Diterbitkan pada 21 September 2024, 00:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Tinggi – Penulis muda perlu mencontohi penulis silam dalam perjalanan kepengarangan agar karya yang dihasilkan mendapat tempat dalam ranah sastera.

Hal ini dikatakan demikian kerana penyair silam mengambil serius terhadap langkah pemeraman karya, tidak tergesa-gesa atau gopoh untuk menghantar karya.

“Sikap yang rapi ini menjadi suatu kualiti dalam penghasilan karya penulis-penulis besar,” ujar Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari dalam Sesi Bersama-sama Tokoh bersempena dengan Program Minggu Penulis Remaja 2024 yang bertempat di Institut Latihan Perumahan Tempatan dan Kerajaan Tempatan, Bukit Tinggi, Pahang.

Ujar beliau lagi, dalam mendepani zaman digital dan kemajuan media sosial, penulis muda diingatkan agar tidak terbuai dengan ucapan “tahniah” daripada pembaca, sebaliknya perlu berani menghadapi kritikan terhadap karya yang dihasilkan.

Ucapan tahniah bukan gambaran karya yang baik, melainkan sebuah perbuatan meraikan keberanian dan penerbitan karya, sedangkan seorang penulis yang boleh membangun dalam kerjaya penulisan ialah orang yang boleh menerima teguran, sepahit apa pun teguran itu.

SN Dato’ Rahman Shaari bergambar kenang-kenangan bersama-sama perserta Program MPR 2024.

Mengulas lanjut hal ini, beliau menyebutkan, keberhasilan dan ketekalan penulis silam adalah disebabkan oleh sifat reda terhadap kritikan.

Penulis silam mempunyai kesedaran bahawa kritikan ialah sebuah pandangan atau ulasan yang rapi, bersandarkan ilmu, bukan hujah emosi atau peribadi.

Bercakap tentang penghasilan karya yang bermutu, beliau menegaskan agar penulis muda tidak mengambil sikap tergesa-gesa dan gopoh menghantar karya untuk diterbitkan.

“Penulis silam mengambil sikap serius terhadap langkah pemeraman karya, dan sikap inilah menjadi kualiti penghasilan karya-karya bermutu oleh penulis-penulis besar,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, penulis muda perlu mempelajari dan mengkaji kecenderungan editor untuk mendapat tempat dalam ruangan penyiaran.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa pembinaan identiti merupakan antara ciri penting seorang penulis.

“Seorang penulis perlu menjaga tiga perkara –  seni, pemikiran dan identiti, sepertimana seni dan pemikiran, identiti kepada seseorang penulis adalah hal yang penting.”

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi