Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kepentingan buku kanak-kanak sebagai medium pendidikan awal, pembentukan imaginasi serta pemangkin perpaduan masyarakat berbilang kaum dibincangkan secara mendalam dalam sesi Bual Bicara: Kanak-kanak dari Kaca Mata Saya yang berlangsung bersempena dengan Jualan Gudang Mega Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kompleks DBP Hulu Kelang, petang semalam.
Sesi bual bicara yang dipengerusikan oleh Azalan Hussain itu menampilkan tiga panelis berpengalaman dalam bidang penulisan dan penerbitan, iaitu Emila Yusof, Zalila Isa dan Shida Ayub. Program yang berlangsung dalam suasana santai namun informatif itu memberikan tumpuan kepada proses kreatif, cabaran penerbitan serta isu pasaran buku kanak-kanak tempatan.
Perbincangan turut memfokuskan karya terbaharu terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) yang mengangkat tema perpaduan masyarakat majmuk. Buku-buku berkenaan sebelum ini telah dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor (PBAS) 2025 dan dilihat sebagai usaha memperkenalkan nilai kebersamaan serta toleransi sejak usia kanak-kanak.
Azalan Hussain dalam ulasan pembukaannya menegaskan bahawa buku kanak-kanak bukan sekadar bahan bacaan hiburan, sebaliknya berfungsi sebagai wahana pendidikan yang mampu membentuk imaginasi, pemikiran dan keperibadian pembaca cilik. Menurutnya, pendedahan kepada buku sejak awal usia, sama ada melalui pembacaan kendiri atau dibacakan oleh orang dewasa, memberikan kesan jangka masa panjang terhadap pembentukan sahsiah kanak-kanak.
Zalila Isa pula berkongsi pengalaman dan dorongan peribadinya dalam menghasilkan buku kanak-kanak. Beliau menjelaskan bahawa peranannya sebagai seorang ibu telah membuka kesedaran tentang kekurangan bahan sastera kanak-kanak tempatan yang berkualiti. Justeru, usaha membina perpustakaan di rumah dengan buku-buku terbaik dilihat sebagai pelaburan ilmu dan nilai yang berpanjangan.
Beliau turut menyifatkan penulisan buku kanak-kanak sebagai satu cabang yang mencabar kerana memerlukan penceritaan ringkas, mesej yang jelas serta ilustrasi yang mampu menarik perhatian kanak-kanak.
Menurut Zalila, cabaran terbesar terletak pada aspek visual dan ilustrasi, memandangkan cerita kanak-kanak perlu disampaikan dengan berkesan melalui gabungan teks dan gambar. Walaupun jalan ceritanya ringkas, penghasilan buku kanak-kanak memerlukan penelitian yang tinggi agar mesej yang ingin disampaikan benar-benar sampai kepada sasaran pembaca.
Sementara itu, Shida Ayub menekankan isu pengedaran dan capaian pasaran sebagai antara kekangan utama industri buku kanak-kanak di Malaysia.
Beliau berpandangan bahawa pasaran buku kanak-kanak masih banyak bergantung pada keputusan pembelian oleh ibu bapa. Oleh itu, kerjasama dengan institusi pendidikan, perpustakaan, agensi kerajaan serta badan yang berkaitan dengannya perlu diperkukuh bagi meluaskan capaian buku kanak-kanak, khususnya pada peringkat prasekolah. Menurutnya, buku bagi anak-anak kecil bukan untuk tujuan pembelajaran formal sahaja, tetapi untuk membantu mereka menikmati pengalaman hidup yang lebih gembira dan bermakna.
Emila Yusof pula membangkitkan isu kuasa membeli dalam kalangan kanak-kanak. Beliau menjelaskan bahawa di Malaysia, keputusan membeli buku masih dikuasai sepenuhnya oleh ibu bapa, berbeza dengan beberapa negara luar yang memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk memilih sendiri bahan bacaan mereka. Menurutnya, pendekatan memberikan kuasa memilih kepada kanak-kanak secara berperingkat mampu memupuk minat membaca serta merangsang perkembangan pemikiran mereka.
Selain itu, Emila turut menyuarakan pandangan tentang penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam ilustrasi buku kanak-kanak. Beliau menegaskan bahawa kualiti visual yang baik lahir daripada emosi, kejujuran dan sentuhan manusia, dan penggunaan AI sepenuhnya dikhuatiri menjejaskan ekosistem kreatif serta peluang kepada ilustrator tempatan.
Program ini merupakan antara pengisian utama sepanjang Jualan Gudang Mega DBP yang berlangsung dari 20 hingga 29 Disember 2025, selaras dengan usaha DBP untuk memupuk budaya membaca dan memperkasakan industri perbukuan negara.