Diterbitkan pada 25 September 2024, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Stefanie Kaso membaca sajak Faiqah bertajuk “Takdir dalam Sebuah Kamar” yang termuat dalam majalah Tunas Cipta Bil. 10/2024 (Oktober) dan seterusnya cuba “menetap” di dalam kamar tersebut sambil merasai apa-apa yang Faiqah rasai.

Tunas Cipta Bil. 10 (Oktober)

Sajak kamar Faiqah bernada melankolik, sama kemenjadiannya dengan sajak melankolik lain yang baik di luar sana.

Sajak ialah keajaiban dunia yang tidak mungkin ada seorang pun yang benar-benar mampu menerokanya sehingga tuntas dan jauh sekali mempunyai jawapan yang muktamad kerana sifatnya seperti air – tidak pernah putus serta menurut acuan si empunya yang menulis sajak.

Bulat acuannya, maka bulatlah sajak itu. Leper acuannya, maka leperlah ia. Tetapi merenung ke dalam sajak merupakan hal yang berbeza, seolah-olah merenung ke dalam sebuah tasik atau lautan.

Apa yang kau lihat pada permukaan riak air, ternyata berbeza dengan isi di dalamnya.

Majalah Tunas Cipta keluaran Oktober 2024 menyiarkan sebuah sajak yang bertajuk “Takdir dalam Sebuah Kamar”, nukilan Faiqah dari Kuching, Sarawak. Bukan kerana nama ini saya kenali secara peribadi atau kerana Faiqah sedang mengacukan senjata di kepala saya membuatkan saya mengambil keputusan begini; melainkan kerana perkataan “kamar” ini menarik perhatian saya.

Kenapa Faiqah tidak memilih ruang lain dalam rumahnya? Ruang tamu mungkin? Dapur? Atau kebun di belakang rumahnya? Adakah penulis terikut-ikut dengan penyair lain yang juga menggunakan kamar sebagai citra dalam sajak mereka seperti sajak “Sebuah Kamar” (Chairil Anwar), “Di Jendela Kamar” (Karim Mohd) atau “Aku Ingin Istirahat” (M. Aan Mansyur)?

Apa pun yang mendorong keputusan Faiqah ketika menulis sajak ini, hal itu tidak salah sama sekali. Faiqah ada resepinya sendiri. Mungkin resepi yang lebih enak daripada resepi yang disimpan dalam Facebook. Sama dengan keputusan Chairil Anwar, Karim Mohd mahupun M. Aan Mansyur yang menggunakan citra yang sama.

Meski menggunakan citra yang sama, tetapi perasaan dan buah fikiran yang cuba disampaikan sudah tentulah berbeza.

Para pembaca sedia maklum bahawa kamar merujuk kepada bilik tidur. Tempat saya dan kalian berehat selepas seharian penat bekerja. Kamar ialah ruang yang paling banyak bersentuhan dengan kita secara fizikal. Tilam tempat berbaring, bantal tempat merehatkan kepala dan selimut untuk menghangatkan.

Seluruh badan kita bersentuhan dengan apa-apa yang ada di dalam sebuah kamar dan berbeza dengan ruang bilik yang lain.

Kamar ialah ruang paling peribadi dan mungkin suci bagi sesetengah orang. Siapa sahaja di dunia ini yang mahu menunjukkan ruang kamarnya kepada orang lain, kalau kamar itu bukan kamar baharu yang dipenuhi dengan perabot import? Tiada.

Kita bahkan berasa malu mahu menunjukkan jenis cadar yang kita gunakan, bantal atau selimut bercorak bunga nenek-nenek di dalam kamar kita kepada orang lain.

Kamar dalam sajak Faiqah ialah perlambangan kepada sesuatu yang sangat peribadi, iaitu hati yang setiap daripada kita punya satu, tetapi mahu menjaganya, ya ampun, sungguh susah.

Nah, kerana kita sudah masuk sedikit ke dalam kamar Faiqah, mari kita cuba-cuba duduk di atas katilnya dan memahami apa yang dia rasakan ketika menulis sajak ini. Sudah tentu, galau hatinya!

“segenggam nasib menompok di bantal, kusam
menguning jadi benturan mimpi malam”

Pada rangkap pertama, saya dan kalian ditolak masuk ke dalam kemelut yang mengganggu Faiqah, yang juga telah lama membelenggunya memandangkan ia sudah “menompok” dan “menguning” (dengan tidak mengambil kira Faiqah mungkin mempunyai sebuah bantal busuk), selalu dikenang-kenang setiap malam dan mengacau hatinya.

“sekudung hangat pada tilam, lusuh
memeluk dura pada luka seorang perempuan

Sebidang sepi terhampar di cadar, kusut
bergumal dalam gumpalan resah”

Pada kedua-dua rangkap, kemelut yang membelenggu Faiqah hanya ditanggungnya sendiri, bukannya semakin membaik bahkan membuatkan dirinya semakin resah.

Pada rangkap keempat hingga keenam, terbit pula monolog. Tetapi saya lebih suka menyimpulkan dalam keadaan ini; Faiqah sedang membuat refleksi tentang kehidupannya yang dicemari belenggu itu.

Faiqah dengan bijak menggunakan “temaram lampu”, yang menurut saya memberikan perlambangan kepada secercah harapan; tidak terlalu cerah, tidak pula suram, tetapi ada – sebagai lawan untuk menjawab pertanyaannya.

“sebesar apakah
masalah yang kautanggung?”

       katanya: sebesar kesal
            yang kugantung pada punggung pintu
            sebuah pilihan.

soal temaram lampu kamar lagi:
         “Lebih besarkah daripada Tuhan yang mengabulkan?”

Melalui refleksi yang dilalui Faiqah, dia menyedari bahawa selama ini dia terlalu tertumpu kepada masalah yang dihadapi sehingga lupa bahawa selama ini ada keinginan dipenuhi atau kebaikan yang telah dibawakan oleh Tuhan dalam hidupnya.

Seperti manusia lain, Faiqah tidak terlepas daripada terlalu memikirkan hal-hal yang negatif dalam hidup, sedangkan banyak ruang dalam hidup dan beberapa keinginan telah termakbul, atau sekurang-kurangnya masih sihat walafiat, dan sempurna daripada segala segi.

Sajak kamar Faiqah bernada melankolik, sama kemenjadiannya dengan sajak melankolik lain yang baik di luar sana. Faiqah menggunakan gaya bahasa yang mudah, menembungkan abstrak dan konkrit seperti “segenggam nasib”, “sekudung hangat”, “sebidang sepi” dan “punggung pintu”.

Sajak ini juga tidak polos kerana telah diselindungkan oleh perlambangan yang dipilih olehnya, namun tidak juga sukar untuk difahami, memandangkan dalam sajak, ditinggalkan jejak-jejak roti galau dengan penggunaan kata “dura“. Di hujung baris setiap rangkap, saya tidak menemui rima yang sama, tetapi tidak mengapa kerana sajak ini bentuknya bebas.

Kembali kepada citra yang digunakan oleh Faiqah. Saya tidak mempunyai masalah dengan kamar sebagai citra pilihan Faiqah, tetapi bukankah lagi molek jika diteroka citra lain yang juga dekat dengan kita? Seperti ruang dalam rumah yang saya sebutkan sebentar tadi, iaitu ruang tamu, dapur dan kebun belakang rumah.

Jika digunakan citra atau perlambangan lain untuk menyampaikan kegalauan hati, mungkin menjadi lebih segar dan menarik. Bayangkan jika Faiqah mengaitkan kegalauan hati dengan kebun di belakang rumahnya? Bukankah sedikit berbeza daripada apa-apa yang sering penyair lain gunakan seperti kamar?

Atau gambarkan kegalauan hati menggunakan dapur Faiqah dengan menggunakan kegagalan menyamai resepi yang dijumpai di Facebook. Semua tempat, benda atau perasaan boleh disatukan menggunakan imej yang paling aneh sekali pun. Itulah keajaiban sajak, menurut saya.

Namun, saya ingin memuji persoalan yang Faiqah timbulkan pada akhir rangkap. Meski sajak ini seperti ditulis sebagai mewakili kegalauan hati seseorang, persoalan yang dibawakan menempati semua saiz kasut orang di dunia ini.

Bersyukur ialah perkara yang besar dan harus dimiliki oleh semua orang. Dengan bersyukur, galau yang ditemui di kamar saya, kalian dan juga Faiqah; sudah tentu ada peluang untuk beransur sembuh.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi