Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Dunia penulisan tanah air bakal menyaksikan satu perhimpunan bersejarah apabila Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) 2025 bakal dianjurkan pada 21 September 2025 di Glory Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Program yang berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 5.30 petang itu bertujuan untuk menyatukan para alumni MPR serta membuka ruang interaksi dan perkongsian ilmu dalam kalangan penulis muda yang pernah menyertai program berprestij tersebut.
Antara pengisian utama yang dijadualkan antaranya termasuklah Diskusi Karya, iaitu sesi perbincangan kritis yang memberikan ruang kepada peserta untuk membedah dan membincangkan karya masing-masing serta menerima pandangan membina daripada rakan penulis dan tokoh sastera.
Turut menjadi tumpuan ialah Forum 40 Tahun MPR, yang menghimpunkan tokoh-tokoh penting dunia penulisan untuk menelusuri sejarah dan sumbangan MPR dalam mengembangkan landskap kesusasteraan tanah air sejak penubuhannya empat dekad lalu.
Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Kelab Alumni MPR juga akan diadakan dalam usaha memperkukuh jaringan penulis dan mengukuhkan komuniti sastera tanah air secara berterusan.
Penganjuran program ini terbuka kepada semua alumni serta individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti penulis Malaysia. Pendaftaran boleh dilakukan dengan mengimbas Kod QR pada poster rasmi atau melalui borang Perhimpunan Alumni MPR 2025.
Penganjur menyeru semua alumni dan pencinta dunia penulisan agar tidak melepaskan peluang menyertai acara ini bagi meneruskan perjuangan memartabatkan penulisan di Malaysia.