Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangYasmin Zolkifly berutus surat dengan adiknya tentang perkelanaannya di Jepun. Pengalaman melalui lorong dan menuruni bukit yang “enak”. Sebuah kembara yang dirakamkan dengan kata-kata dan masyarakat Jepun menjadi saksinya.
Ke mana-mana sahaja aku pergi dan menerawang, kau sentiasa mengekori, bersama-sama mengamati dunia luar dan bersama-sama menyaksikan buat kali pertama.
Surat No. 5
Arashiyama, Kyoto
Jam: Tengahari yang terik
Salam Nani,
Masih enggankah bicara denganku?
Sampai bila, Nani? Sudah lebih dua minggu kita keputusan kata-kata. Sejak aku berangkat ke Jepun, sepatah pun tidak kudengari apa-apa daripadamu.
Aku berada di Kyoto sekarang, bandar yang dahulunya merupakan pusat pemerintahan Jepun sebelum dipindahkan ke Tokyo. Tahukah Nani, bahawa Kyoto bermaksud ibu negara atau dalam bahasa Inggerisnya ialah “capital city”?. Manakala Tokyo pula adalah merupakan imej songsang bagi perkataan Kyoto. Fakta satu.
Fakta dua, ialah aku rindukan perbualan kita, dik.
Saat ini aku sedang duduk ditemani sunyi di sebuah wakaf kecil. Mencari teduh dari panas terik matahari yang meninggi. Wakaf kayu ini sudah agak usang. Di atas bukit, rimbunan pohon comot dengan pelbagai warna. Sayup kelihatan dari bukit ini ialah bandar Kyoto atau sebahagian daripadanya. Aku kurang pasti berapa besar kota lama ini. Banjaran gelap berbalam gagah berbaris mengepung kota ini. Suasana di sini hening sekali.
Indah pemandangan di sini, Nani.
Engkau pasti suka, dik.
Nama tempat ini ialah Okochi Sanso Garden. Khabarnya, tempat ini dimiliki oleh seseorang yang berpengaruh dan terkenal dalam industri filem di Jepun. Lamannya sungguh luas dan penuh dengan pelbagai rimbunan dan jenis landskap. Dedaunan hijau musim panas kini mengorak warna lain, seakan-akan meraikan ketibaan musim luruh.
Barangkali engkau akan berasa seronok bersiar-siar di laluan taman Jepun yang berbatu dan berbelok ini. Sekali sekala menghilang di balik rimbunan yang renek. Menyoroti imbasan warna-warna dedaunan dan lantai taman dikilas cahaya matahari. Aku percaya kau tidak akan mahu pulang, Nani. Mana mungkin, dari taman seindah ini.
Semalam aku ke Fushimi Inari Taisha Shrine, sebuah kompleks sembahan berhala yang tersohor dalam kalangan masyarakat Jepun. Sebelum kau menyebut khurafat, aku bukan pergi ke situ untuk menyembah apa-apa. Aku hanya ingin berjalan di bawah barisan gerbang torii yang ikonik berwarna jingga terang. Begitu juga dengan ratusan pelancong lain yang melawat tempat tersebut. Kami lebih berminat untuk merakam gambar berlatarkan gerbang torii tersebut.
Di belakang setiap tiang gerbang itu terdapat kaligrafi bertatahkan bahasa Jepun. Aku menyemak Google Translate. Rupa-rupanya kaligrafi itu tidak bermaksud apa-apa pun. Hanya nama-nama individu atau syarikat penyumbang serta tarikh pembinaannya sahaja.
Bahkan tujuan asalnya aku ingin mendaki laluan gerbang torii itu terus ke puncak gunung Inari yang hanya sekitar lima kilometer jauhnya. Cuaca semalam agak mendung. Terasa sejuk berjalan di dalam rimbunan hutan yang tebal dan terlindung daripada cahaya matahari. Tetapi disebabkan hari semakin gelap dan nyamuk hutan pula sibuk berpesta dengan darah manis aku ini, maka aku batalkan hasrat itu separuh jalan dan keluar dari lingkaran gerbang torii jingga itu.
Dalam perjalanan menuruni bukit, aku melalui lorong–lorong kecil di belakang rumah-rumah orang Jepun untuk sekadar melihat kawasan perumahan mereka di sekitar kaki gunung Inari. Rumah mereka sempit dan tersusun rapat. Aku hanya menemui kenderaan sebanyak satu atau dua sahaja. Mungkin mereka lebih banyak menggunakan basikal untuk pengangkutan seharian.
Sebelum itu, Nani, aku melawati Kiyomizu-dera Temple terlebih dahulu.
Bukanlah aku berhasrat benar mengunjungi kuil sembahan berhala ini. Tetapi tempat ini merupakan tempat yang bersejarah di Kyoto. Kebetulan, kuil-kuil ini mempunyai pemandangan yang sangat mengagumkan semasa musim bunga.
Aku mengetahui bahawa musim sekarang ialah musim luruh. Tiada kelopak bunga sakura di sekeliling kuil untuk aku saksikan. Dedaunan semuanya masih hijau dan belum bertukar warna lagi. Kompleks kuil tersebut penuh dengan pelancong yang datang berpusu-pusu. Namun dengan lincah aku meloloskan diri di antara mereka untuk mendapatkan sudut latar yang terbaik untuk dirakam. Kuil itu terletak di atas bukit dan pemandangannya agak menarik.
(Tetapi tidak seindah laman di wakaf ini, Nani.)
Kuil Kiyomizu-dera itu terletak di hujung jalan Matsubara – dori yang sesak dengan manusia pelbagai bangsa. Mereka sibuk mengunjungi kedai- kedai lama di sepanjang jalan tersebut. Ada kedai yang menyewakan baju tradisi kimono dan yukata. Ada juga kedai cenderamata, arak, makanan dan lain-lain. Aku tidak sanggup bersesak di celah kerumunan ramai untuk menuruni jalan itu.

Oleh itu Nani, aku memilih satu lorong kecil yang selari dengan jalan Matsubara-dori tersebut untuk ke simpang utama di bawah bukit. Sangkaku Nani, lorong itu merupakan lorong belakang rumah. Rupa-rupanya lorong itu ialah lorong belakang kawasan kubur Jepun. Hampir dua kilometer panjangnya menuju ke simpang bawah bukit.
Aku boleh bayangkan gelak tawamu yang kuat. Pasti kau teringatkan cerita P. Ramlee semasa babak hantu Jepun bangkit dan menari gelek Hawaii.
Bukankah aku sememangnya begini? Suka meneroka kawasan-kawasan baharu dan terpencil, dan engkau sentiasa mengikutiku, Nani. Ke mana-mana sahaja aku pergi dan menerawang, kau sentiasa mengekori, bersama-sama mengamati dunia luar dan bersama-sama menyaksikan buat kali pertama.
Begitu jugalah di sini. Aku menurut sahaja langkah kakiku dan sedap rasa hatiku. Kali ini langkah kaki dan sedap rasa membawaku melalui kawasan perkuburan yang luas dan bersih. Di kiri dan kananku terdapat bongkah-bongkah tinggi batu nisan kelabu konkrit yang tersusun rapi dan padat. Hampir tiada ruang di antara bongkah-bongkah tersebut. Sama seperti semasa hayat mereka mendiami kotak-kotak rumah yang kecil dan sempit. Setelah mereka mati, bongkah-bongkah batu nisan ini pula yang mencerminkan ruang kesempitan tersebut.
Setidak-tidaknya pemandangan dari kubur mereka lebih menarik, Nani. Terletak di lereng bukit dan dikelilingi rimbunan yang menghijau di sekitarnya. Sunyi sekali sewaktu aku melalui kawasan ini. Kematian itu ialah sesuatu yang sunyi.
Sekiranya engkau ada bersamaku Nani, pasti engkau sudah berlagu kecil. Suasana sunyi hanya membosankanmu. Lantas engkau akan mula bercerita. Ceritalah tentang apa-apa jua yang boleh diceritakan. Engkau mengetahui bahawa aku akan mendengar dan memberi tumpuan.

Engkau pandai berbual, Nani, malah dengan sesiapa sahaja. Hal itu merupakan bakatmu.
Aku hanya tahu mendengar, dan mengingat.
Aku berhenti di sini dahulu, Nani. Aku perlu bergerak sekarang ke stesen Sagano untuk menaiki laluan keretapi lama – Romantic Sagano Trail.
Nanti petang aku sambung semula, dik.
Jam: Malam
Sudah malam baru aku kesempatan dik, untuk melanjutkan warkah ini.
Aku baru sahaja pulang berjalan kaki hampir 20 minit setelah makan malam di restoran Oyakudon yang halal. Melalui lorong-lorong sempit depan rumah-rumah Jepun yang sepi. Sini semuanya selamat, Nani. Sungguhpun malam, lampu jalannya terang.
Rata-ratanya orang Jepun berada dalam rumah mereka selepas balik kerja. Ada yang berbasikal. Ada juga yang berjalan kaki untuk pulang kerja atau pulang dari sekolah. Malah tadi aku terhenti di luar bangunan sekolah menengah kerana terdengar bunyi bising para pelajar bermain di gimnasium. Meskipun sudah lewat malam.
Petang tadi aku mendayung, Nani.
Aku mendayung bersungguh-sungguh di kawasan sungai Katsuragawa yang terletak di Arashiyama Park. Koleknya kecil sahaja. Warnanya biru. Tetapi pendayungnya berat. Tersentak-sentak sewaktu aku menolak dan menariknya. Aku tidak memahami pada mulanya cara untuk mengemudikan dayung ini. Pasangan lain tenang-tenang sahaja dalam kolek mereka. Aku sahaja yang kelam-kabut memutar-mutarkan pendayung ini. Bunyi bising “gedegang-gedegung” bunyi bilah-bilah pendayung itu berlaga.
Kalau diikutkan Nani, aku ingin sahaja mudik ke hulu sungai tersebut. Lebih mencabar kerana melawan arus. Hal itu merupakan penyebab sampan atau kolek yang lain berkumpul di muara sungai. Aku tidak mahu berlaga-laga sampan. Lagipun pemandangan di hulu sungai lebih cantik. Diapit bukit-bukit hijau keperang-perangan di kiri dan kanan sungai.
Sekiranya engkau ada bersama Nani, sudah pasti jauh mudikku. Aku seakan-akan lebih berani bila kau ada bersama, dik. Aku tidak peduli kau pandai berenang atau tidak, tetapi suara kau nyaring dik. Kalau kau menjerit, satu bukit hutan ini akan bergema. Lari semua monyet-monyet yang bergayutan di tepi sungai ini.
Aku masih ingat kali pertama kita berjumpa, Nani. Di pejabatmu.
Aku hadir untuk tugasan pengagihan barang buat pertama kali. Lalu aku tanyakan pada kakitangan yang membuka pintu pejabat untuk mencarimu. Mereka menyuruh aku menuruti bunyi suara yang lantang kedengaran dari bilik mesyuarat.
Pada saat itu engkau sedang sibuk, dik. Engkau seorang sahaja yang sedang menguruskan tugas pengagihan barang kepada hampir 20 orang sukarelawan di pejabat tersebut. Aku tiba lewat. Kau sudah memulakan taklimat di meja mesyuarat. Jadi aku berdiri sendiri di muka pintu untuk mendengar.
Seketika kau menoleh padaku. Pandanganmu tidak berkedip. Merenungku dengan lama sehingga yang lain turut berpaling. Engkau memang begitu orangnya. Tiada segan-silu merenung orang asing di khalayak ramai.
Aku mendayung berpusing-pusing di muara sungai itu hampir sejam.
Sebelumnya itu, aku menaiki kereta api lama Sagano yang aku ceritakan siang tadi. Melalui trek kereta api lama yang menyusur di tepi hutan yang berbukit sepanjang tebing sungai menghala ke sebuah pekan kecil Kameoka yang terletak di sebalik bukit tersebut. Kawasan kampung. Berekar-ekar tanaman padi yang masih menghijau. Gerabak kereta api lama itu agak klasik binaannya, Nani. Berbangku kayu. Lampunya pun bertopi seperti lampu minyak tanah. Jendelanya pula seperti tingkap bas sekolah semasa kita kecil dahulu. Oh, aku terlupa engkau bersekolah rendah di USA.
Apa lagi yang boleh aku ceritakan untuk hari ini, Nani?
Di sini juga terletak Arashiyama Bamboo Park, hutan buluh yang terkenal. Tinggi melampai. Batang-batang buluhnya mungkin dalam 20 meter atau lebih. Suasana dalam hutan tersebut sejuk dan redup. Kawasannya menarik tetapi sukar untuk bergambar tanpa lintasan kelibat manusia di belakang. Ramai pelawat di kawasan ini, Nani. Pelancong dari pelbagai negara. Pelbagai jugalah kerenahnya.
Antaranya sepasang pelancong berbangsa India yang merakam gambar di hadapan sebuah pintu pagar. Walhal jelas pada pintu pagar itu tertulis amaran untuk tidak mengambil gambar di situ. Mungkin tanah rezab persendirian. Tetapi mereka tidak peduli.
Begitulah keadaannya, Nani. Ada kalanya pelancong-pelancong yang datang tidak menghormati adab dan peraturan di tempat yang dilawati. Mungkin perbezaan budaya. Mungkin tidak sekolah pun iya. Aku tidak tahu.
Dik, aku dah letih. Seharian berjalan dan mendayung. Nanti aku coretkan lagi perjalananku di sini esok dan lusa. Bertemu lagi, Nani.
Jaga diri baik-baik.
Bersambung…