulis muda, mahasiswa dan penggiat sastera tempatan sebagai medan pendedahan terus kepada kehendak editorial serta ekosistem penerbitan semasa.

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi