Diterbitkan pada 14 Ogos 2025, 02:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selepas kejayaan teater Love Is A Motion Picture, produksi teater Separuh Matahari dan Main Theatre kembali dengan kesinambungan kisah yang lebih menggugah, iaitu teater Life Is A Motion Picture, yang akan dipentaskan pada 27- 31 Ogos 2025 di Studio Ramli Hassan, Bukit Tunku.

Ditulis oleh Arshad Adam dan diarahkan oleh Nawfal Zamri, karya ini turut mendapat sokongan Masakini Theatre Company, serta dibintangi oleh Akid Jabran dan Mia Sara.

Jika kisah terdahulu menggali kedukaan daripada sudut pandang watak tunggal yang dipanggil “Lelaki”, maka naskhah kali ini menjelajahi ruang yang wujud antara dua insan pula. Jelas penerbit, Aiman Nazirmuddin tentang teater ini:

Kali ini bukan sekadar tentang ‘letting go’ . Teater ini adalah tentang bagaimana untuk terus hidup apabila tidak ada siapa pernah ajar kita cara merasai kehilangan bersama.

Mengambil latar sebuah ruang tamu yang sepi dan waktu yang terhenti, kisah ini memaparkan pasangan suami isteri yang terputus komunikasi selepas kematian anak mereka. Mereka tidak bercakap dan hanya membiarkan klip-klip filem dan keheningan ruang yang menjadi perantara.

“Filem bukan sekadar latar tetapi talian hayat,” kata penulis, Arshad Adam. “Mereka menggunakan filem untuk mencari dan meluahkan harapan.”

Reka bentuk pentas dan pencahayaan yang dikendalikan Nawfal turut menjadi nadi emosi pementasan ini. Katanya,

Diam ialah bahasa utama dalam cerita ini. Ada ketegangan dalam keheningan. Ada kenangan yang melekat di setiap sudut ruang.

Bagi pelakon, Akid Jabran pula, beliau menyatakan bahawa menjiwai karakter yang menanggung duka dalam diam bukan mudah. “Perasaan itu perlu dilahirkan secara halus melalui gerak tubuh dan pandangan mata. Bukan semua duka perlu diungkap dengan suara.”

Mia Sara pula berkongsi, “Saya belajar untuk berani diam. Dalam diam, saya rasa emosinya lebih jujur, lebih berat dan lebih menyentuh.”

Menariknya, pementasan ini menggunakan rujukan filem yang digunakan sebagai cerminan emosi. Antara rujukan filem yang digunakan ialah filem The Garden of Evening Mists, Eternal Sunshine dan The Lion King. Semuanya berfungsi sebagai pencetus rasa bagi para watak yang sudah lama kehilangan kata-kata.

Lebih daripada sekadar kisah biasa, teater ini ialah puisi visual tentang cinta, kehilangan dan keberanian untuk terus bersama. Hal ini tidak memberi jawapan tetapi membuka ruang renungan.

“Kalau selepas menonton teater ini, penonton berasa bahawa cerita ini tentang diri mereka, maka hal itu sudah cukup berjaya bagi saya,” ujar Aiman.

Jualan tiket telah dibuka bermula dengan harga RM60 (atas talian) dan RM70 (pembelian di pintu). Maklumat lanjut atau tempahan tiket, sila imbas kod QR yang dipaparkan atau boleh melayari Instagram @separuhmatahari.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi