3 Ogos 2024, 23:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perak – Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) Ke-8 kembali mewarnai dunia sastera tanah air dengan memberikan pengiktirafan terhadap karya yang bermutu dan tokoh yang telah banyak memberikan sumbangan dalam arena kesusasteraan.

Pada kali ini, Salina Ibrahim, penulis versatil yang menulis dalam pelbagai genre telah menerima Anugerah Pejuang Sastera.

Salina Ibrahim yang juga merupakan Munsyi Sastera DBP telah berkecimpung dalam dunia penulisan hampir 37 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, beliau menulis dalam pelbagai genre termasuklah esei, puisi, cerpen dan novel.

Panel HDSR menyifatkan bahawa kegigihan dan kecekalan beliau dalam meneruskan kepengarangannya sejak usia remaja sehingga sekarang serta pelbagai pengiktirafan yang telah diterimanya membuktikan keberhasilan bakatnya dalam menghasilkan karya yang bermutu.

Selain menulis karya kreatif, beliau juga aktif dalam membina dan melatih generasi muda dalam meminati kesusasteraan. Hal tersebut boleh dilihat apabila beliau sering memberikan bengkel, ceramah dan forum dalam mengembangkan bakat penulis baharu.

Terkini, beliau terlibat dengan aktif dalam usaha membina bakat kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun menjadi penulis “masa depan” sastera kebangsaan.

Atas segala usahanya ini, maka Salina Ibrahim telah membuktikan bahawa beliau layak menerima Anugerah Pejuang Sastera 2024.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menerima Hadiah Kategori B (Karya Perseorangan – Eceran) menerusi cerpennya yang berjudul “Ruang”.

Penulis yang mengabadikan sepenuh masanya dalam bidang penulisan kreatif ini juga turut berkongsi perasaannya apabila kegigihan dan kecekalannya berjaya mendapat tempat di hati panel penilai. Kongsinya,

Syukur kepada Tuhan kerana saya mampu peroleh pengiktirafan ini. Terima kasih seadanya. Bagaimanapun, saya beranggapan, pastilah anugerah ini datangnya dengan tanggungjawab yang besar juga.

Kesiapsiagaan beliau tanpa berbelah bahagi dalam berkongsi pengalaman dan membimbing bakat baharu, sama ada secara mandiri mahupun dengan kerjasama dengan pelbagai pihak telah dapat menyediakan kelompok penulis generasi baharu yang berpotensi.

Ketika ditanya oleh wartawan Tunas Cipta, tentang harapan beliau untuk dunia sastera pada masa ini, terutamanya terhadap kelahiran penulis muda, beliau dengan tenang berkata,

Penulis muda akan terus lahir. Tetapi, sejauh mana mereka akan dapat bertahan lama, itu bergantung pada kekuatan mereka juga. Kalau mereka bercita-cita tinggi, saya yakin mereka pasti akan berusaha dan berjaya.

Majlis HSDR yang telah diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, pada petang tadi telah berlangsung dengan jayanya dan telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, YB Khairudin Abu Hanipah, mewakili YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YBhg. Dato’ Seri Saarani Mohamad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.