Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – “Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) 2024 anjuran PEMUISI, DBP dan Kumpulan Media Karangkraf ini telah menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia yang ke-61,” demikian ucap Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam.
Program anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kumpulan Media Karangkraf ini satu daripada inisiatif dalam mengekalkan sastera di Malaysia agar tidak hilang dan ditelan zaman.
Jelas beliau, sastera termasuklah genre puisi telah diterima sebagai komponen penting untuk mengimbangi tuntutan fizikal dan nilai insani dalam sesebuah masyarakat.
Oleh sebab itu, memberikan pengiktirafan dan memartabatkan karya sastera seolah-olah menjadi serampang dua mata iaitu untuk memberikan manfaat kepada pengkarya dan juga menghebahkan kepada khalayak umum agar mengikuti, memahami serta melahirkan minat terhadap karya tersebut,
Demikian antara inti pati yang diucapkan oleh TYT YDP Melaka ketika merasmikan SDPAHM Peringkat Kebangsaan kali ke-5 semalam.
Tambah beliau lagi, kepentingan sastera dapat dilihat apabila pihak kerajaan telah memasukkannya dalam dimensi intelektual yang melibatkan peranan kesusasteraan untuk membentuk modal insan.
“Karya sastera sangat penting kepada pembangunan modal insan dalam melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan intelektual,” ujar beliau dengan lebih lanjut.
Menyentuh tentang penganjuran SDPHM, Beliau yakin dan percaya kaedah penganjuran dalam SDPHM ini telah dikaji dengan teliti oleh mereka yang arif dengan kriteria yang ditentukan dan hasilnya terbentuklah keputusan yang jitu yang dirumuskan sebagai syarat-syarat pertandingan mengikut acuan PEMUISI.
Dalam SDPAHM yang berlangsung semalam, Anugerah Platinum berjaya digondol peserta dari Selangor, Ahmad Saidun Mohamad Mokhtar, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2000 berserta trofi.
Sementara itu, Anugerah Emas dimenangi oleh Nor Atiekah Hidayah Hussain, manakala Anugerah Perak pula menjadi milik Dr. Zainatul Abdull Rahman.