27 November 2024, 19:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus bergiat aktif dalam memartabatkan dan menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini dibuktikan dengan penerbitan karya kreatif dan bukan kreatif. Kelangsungan penerbitan ini bukan sahaja memeriahkan industri perbukuan malah turut menyemarakkan lagi dunia kesusasteraan tanah air.

Dalam konteks ini, DBP juga tidak melepaskan peluang dalam mendekati golongan remaja dengan menerbitkan karya novel remaja. Penerbitan novel remaja ini menunjukkan bahawa DBP sentiasa merapati golongan ini dengan “menghidangkan” bahan bacaan yang bermutu dan berkualiti buat tatapan mereka.

Terkini, DBP menerbitkan dua novel remaja bertajuk Buba nukilan Hamizun Syah dan Aku Bukan Anak Penjajah karya Noorfadzillah Omar. Menariknya, dua novel remaja ini merupakan karya sulung mereka.

Novel remaja, iaitu Buba ini mengisahkan kehidupan seorang remaja bernama Indra dan haiwan peliharaannya, iaitu kerbau yang bernama Buba. Dalam novel itu, Indra terpaksa berhadapan dengan penduduk kampung yang tidak menyukainya dan sering mengganggu hidupnya. Dalam menghadapi pelbagai kemelut tersebut, Indra mendapat semangat daripada Buba walaupun Buba hanyalah seekor haiwan.

 

Menurut penulis novel ini, iaitu Hamizun Syah, novel ini mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan. Ujarnya ketika ditemu ramah oleh JendelaDBP,

Sepanjang proses menghasilkan novel ini, saya telah dibimbing oleh sifu saya, iaitu Azmah Nordin. Beliau menggalakkan saya menulis novel remaja yang mempunyai kaitan dengan cerita rakyat Kedah. Beliau juga menyarankan agar saya mencari mana-mana tempat di Kedah yang boleh diangkat sebagai latar novel ini.

Hamizun Syah, penulis novel remaja berjudul Buba.

Novel remaja ini juga memiliki keunikannya yang tersendiri apabila menjadikan seni kraf ukiran sebagai “perencah” cerita. Hal ini diterjemahkan menerusi watak Indra yang merupakan seorang pengukir. Bakat ukiran yang ada dalam dirinya itu diwarisi daripada arwah bapanya.

Tentang latar tempat dalam novel ini, Hamizun mempunyai kisahnya yang tersendiri. Ujarnya,

Sebelum menulis novel ini, saya mengunjungi Gua Kerbau, Kodiang lantas menarik hati saya untuk menggunakan nama tempat itu dalam penulisan novel ini.

Selain itu, Hamizun juga menyatakan tentang asal usul nama Buba. Beliau mengatakan bahawa nama Buba terhasil daripada istilah Latin untuk haiwan kerbau, iaitu Bubalis. 

Beliau juga mempunyai hasrat untuk menyertai projek bengkel penulisan, sayembara sebanyak mungkin pada masa hadapan.

Sementara itu, novel Aku Bukan Anak Penjajah mengisahkan seorang remaja bernama Adam yang merupakan anak campuran British dan Melayu yang sering dihina dan dicaci oleh penduduk kampung. Untuk membuktikan bahawa Adam bukan anak penjajah, dia menyahut cabaran penduduk kampung dengan berjumpa Perdana Menteri Malaysia untuk mendapatkan tandatangan bagi membuktikan bahawa dia bukan anak penjajah.

Menurut penulis novel Aku Bukan Anak Penjajah, iaitu Noorfadzillah Omar, beliau mengambil masa menulis selama enam bulan. Ujar beliau ketika ditemu ramah oleh JendelaDBP,

Sepanjang proses penghasilan novel ini, saya dibimbing oleh Allahyarham Almiey yang banyak membantu saya menyiapkan novel ini. Beliau memberikan motivasi dan semangat tanpa putus asa kepada saya dalam menyiapkan novel ini.

Noorfadzilah Omar, penulis novel remaja Aku Bukan Anak Penjajah.

Noorfadzillah Omar turut mengatakan bahawa beliau menjalinkan kerjasama yang baik dengan DBP sepanjang proses penerbitan novel ini. Ujarnya,

Pada tahun 2022, Puan Noreena, pegawai DBP telah membawa manuskrip Aku Bukan Anak Penjajah dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian dan peringkat seterusnya untuk kelulusan penerbitan. Alhamdulillah, akhirnya novel ini berjaya diterbitkan.

Novel remaja ini mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana penerapan semangat cinta akan tanah air “mengalir” di sepanjang cerita. Hal ini diterjemahkan menerusi watak Adam yang mempunyai semangat patriotik dan ingin membuktikan bahawa dia merupakan anak “darah” Malaysia.

Selain itu, beliau juga merancang untuk menyiapkan beberapa manuskrip bergenre seram untuk tatapan pembaca.

________________________________________________

Pembaca boleh mendapatkan dua novel remaja ini melalui pembelian dalam talian menerusi laman web DBPNiaga dan di Kedai Buku DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.