Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuhammad Aiman menonton filem Avatar dan melihat dunia lain yang beliau sendiri ingin “rasa”.
Sebuah dunia yang penuh dengan gelak tawa, makhluk-makhluk berjiwa, hidupan dan segala konfliknya, tanpa perlu berkonflik tentang apakah ertinya konflik.
Waktu kecil dahulu, kehidupan saya tidak pernah dibayangi oleh pokok gergasi sebagai sesuatu perkara yang menyeramkan. Kala kanak-kanak lain bertempiaran lari kerana momokan penunggu pohon, saya pula menganggap pokok sedemikian sebagai sebuah keajaiban. Dan keajaiban itu saya sebut sebagai, “pokok Avatar”. Pohon gergasi, sebagai ibu mergastua. Berdirinya tidak sebatas batang dan daun semata-mata, namun sebagai sebuah rumah yang memaut segala ingatan dan nyawa. Hampir sahaja saya mencari-cari cara untuk memasung rambut saya tika kecil dulu sebagai simbolisme kuru dalam avatar.
Filem ketiga bagi siri Avatar karya James Cameron melarik cahaya pertamanya di panggung Malaysia pada 18 Disember lalu. Dengan latar belakang kira-kira tiga minggu selepas apa yang berlaku dalam filem sebelumnya, pelengkap trilogi konflik manusia dan bangsa Na’vi ini dimulakan dengan sebuah mimpi-imbas atau lebih layak disebut sebagai komunikasi antar-jiwa, di antara Lo’ak (Britain Dalton) dengan Neteyam (Jamie Flatters). Seterusnya diikuti dengan pengembangan plot seperti sambungan kebencian Neytiri (Zoe Saldana) terhadap Orang Langit menerusi Spider (Jack Champion), konfrontasi Jake (Sam Worthington) terhadap isterinya, juga memperkenalkan penonton kepada puak Pedagang Bayu atau dikenali sebagai puak Tlalim, langsung diikuti serangan puak Abu a.k.a Mangkwan dan Miles Quaritch (Stephen Lang) sebagai pemain antagonis yang penting dalam filem ini.
Setiap kali filem dalam siri Pandora ini ditayangkan, pasti ada lisan resah dan tangan yang gelisah mengatakannya sebuah kegagalan. Sebuah klise yang dibaluti grafik terkini demi menutupi plot yang hambar. Juga, sebuah karya tanpa impak budaya dan kesan terhadap jiwa. Nah, saya menolak untuk berasa sedemikian.
Tiga jam saya pada tengah hari 18 Disember hampir sahaja tidak terasa berlalu. Seperti pohon, filem ini terus bercambah seperti akar yang baharu.
Perlahan mengakar, arif menjalar, lantas pada akhirnya bertaut. Tautan dahan itu, walau seringkas mana atau sekompleks mana pun, pastinya akan menjanjikan kepuasan. Dan kepuasan itulah yang ditawarkan oleh filem ini kepada jiwa kecil saya.
Kebencian Neytiri yang belum surut kepada Spider, sekalipun mereka telah berkampung di pesisiran bersama puak Metkayina, juga dibasahi gelak tawa Spider bersama anak-anak Neytiri masih belum sepenuhnya melambai badai dalam lara seorang ibu. Namun, menjejaki jam kedua filem, sebuah babak seakan-akan simbolisme Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dipaparkan, sebagai bentuk penyucian Neytiri malah Jake sendiri daripada hasutan dalam diri.
Malah, momen penebusan diri ini ditonjolkan dalam setiap watak dan babak. Jake, Neytiri, Lo’ak, Kiri, Tsireya, Aonung, Rotxo, Ronal, Tonowari, malah Payakan sebagai tulkun yang dipulaukan pun punya ombak yang menyucikan diri. Tinggal lagi si bongsu Tuk sahaja, yang saya masih tercari-cari posisinya dalam naratif emosi filem ini.
Daripada segi skrip pula, Cameron selaku pengarah tidaklah menyediakannya sambil lewa. Sekalipun saya agak terkilan dengan cara komunikasi Jake yang agak keras, namun watak lain berjaya menjadi air yang setia melembutkan. “Stay in this life,’ kata Kiri (Sigourney Weaver) – susuk manifestasi Eywa dan Avatar Grace – kepada Lo’ak punya kesan yang cukup berat. Dialog yang paling memikat, jatuh kepada Quaritch. Ayatnya tampak bersahaja, namun kebanyakannya sinis dan humor.
Lantas Quaritch, yang ingin sahaja saya tuliskan sebagai “beliau”, tidak lagi layak disebut sebagai antagonis satu dimensi. Adegan khayali di kem Varang juga sepatutnya menjadi ritual penuh mistik, namun masih berjaya disuntik kebersahajaan mantan ketua Jake ini. Juga interaksi demi interaksi antara dia dengan Jake, juga Spider, benar-benar membuatkan saya ingin karakter ini terus membintangi karya akan datang. Malah, pendedahan persona ini masih lagi mengekalkan jati diri seorang marin pada jiwa Quaritch, seperti yang digambarkan dalam dialog “Want a pinky swear?”.
Tidak lupa juga ialah visual! Visual, visual dan visual. Pulau terapung yang menjadi taman permainan Ikran, daya oikat pertama ketika Pedagang Bayu baharu tiba bersama-sama Pari Bayu (Kreytu’um), sinematografi pascakolaborasi Mangkwan dan Quaritch, dan pastinya, segala hidupan yang ada di hutan, langit dan lautan! Kembalinya Leonopteryx terakhir, Toruk yang sedia mengganas bersama Makto-nya.
Oh ya, fakta kecil, Malaysia pernah memberi gelaran Toruk Makto kepada sebuah pesawat, Su-30MKM ketika pembukaan tirai LIMA’25 Mei lalu. Tulkun pula, bersama-sama Bonda Agung Tulkun (Matriach) yang setiap perinciannya penuh dengan keajaiban.
Terus, ketika babak majlis tetua akhir antara para Tulkun dengan wakil Na’vi, perincian yang dipaparkan cukup menakjubkan. Nah, kita tidak lagi menyebut tentang saiz di sini. Skala tentang betapa besarnya hidupan di laut Pandora yang satu ini, skala tentang betapa merdunya lagu mereka dan skala tentang betapa menggetarkan jiwa dan dunia – secara literal – bahasa mereka.
Berbekalkan pembunyian Dolby Atmos di panggung, terus segala keluhan dan ancaman mereka menggetarkan dan menyesakkan dada.
Terus membuatkan saya berasa bahawa menonton filem ini di layar kecil, tanpa sistem bunyi yang layak dan layar yang benar-benar mendefinisikan kata papar, merupakan suatu pengkhianatan kecil terhadap usaha Cameron – apatah lagi jika ditonton dengan kualiti cetak rompak.
Filem sebegini, tidak disajikan untuk diuji dengan teori. Kita tidak perlu menyuguhnya dengan bermacam-macam pengalaman cinephile yang membuatkan kita tercari-cari pemutarbalikan plot (plot twist) yang berat, falsafah yang mendalam atau permainan teka-teki yang besar semata-mata untuk tampak gah. Ada filem yang memerlukan kita untuk duduk sebentar di kerusi pawagam, memasang telinga sebentar dan membuka mata untuk melihat dunia yang kita ingin ada.
Sebuah dunia yang penuh dengan gelak tawa, makhluk-makhluk berjiwa, hidupan dan segala konfliknya, tanpa perlu berkonflik tentang apakah ertinya konflik.
Entah di mana saya dengar kata-kata ini, tetapi katanya, “Plot bukanlah tujuan, hanya bersifat sebagai panduan.” Lantas sekali lagi ditegaskan, erti sebenar seorang cinefilia adalah untuk lari sebentar daripada dunia dan masuk bersama-sama ke ruang berlayar bersama-sama mereka yang kita cinta, untuk melihat dunia yang kita ingin rasa.
Terus, setiap kali ada pohonan yang besar, akarnya gagah menjalar, batangnya galak melebar, dan rimbunan daun yang redup melitup, pasti sahaja saya terkenangkan “Pohon Jiwa”, juga dipanggil “Pohon Ibu”, atau Vitraya Ramunong dalam bahasa Na’vi. Dan memori ini perlahan-lahan menjadikan saya “peminat dalam diam” siri Avatar ini.
Sebuah siri yang sentiasa menepati janjinya dalam membawa saya ke dunia baharu, dengan nafas baharu, tanpa segan silu untuk mengakui bahawa saya menyukainya.
Tanpa perlu untuk ada siri kecil lain untuk membuatkan audiens sentiasa teringat, tanpa perlu saban tahun menerbitkan komik baharu untuk mengekalkan sebuah ingatan, pohon Eywa telah memaut kami semua. Sekalipun masih ada suara sumbang yang bernada sinis serta pesimis, dunia masih berjaya membuktikan yang sebaliknya. Ketika resensi ini ditulis, trilogi Avatar telah pun menjadi trilogi dengan nilai kutipan tertinggi yang pernah ada!
Aku menyedari kamu, dan ayuhlah bawa kesedaran kita ke Avatar!