Diterbitkan pada 28 Mei 2025, 11:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulis muda perlu terus mengasah kemahiran berfikir agar dapat menghasilkan karya yang kritikal dan mempunyai nilai falsafah walaupun berhadapan dengan kecanggihan kecerdasan buatan (AI) yang dianggap sebagai alat bantu pada masa ini.

Demikian menurut pandangan ahli panel dalam Dialog Bersama-sama Penulis bertajuk “Kecerdasan Buatan dalam Karya Sastera: Terancamkah Penulis?” yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) Ahad lalu.

Menurut Farra Alliyah Faizul, seorang ilustrator muda, walaupun kecerdasan buatan tidak dinafikan kemampuan AI ketika ini mampu menghasilkan sebuah ilustrasi cantik dengan segera, tetapi teknologi tersebut tetap tidak mampu menandingi sentuhan jiwa pelukis sebenar.

“Sesebuah kreativiti yang lahir bukan datang daripada alat, tetapi sebenarnya cara kita menggunakan alat itu dengan bijak,” katanya.

Bagi Farra, teknologi AI tidak sewajarnya dianggap sebuah ancaman, sebaliknya melihat sebagai peluang untuk mencabar diri agar menjadi lebih kreatif dan membina identiti yang unik.

Perkara ini turut disokong oleh Salina Ibrahim, seorang penulis prolifik dalam dunia kesusasteraan bahawa tujuan melahirkan penulis muda adalah untuk mendidik mereka supaya berfikir secara kritis, membina ideologi dan menyelesaikan masalah. Melalui proses ini, mereka juga akan memperkukuh kemahiran berbahasa.

Namun, jika tugas tersebut diserahkan sepenuhnya kepada AI, maka nilai pembelajaran itu menjadi tidak bermakna.

Sementara itu, beliau mengimbau kembali kesukaran yang dihadapi oleh beliau menghasilkan karya sewaktu usia remaja, yang hanya bergantung kepada langganan surat khabar dan buku perpustakaan sebagai bahan bantu.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan cabaran terbesar sehingga kini ialah ketekalan dalam berkarya sambil mengimbangi tuntutan kehidupan dan kerjaya.

Pada masa yang sama, Salina turut memuji kemunculan penerbit baharu yang kini diterajui anak muda kerana berani menerbitkan semula karya-karya sasterawan negara dengan nafas yang lebih segar, termasuk dari segi reka bentuk kulit buku dan penambahbaikan isi kandungan.

Dalam pada itu, seorang lagi penulis prolifik tanah air, Lily Haslina Nasir menegaskan bahawa penggunaan AI yang keterlaluan dalam menulis boleh menyebabkan penulis menjadi malas dan membunuh kreativiti mereka.

Sebenarnya, ilham yang digerakkan melalui pemikiran, catatan, penyimpanan dan pematangan karya. Itulah kepuasan luar biasa walaupun penulisan zaman dulu memerlukan mental yang kuat.

Inilah rahsia karya-karya penulis dahulu kekal relevan, malar segar dan berkesan. Sebaliknya, karya yang dihasilkan dengan bantuan AI cenderung bersifat segera, mudah dilupakan dan kurang memberikan kesan mendalam kepada pembaca.

“Penulis muda yang sudah bergraduasi dari Minggu Penulis Ramaja (MPR) boleh menjadi pendamping kepada penulis generasi baharu, dengan berkumpul dan memperkasakan karya mereka, maka kita bersama-sama dapat mengekalkan semangat menulis,” ujarnya.

Selain itu, penulis muda, Ilya Alias berkata, penggunaan AI secara minimum ketika penulis mengalami writer’s block sememangnya membantu mengembangkan idea, namun kewujudan buku fizikal sebenarnya menyusun semula idea yang dilontarkan sekali gus mengekang penulis daripada mengalami masalah kebuntuan idea.

AI dianggap sebagai alat alternatif yang berguna, tetapi otak manusia yang sangat kompleks dan bersifat romantik menjadi kunci menghasilkan karya yang indah dan bermakna.

Berkongsi tentang latar belakang novel, Noari 8 hasil karya beliau yang baru dilancarkan, menekankan pentingnya menulis sesuatu yang dekat dengan hati para pengkarya muda.

Sebelum menulis dengan serius, kita perlu membaca dengan kerap kerana bahan bacaan akan memberikan percambahan idea dan memperkaya segala aspek berkaitan dengan penulisan.

Seorang penulis muda yang sedang berginjak naik, Amir Hadi Mahrizal turut berpandangan bahawa AI sebenarnya boleh menjadi platform sampingan untuk menilai karya dengan cepat serta memberikan cadangan penambahbaikan, berbanding dengan penilaian kebiasaan yang memerlukan maklum balas penulis berpengalaman secara bersemuka yang memakan masa.

Amir turut mengajak penulis muda untuk berani bereksperimen dalam gaya penulisan, mencipta karya yang moden dan kontemporari tanpa meninggalkan warisan karya terdahulu supaya pendekatan ini dapat menarik minat anak muda lain menghasilkan karya sastera yang lebih dekat dengan jiwa mereka.

Barisan ahli panel Dialog Bersama-sama Penulis bersama-sama dengan tetamu kenamaan yang hadir.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, YBrs. Puan Noriyani Yusoff, penulis-penulis muda, guru-guru dan para pelajar.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi