Diterbitkan pada 26 Oktober 2024, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hadi M. Nor berbicara tentang novel terbaharu Wan Nor Azriq, Tikus. Novel ini menyentuh suasana hatinya lantas membuatkan beliau ingin berkongsi perasaannya dengan pencinta sastera Malaysia.

Saya selalu terjun ke dalam novel Azriq tanpa mengetahui sinopsisnya. Saya mencari prosa yang kemas, tuntas dan lancar mengalir macam air dan setakat ini saya tidak pernah dikecewakan.

Novel terbaharu Wan Nor Azriq yang bertajuk Tikus seolah-olah ditulis oleh pengarang yang lebih muda daripada pengarang yang mengkaryakan novel “D.U.B.L.I.N.” Tikus lebih kotor, lebih imaginatif dan lebih kasar dalam mengendalikan persoalan eksistensial.

Boleh dikatakan karya ini ialah karyanya yang paling eksperimental kerana ini kali pertama dalam novel Azriq, sebahagian besar naratifnya terutamanya bahagian awal, agak konvensional. Senang untuk menceritakan tentang Tikus berbanding dengan novelnya yang lain seperti D.U.B.L.I.N. atau Boneka Rusia Guido kerana plot dan perkembangan wataknya jelas.

Novel ini berlatarbelakangkan kejayaan Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan Malaysia yang masih berada di bawah jajahan empayar tersebut. Walaupun negara maju, tetapi rakyat jelata tetap ditindas. Ini zaman wujudnya teksi swapandu tetapi orang awam di bawah pengawasan robot-robot tarantula.

Ceritanya bermula dengan watak utama, iaitu Nasir, pekerja di syarikat bank yang dipecat secara tiba-tiba. Maka bermulalah kemerosotan jasmani dan rohani Nasir. Pada suatu malam, selepas digigit oleh seekor tikus, perlahan-lahan dia bertukar menjadi manusia separuh tikus.

Saya cukup suka petikan berikut ketika deria Nasir terangsang. Di sini perubahannya menjadi tikus baru bermula:

Dia terhidu bau berus gigi Ameera di tepi sinki.

Dia terhidu bau tuala yang tergantung di dalam bilik.

Dia terhidu bau syampu pada permukaan lembut tilam.

Dia terhidu bau rumput kering pada tayar basikal.

Dia terhidu bau helai rambut dan sisa kuku di dalam saluran paip.

Dia terhidu bau busuk yang amat di dalam bilik stor.

Perut Nasir mula meloya.

Dirinya sebagai manusia dan dirinya sebagai tikus bercanggah di sini dan Nasir masih sedang melawan takdir, dan dia gagal.

Dia terpaksa meninggalkan kehidupannya termasuklah isteri tercintanya, Ameera, seorang yang penyayang walaupun selalu berleter dan anaknya, Mishima.

Apabila melihat filem hantu, kita menantikan “jumpscare”. Bagi novel-novel Azriq pula, saya menanti keganasan yang muncul secara tiba-tiba macam adegan dalam novel Soneta Roda Basikal, iaitu babak ketika si pencerita cuba menolak kawannya keluar dari bas yang sedang bergerak dengan niat untuk membunuh.

Dalam Tikus, keganasan itu muncul dalam bentuk kemalangan jalan raya, iaitu ketika sebuah bas “menghempap” seorang penunggang motosikal. Adegan ini merupakan pembuka selera ngeri yang menyusul dalam halaman seterusnya.

Berikut ialah petikan ketika Nasir mula merasai perubahan dalam dirinya. Imejnya mengilukan:

Pada puncak malam kesakitan yang amat pedih akan menyerang kuku serta isi tangan dan kakinya.

Ia seolah ada orang telah memaku kaki dan tangannya pada batang pokok, dan perlahan-lahan kukunya ditarik oleh tali yang diikat pada leher seekor seladang.

Kengerian yang melanda Nasir bukan hanya terhadap pertukaran paras rupanya. Cerita ini lebih daripada sebuah fiksyen body horror. Nasir juga dihantui seekor lembaga yang jijik.

Lembaga itu sedang bersemayam, sambil tergantung di udara, pada kerusi takhta yang terdiri daripada gumpalam beratus ekor yang masih bernyawa dan berdecit-decit.

Saya selalu terjun ke dalam novel Azriq tanpa mengetahui sinopsisnya. Saya mencari prosa yang kemas, tuntas dan lancar mengalir macam air dan setakat ini saya tidak pernah dikecewakan.

Bulan telah tenggelam, dan langit makin jauh mengawang.

Ayat yang nampak mudah tetapi mendalam begini ibarat suntikan morfin bagi saya.

Saya paling suka apabila Azriq melukiskan suasana dan saya pasti hal ini juga merupakan kegemarannya apabila menulis (paling jelas dalam buku 86).

Bab 10 novel ini saya ulang baca banyak kali. Bab ini ibarat vignet. Kita dibawa untuk mengikuti pelbagai watak dan orang dalam dunia ini serta menyaksikan suasana dua dunia – cyberpunk di bandar atas permukaan bumi dan “longkangpunk” di dunia bawah tanah.

Novel The Rats oleh James Herbert muncul dalam bab ini dalam bentuk filem (novel klasik ini pernah juga disebut dalam novel Di Kala Bulan Bermain Biola). Bab ini tamat dengan cerita-dalam-cerita tentang peperangan yang melibatkan praja Sardath (yang pernah disebut dalam cerpen “Amanah Profesor Roolvink” yang dibukukan dalam buku koleksi cerpen Mana Dadu Darjeeling?).

Alang-alang berbincang tentang easter eggs, ini lagi satu: Nasir juga bertemu dengan seorang penari yang ada tatu peta Pekan Lama (dari novel Di Kala Bulan Bermain Biola) pada lehernya.

Azriq sudah menunjukkan kepakarannya menangkap sesebuah suasana awal lagi dalam novel ini. Saat Nasir hilang kerjanya:

Kak Eriko menunduk rapat pada kertas projek TERAJU.

Aina bermain telefon, dia baru dua bulan bekerja.

Doktor Bong mendengar seminar kredit karbon.

Tukang cuci Indonesia menolak troli dan bakul sampah.

Abang Sheikh dari admin tengah memanjat tangga menukar lampu.

Josephine berbual rancak dengan klien di telefon.

Takashi sedang rungsing [sic] menyemak slides Dato’ Dominique.

Kalau dia pergi sekarang tiada siapa akan perasan.

Walaupun melalui novel ini dia memperluaskan dunia yang sedia tercipta dalam buku-bukunya yang lepas, seorang novelis macam Azriq tidak akan mengangkat pen kalau tidak mahu mencuba sesuatu yang baru.

Bentuk novel ini unik – setiap ayat disusun sebagai satu perenggan. Kesannya, menyerupai bentuk puisi.

Watak utama kita juga bukan seorang penyendiri seperti kebanyakan watak novel Azriq (macam watak utama Soneta Roda Basikal yang lebih rela berkurung dalam bilik membaca buku-buku Marcel Proust). Nasir ialah seorang yang agak normal. Dia seorang ayah dan suami yang penyayang. Dia berwawasan. Dia mahir tentang ekonomi, perbankan, projeksi dan merupakan seorang pekerja yang baik.

Tikus kaya dengan watak yang bermacam jenis – manusia dan mutan. Watak-wataknya pula kaya dengan emosi, cerita dan personaliti.

Yang menjadi kegemaran saya ialah Yuri, adik Nasir yang petah lidah dan lebih senang berbahasa Inggeris. Dia lebih berani dan selamba daripada Nasir.

Walaupun kita banyak mengikuti Nasir, keluarganya dan kawan-kawan yang hidup di bawah tanah, satu lagi watak yang mendapat fokus ialah Dato’ Dominique, iaitu majikan Nasir. Dalam bab 14, kita menerokai hidup, sejarah dan mimpinya secara mendalam dan mendapati bahawa si penindas juga ditindas.

Apabila kita meninggalkan watak-watak utama, kita nampak bahawa dunia Tikus ialah dunia yang marah dan meruap. Ekonomi tidak baik, harga telur naik, dan berbagai lagi masalah melanda orang biasa. Maka rusuhan meletus.

Fanatik agama menyembelih binatang-binatang robotik.

Bangkai digantung pada tiang lampu dan pintu rumah ibadah.

Seperti semua fiksyen spekulatif, Tikus sebenarnya jauh sejengkal sahaja dari realiti dan karya ini menurut saya ialah kisah yang memberi peringatan. Dunia memang tidak menentu. Bila-bila masa sahaja kita boleh hilang segalanya seperti kerja, keluarga dan harta benda.

Kalau berlaku, kita akan mempersoalkan takdir, sistem dan macam-macam lagi. Jawapan untuk semuanya tidak akan sampai. Sebagai manusia, kita kena menerima sahaja ketidaktentuan duniawi, yang penting ialah kemanusiaan kita.

Kita hanya boleh berharap bahawa jiwa kita cukup kental untuk berjuang demi melindunginya kerana tiada sesiapa yang selamat daripada dicakar dan digigit musibah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi