Diterbitkan pada 25 November 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Adam melihat estetika “bayang” di sebalik sebuah kota, segugus puisi dan selintas masa.

 

Ghairah saya yang awalnya adalah sebagai seorang pengejar cahaya telah bertukar menjadi pengejar bayang.

 

‘rumah tua itu
masih kukuh dan setia
menyimpan rahsia
mainan sinar
dari sisiran atap
cetusan panca-inderamu
yang pertama’

(Latiff Mohidin, puisi “Mainan Sinar” dari Kumpulan Puisi Serpihan dari Pedalaman, 1979)

 

Biarpun sajak Latiff Mohidin yang dipetik di atas bukanlah ilham esei foto ini, tetapi saya menempelkannya kerana Latiff membawakan sebuah seni pengadegan (mise-en-scene) penting yang melibatkan cahaya dalam sajaknya. Hal itu secara tidak sengaja menggambarkan inti pati (essence) dalam sefoto esei ini yang secara alamiah dan perlahan-lahan telah lahir daripada ghairah (atau mungkin juga kemaruk?) untuk menangkap cahaya, yang terilham daripada kata-kata masyhur Trent Parke,

Selamanya aku adalah pengejar cahaya. Cahaya mengubah kebiasaan kepada keajaiban.

Namun, dalam Magnum Manifesto (2017), Clement Cheroux (penyunting buku) berkata bahawa, “seseorang harus mencipta apa yang boleh kita panggil sebagai halangan/hadangan. Seseorang harus menciptakan bayang supaya cahaya kelihatan”. Beliau mendakwa begitu kerana cahaya menurutnya, terlalu “kelihatan”. Di mana-mana sahaja atau apa-apa sahaja yang kita nampak, hal itu adalah kerana keberadaan cahaya.

Oleh itu, cahaya sukar ditunjuk dan diperlihatkan tanpa halangan dan hadangan, yakni bayang sebagai kontra. Maka, ghairah saya yang awalnya adalah sebagai seorang pengejar cahaya telah bertukar menjadi pengejar bayang.

Saya mengejar bayang untuk menangkap cahaya.

Saya (atau foto-foto saya?) seolah-olah dirasuk dengan bayang yang bertentangan dengan satu karakter dalam secerpen Asrul Sani berjudul “Bola Lampu” yang menghidap penyakit jatuh cinta kepada cahaya, matahari, lampu dan kepada bola lampu (atau mentol dalam bahasa kita).

Berbalik kepada esei foto ini semula, dalam sudut yang lain, walaupun permainan cahaya dan bayang dalam fotograf sering dianggap sebagai menghilangkan dan menyirnakan maklumat dalam foto, tetapi sebenarnya, cahaya-bayang itulah maklumat kepada foto. Tambah lagi, permainan cahaya dan bayang dalam fotografi secara tidak langsung signifikan dalam menyampaikan kepada spektator (si penglihat) tentang latar masa foto tertentu melalui pemerhatian terhadap intensiti cahaya matahari dan kepanjangan bayang, walaupun masa yang tepat dan rinci masih tidak dapat dipastikan (bukankah sejarah jam di zaman Mesir kuno dahulu menggunakan bayang?).

Selain menyatakan tentang konsep masa dalam foto, daripada sudut yang lain pula, cahaya dan bayang dalam fotograf juga menggambarkan kepesatan pembangunan yang terjadi terhadap kota.

Hal ini memiliki kaitannya dengan rangkap puisi T. Alias Taib yang berbicara tentang kesamaran duduk letak matahari terbenam dan terbit.

Di sini ada pagi
Tapi tak kutau
Dimana mentari terbit
Di sini ada senja
Tapi tak kutau  
Bila mentari tenggelam

(T. Alias Taib, puisi “Kuala Lumpur” dari Kumpulan Puisi Pemburu Kota)

 

Hal ini mungkin disebabkan status Kuala Lumpur sebagai kota yang deras membangun, dengan menara pencakar langit dan bangunan-bangunan tinggi memenuhi lensa pandangan. Keadaan tersebut kontra dengan kampung dan kawasan pantai. Di sana, dengan mudah kita boleh melihat matahari terbit dan terbenam pada horizon.

Keadaan ini selari dengan pemerhatian dalam katalog pameran fotografi, Tokyo: A City Perspective (yang turut memaparkan kerja-kerja foto Daido Moriyama) menghujahkan bahawa pembangunan pesat di Tokyo menyebabkan kota itu diselimuti cahaya dan bayang.

Oleh itu, hal ini seolah-olah memperjelaskan kekusutan saya berkenaan dengan kepayahan yang saya alami apakala cuba menangkap foto dengan gaya cahaya dan bayang di kota-kota yang kurang membangun berbanding dengan Kuala Lumpur dan kota maju yang lain (saya tidak mengatakan bahawa foto dengan gaya cahaya dan bayang itu tidak dapat dilakukan di kota kurang membangun atau di desa, tetapi halnya berbeza dan mungkin lebih mencabar berbanding dengan melakukannya di kota maju). Faktornya mudah, iaitu kekurangan bangunan atau lebih tepat, bangunan tinggi.

Maka, cahaya dan bayang ialah etos sebuah kota dan pada masa yang sama, merupakan peluang untuk merakamkan kederasan pembangunan tanpa perlu menangkap bangunan tinggi dan menara pencakar langit.

Dalam sudut yang lain, estetika dan inti pati kepada projek organik yang sentiasa berkembang ini didorong daripada kerja-kerja Alex Webb, Harry Gruyaert, dan Ray Matzker. Mereka “dirasuk” dengan kraf cahaya dan bayang. Tambah lagi, Daido Moriyama juga merupakan satu daripada rujukan bukan sahaja kerana beliau merupakan pemfoto jalanan pertama yang mengghairahkan saya untuk menekan pengatup (shutter), tetapi kerana dia juga “dirasuk” oleh bayang seperti mana yang terserlah dalam buku fotonya, iaitu Light and Shadow.

Pada satu takah lain, saya juga cuba mengambil inspirasi daripada lukisan Rembrandt dan Caravaggio. Kedua-duanya sinonim dengan gaya chiaroscuro yakni kontra tinggi antara cahaya dengan bayang. Secara keseluruhannya, foto-foto dalam esei foto ini mempunyai dua lapisan rasukan bayang yakni pertama, kota yang dirasuk oleh bayang kerana pembangunannya yang pesat lagi deras dan kedua, menggambarkan kerja-kerja fotografi saya yang menggambarkan obsesi dan rasukan saya menangkap bayang untuk memperlihatkan cahaya. Bak kata pepatah,

Setiap gambar adalah potret kendiri (self-portraits).

Hal ini mungkin kelihatan paradoks untuk merakam dengan tujuan seolah-olah kritikan tetapi dalam masa yang sama cuba menggayakannya dengan stail dan estetika. Tetapi fotografi tidak akan wujud tanpa paradoks. Tindak-tanduk menangkap foto itu sendiri sesuatu yang paradoks. Bak kata Ray Metzker:

Paradoks fotografi itu adalah ia cuba menjadikan yang fana itu abadi.

Pada akhirnya, bayang ialah inti pati (essence) fotograf.

Maka seseorang yang dirasuk dengan fotografi sebenarnya sedang dirasuk bayang.

 

Kredit Foto: Adam Taufiq Suharto
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi