18 Julai 2024, 12:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ikuti wawancara Naim al-Kalantani bersama-sama Adieka Zainal dan Amir Muhammad tentang hikayat lama yang sudah berusia ratusan tahun lamanya, Hikayat Raja Babi!

Bukan satu proses yang mudah untuk menterjemahkan karya klasik ke arena pentas teater. Tetapi perkara ini bukan satu hal yang mustahil. Lagi pula, alih wahana Hikayat Raja Babi ini tidak pernah dilakukan sebelum ini dan Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mencabar diri sendiri untuk mementaskan novel epik karya Usup Abdul Kadir bagi keperluan Prosamania.

Novel yang sekian lama “tersadai” di Perpustakaan British ini mula dikenali dengan meluas apabila penerbit buku Fixi mula mengalih aksara manuskrip jawi kepada rumi pada tahun 2015 lalu.

Bagi menghangatkan suasana pementasan yang bakal menemui penonton pada 19 dan 20 Julai 2024 nanti, Tunas Cipta sempat mewawancara Timbalan Dekan Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif ASWARA, Encik Adieka Zainal bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai pementasan dan teks hikayat klasik ini.

***

TC: Boleh ceritakan sedikit mengenai Prosamania?

Adieka: Prosamania merupakan satu daripada program eksklusif Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif ASWARA yang telah kita jenamakan dari tahun 2017 hingga kini. Selalunya, idea tentang naskhah yang diangkat, mesti atau cuba memaparkan “kelainan” yang “mungkin” tidak atau belum dipamerkan di pusat pengajian atau fakulti yang lain.

Pada tahun ini, Prosamania dijenamakan sebagai Prosamania Pesta Malam Amarta. Amarta mewakili kumpulan angkatan pelajar Asasi Seni Kreatif 2023/2024 yang mengadakan persembahan berbentuk kolektif dan gabungan. Projek ini tentang “mencipta” sesuatu yang luar daripada kebiasaan dan tidak tertakluk pada satu-satu isu atau perkara sahaja. Kita perlukan cabaran dan kelainan.

TC: Kenapa pada kali ini memilih novel Hikayat Raja Babi untuk dipentaskan?

Adieka: Naskhah ini bukan naskhah yang “berdosa”. Tahun lepas, pelajar Asasi angkatan 2022/2024, sudah “menterjemah kembali” kisah Mahsuri dan permainan kuda kepang dalam Prosamania Veru Senja.

Jadi pada tahun ini, kita cuba untuk meneroka ruang teks hikayat yang belum dipindahkan dalam bentuk pementasan. Ini merupakan kali pertama kumpulan pelajar Asasi bermain dengan teks pentas berbentuk hikayat asli, sebelum ini kebanyakannya bersifat fiksyen dan moden. Sebelum ini kita sudah ada, Hikayat Awang Sulung Merah Muda yang dipersembahkan pada tahun 2015 dan tahun 2023. Kemudian ada pementasan Hikayat Cendawan Putih, juga dipentaskan di ASWARA.

Naskhah Hikayat Raja Babi ini memang luar biasa dan mencabar. Cabaran itulah yang kita perlu tangani bersama-sama pelajar untuk tengok sejauh mana naskhah ini boleh disampaikan dengan cara yang mudah. Pementasan ini juga bertujuan untuk memperkenalkan hikayat ini pada khalayak dan sebagai “kejutan” kerana masih ada lagi cerita yang belum diketahui orang atau dibaca. Sudah tentu kami juga tertarik dengan penafian (disclaimer) daripada Fixi dalam novel tersebut dan kami mahu menjadi kumpulan pertama yang bermain dengan cerita ini dalam bentuk persembahan pentas!

TC: Perkataan “babi” agak tabu dalam masyarakat kita, bagaimana pihak Asasi ASWARA hendak berhadapan dengan isu ini?

Adieka: Pada mulanya memang ada yang terkejut, tetapi kita nak bekerja dengan teks hikayat. Kita fokus pada isu atau pokok cerita—mengisahkan tentang sumpahan, dendam dan amarah, kemudian perjalanan dan pengembaraan. Ya, memang babi agak tabu dalam masyarakat, tetapi kita yang perlu mahir untuk menangani perkara ini. Kita bukan mempopularkan “babi” tetapi “hikayat”.

Di awal proses kita nak adaptasi, kita nak pindahkan watak utama iaitu Raja Babi ke dalam bentuk lain. Tapi bila difikirkan, sampai bila kita nak “lari’” daripada hal sebenar? Cerita ini usianya sudah ratusan tahun. Kita perlu ambil bahagian dengan memindahkan teks ini ke bentuk visual (persembahan), dan pastinya akan ada yang bertanya, “Hey! Mereka bawa cerita babilah!” Tugas kitalah untuk membina kesedaran. Babi dalam konteks ini adalah tentang sumpahan dan pengembaraan.

Kita sebenarnya bersedia menghadapi risiko. Tapi apa pun tetap berbalik pada tujuan utama—cerita adalah cerita. Ceritanya perlu dilihat dari sudut pandang yang baik. Jika dilihat baik, maka baiklah ia. Jika dilihat jahat, maka jahatlah ia.

TC: Bagaimana proses adaptasi daripada novel ke skrip drama pentas?

Adieka: Bagi menjimatkan masa dan memastikan proses adaptasi ke pentas teater dapat dijalankan dengan baik, skrip ini dipindahkan oleh saya dengan dibantu kumpulan pembimbing Prosamania yang terdiri daripada kalangan pelajar sendiri. Sungguhpun demikian, skrip ini juga kita ada beberapa sesi pemurnian dari segi plot dan perbincangan bersama-sama pelajar ketika proses latihan dan persiapan. Ya, ceritanya panjang, berjela-jela dan penuh perincian. Cuma bila kita pindahkan, kita memilih peristiwa yang boleh kita manipulasi dari pelbagai sudut.

TC: Apa kesukaran nak mengadaptasi atau mementaskan naskhah ini?

Adieka: Memendekkan cerita. Ceritanya panjang. Agak rumit untuk menjadikan pementasan ini sebagai sebuah persembahan yang kurang dari tempoh satu jam tiga puluh minit. Harus diingat, Prosamania merupakan persembahan kolektif dari pelbagai disiplin persembahan. Di dalamnya, ada lagi beberapa segmen persembahan, cuma Hikayat Raja Babi ini menjadi “menu utama”.

TC: Dalam makluman para pembaca yang sudah menekur karya ini, naskhah ini banyak fantasi, ada magik dan magisnya. Adakah elemen ini akan dijadikan unsur tasmat atau dibuang, atau bagaimana?

Adieka: Hahaha! Saya memang menunggu soalan ini. Inilah sebenarnya cabaran utama kami. Untuk skala Prosamania, ya, babak seperti itu mungkin ada, mungkin tiada. Atau ada cara lain yang lebih subjektif. Cuma jika ditanya bagaimana “rupa” persembahan itu nanti, anggaplah saja ia sebuah persembahan ensemble play. Sebab apa, sebab kita perlu adil pada pelajar yang mungkin ada di antara mereka yang pertama kali bermain dengan naskhah seperti ini. Jadi kami perlu menelusuri dari setiap sudut serta membuat perbandingan dengan persembahan Prosamania yang telah berlangsung dari tahun ke tahun.

Prosamania adalah hasil eksplorasi pelajar dan ditunjukkan dalam bentuk persembahan akhir. Tidak kisah akan kemenjadiannya, tetapi objektifnya adalah mempamerkan bakat seni pelajar melalui satu medium persembahan.

TC: Berapa lamakah pelajar-pelajar ini mengambil masa untuk berlatih bagi pementasan ini? Mungkin saudara boleh ceritakan sedikit prosesnya.

Adieka: Sepanjang semester 3, 2023/2024 (April hingga Julai 2024) sudah bermula, kita dah bekerja dengan novel dan skrip. Pemindahan berlaku dalam tempoh dua bulan (April–Mei), kemudian siri latihan berlangsung sepanjang Mei hingga Julai.

TC: Mungkin ada hal lain yang menarik saudara ingin kongsikan lagi berkenaan pementasan julung-julung kali novel Hikayat Raja Babi ini?

Hikayat Raja Babi masih dalam perjalanan try and error. Mungkin bukan yang terbaik, tetapi pementasan ini bergerak sebagai satu “permulaan”. Seperti slogan Asasi, “Kalau bukan kita, siapa? Kalau bukan sekarang, bila?”

Tetapi kumpulan Prosamania ini cuba untuk mengusahakan sesuatu. Objektifnya adalah untuk memperkenalkan hikayat pada khalayak dengan cara paling mudah—dalam konteks ini melalui visual—dan juga untuk mempamerkan bakat mereka setelah selesai pengajian setahun di peringkat Asasi sebelum ke pengajian Ijazah Sarjana Muda nanti.

Apa pun keadaannya, saya merasakan kumpulan pelajar ini sangat komited dan bersungguh-sungguh dalam mengerjakan naskhah ini. Walaupun pada awalnya agak sukar untuk mereka faham dari segi penceritaan—sebab laras/gaya bahasa klasik—tapi bila kita sudah mula prosesnya, lama kelamaan kefahaman itu datang dengan sendirinya. Mereka mula selesa dan faham untuk bekerja dengan naskhah yang bercorak seperti ini.

***

Untuk pengetahuan pembaca di luar sana, hikayat ini ditulis pada tahun 1775 dan pada tahun 2024 ini barulah kita dapat lihat dalam bentuk persembahan pentas walaupun telah dipindahkan dalam bentuk terjemahan rumi dan buku cerita.

Perjalanan penerbitan novel ini sangat menarik. Pada tahun 2015, Fixi mengumumkan terdapat satu naskhah epik yang dijumpai mereka di dalam arkib Perpustakaan British. Fixi membuka lowongan kepada orang awam dengan cara merumikan beberapa halaman awal sebagai ujian untuk merumikan projek ini.

Tidak lama kemudian, Arsyad Pendang—yang tidak lagi asing dalam proses perumian jawi—mengirim teks rumi hampir 80 peratus daripada keseluruhan novel tersebut. Maka dengan kesungguhan itu, Arsyad dipilih untuk meneruskan projek tersebut, lalu novel itu terbit pada April 2015.

Untuk menambah lagi kehangatan pementasan yang bakal menemui penonton tidak lama lagi, Tunas Cipta juga sempat menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Fixi, Amir Muhammad untuk mengetahui serba sedikit mengenai pandangan awal beliau.

TC:⁠ Adieka Zainal menyahut seruan penafian dalam Hikayat Raja Babi. Saya petik, “⁠Sebagai naskah ‘public domain’, tiada kebenaran atau royalti diperlukan untuk anda mencetak, menjual, menterjemah ke dalam bahasa lain, atau dialih ke media lain (contohnya,  diadaptasi menjadi muzikal di Istana Budaya).”

Kenapa menulis penafian tersebut dalam skop “muzikal” dan “teater”? Adakah saudara secara peribadinya mempunyai apa-apa harapan terhadap “hayat” novel ini untuk ke pentas? Dan kenapa bukan mengharapkannya divisualkan sebagai sebuah filem misalnya?

Amir: Sebab saya sendiri sudah jarang sangat menonton muzikal di Istana Budaya. Kali terakhir mungkin yang tentang Lat, zaman (Perdana Menteri) Najib Razak lagi. Jadi mungkin secara separa sedar saya ingin kembalikan rasa berahi untuk jejak semula ke sana.

TC:⁠ ⁠Setahu saya tak pernah lagi orang pentaskan Buku Fixi. Ini mungkin kali pertama. Betulkan kalau saya silap. Adakah dengan sambutan atau pementasan ini, Fixi akan terus merumikan karya-karya hikayat epik seperti ini?

Amir: Pernah ada adaptasi daripada buku Antologi Cerpen KLCC di Stor Teater DBP sebagai Gadis dan Dua Menara (2013). Tapi entah kenapa, kurang kelakar hasilnya. Ya, kami akan teruskan misi merumikan karya lama, tapi tak boleh terlalu kerap sebab ini bukanlah aktiviti utama kami.

TC:⁠ ⁠Apa harapan yang diharapkan untuk pementasan ini dan mungkin ada babak yang menjadi penantian untuk tontonan nanti?

Amir: Diharapkan elemen “kebinatangan” itu timbul dengan menggerunkan tapi comel. Selain adegan perang yang pastinya menantang dengan skala kecil, ada juga beberapa pantun mencuit yang harapnya dikekalkan.

***

Selepas daripada perumian Hikayat Raja Babi pada 2015, Fixi tidak berdiam diri dengan naskhah tersebut. Walaupun naskhah ini tidak diulang cetak, tetapi Matahari Books mengambil alih penerbitan ini untuk menjadikan naskhah itu sebagai buku kanak-kanak berilustrasi dan mereka berjaya menerbitkannya pada tahun 2020 lalu dengan tajuk The Malay Tale of The Pig King.

Hikayat Raja Babi edisi rumi boleh dibaca di Google Books secara percuma.

Hikayat Raja Babi mengisahkan sumpahan yang berlaku ke atas seorang putera raja yang dilahirkan sebagai binatang haram jadah dan dibuang ke dalam belantara. Mengembaralah dia dari satu tempat ke tempat yang lain, dengan pelbagai peristiwa yang dialaminya. Pada waktu yang sama, dia cuba untuk meleraikan sumpahannya itu. Dia digelar sebagai Raja Babi!

Pementasan ini akan berlangsung pada 19 dan 20 Julai 2024, 8.30 malam di Panggung Eksperimen, ASWARA dengan bayaran RM20 (umum) dan RM10 (pelajar).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.